
Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu keputusan 40 peratus hasil Sabah
Keputusan yang ditunggu khususnya oleh orang Sabah sudah dibuat dalam mesyuarat khas kabinet di Putrajaya pada petang Selasa.
Ia berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.
Dalam keputusan itu Hakim Datuk Celestina Stuel Galid, mengarahkan Kerajaan Persekutuan membuat semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan
Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi satu kenyataan umum Kerajaan Persekutuan hari ini memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas itu.
Katanya kerajaan persekutuan menghormati prinsip “pemberian khas” di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dan telah bersetuju untuk meneruskan rundingan dengan kerajaan Sabah dengan serta-merta.
Menurut kenyataan itu, Peguam Negara turut memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman berkenaan.
“Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan. Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak 1974.
“Selain itu, alasan penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.- 11/11/2025
BERITA SEBELUM INI : Tunggu esok …kata PM nak rayu ke tak keputusan mahkamah pasal hak 40% hasil Sabah
Nak tahu apa cerita perkembangan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40% hasil Sabah kena tunggu esok,Selasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kata satu mesyuarat Kabinet khas akan diadakan bagi membincangkan perkara itu.
Soal samaada hendak merayu atau tidak akan diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.
Katanya kerajaan akan mendengar pandangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang sebelum membuat keputusan sama ada akan memfailkan rayuan atau sebaliknya.
“Saya sudah panggil mesyuarat esok. Kita dengar dulu penjelasan Peguam Negara, hendak rayu atau tidak, tunggu esok. Bagi saya, kalau tidak rayu pun tidak mengapa.
“Tetapi keputusan muktamad dibuat selepas kita dengar dan bincang bersama semua ahli Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Malaysia Digital di Tawau, Sabah, hari ini.
Anwar berkata terdapat kekangan dan keterbatasan dalam isu berkenaan, namun berharap semua pihak memahami situasi berkenaan.
“Soalnya, mahkamah arah untuk runding. Saya kata baik, kita akan runding. Tetapi hari ini hendak runding dengan siapa? Kerana kerajaan sekarang hanyalah kerajaan sementara (caretaker government). Tunggu pilihan raya, selepas kerajaan baharu dibentuk, saya akan arahkan rundingan dimulakan segera,” katanya.
Isu mengenai tuntutan hasil Sabah itu merupakan faktor Datuk Ewon Benedick meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Ewon, yang merupakan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, beliau berpegang kepada prinsipnya dan akan terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah, katanya, beliau berpendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak seharusnya memfailkan rayuan berhubung isu hak 40% itu.- 10/11/2025



