FOKUS

KEMASKINI : Lelaki diberkas kes bom petrol rumah Ngeh Koo Ham dibebaskan…



Nampaknya setakat ini kes lontar bom petrol ke rumah Ahli Parlimen DAP Beruas Ngeh Koo ham belum beres.

Seorang lelaki yang ditahan reman selama lima hari dan kemudian disambung sehari lagi semalam…akan dibebaskan hari ini Rabu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Perak, Selasa.

“Polis menerima arahan supaya tangkapan dibebaskan esok (hari ini) dengan jaminan polis dan menjadi saksi sekiranya diperlukan dalam siasatan,” katanya Selasa malam.

Serentak dengan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut agar menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Azalan Ab. Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.

Lelaki berkenaan ditahan di Shah Alam pada pagi 12 Januari.

Kejadian di rumah Koo Ham menyebabkan kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Akibat dari kejadian kira-kira pukul 3 pagi 10 Januari itu siling dan bumbung garaj kediaman di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar itu turut terbakar.- 17/1/2024

BERITA SEBELUM INI : Reman lelaki diberkas kes bom petrol rumah Ngeh Koo Ham disambung sehari lagi…

UPDATE: Setakat ini identiti lelaki yang ditahan kes lontar bom petrol rumah Ahli Parlimen DAP Beruas masih menjadi tandatanya.

Tempoh reman lima hari keatas lelaki yang ditahan pada 12 Januari di kawasan Shah Alam disambung sehari lagi.

Pada Selasa di Mahkamah Seri Manjung Majistret Nurul Izalina Rajaai membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman lelaki itu sehingga esok Rabu di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri sebelum ini memberitahu seorang lelaki yang tiada rekod jenayah ditahan kira-kira pukul 4 pagi di Shah Alam dan polis merampas dua telefon bimbit miliknya.

Katanya suspek bukanlah ahli mana-mana parti politik.

“Berdasarkan siasatan, suspek juga menetap di luar daerah Manjung,” katanya.

Menurut beliau motif perbuatan itu juga masih dalam siasatan.

Dalam kejadian pada awal pagi 10 Januari lalu menyebabkan kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux milik keluarga Ngeh masing -masing mengalami lima peratus kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, siling dan bumbung garaj kediaman Ngeh di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar itu turut terbakar.

Siasatan polis kemudian mengesahkan terdapat perbuatan khianat apabila menemui ‘molotov coctail’ di lokasi kejadian kebakaran itu.- 16/1/2024

BERITA SEBELUM INI : Lelaki diberkas kes serangan bom petrol rumah MP ditahan reman lima hari….

Seorang lelaki yang diberkas dalam kes serangan bom petrol keatas rumah Ahli Parlimen DAP Beruas Ngeh Koo Ham telah ditahan reman selama lima hari untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan memberitahu lelaki berkenaan yang berusia 30han diberkas di Shah Alam pada jam 4 pagi Jumaat.

Polis turut merampas dua buah telefon bimbit.

Menurut Mohd Yusri lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai sehingga 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda,” katanya.

BERITA SEBELUM INI : Rumah Ahli Parlimen DAP Beruas diserang bom petrol…

Suasana kawasan rumah keluarga Ahli Parlimen DAP Beruas, Ngeh Koo Ham kelam kabut awal pagi Rabu bila berlaku kebakaran di bahagian garaj dipercayai akibat serangan bom petrol.

Dalam kejadian sekitar 3 pagi di rumah terletak di Taman Semarak Jaya,Ayer Tawar kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Turut terbakar ialah siling dan bumbung garaj kediaman.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Mohd. Zaki Mokhtarmin, memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.05 pagi.

Ketika kejadian Koo Ham dan isteri berada di rumah.

Sementara itu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengecam sekeras-kerasnya apa yang dipercayai serangan bom petrol ke atas rumah Koo Ham.

“DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ganas ini yang mengancam keselamatan nyawa keluarga beliau dan menegaskan bahawa apa sahaja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat kita,” kata Loke.

“DAP juga menyeru pihak Kementerian Dalam Negeri dan PDRM supaya mengambil perhatian serius dalam kejadian ini dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga,” tambahnya.

Koo Ham baru baru ini cetus kontroversi apabila didakwa cuba campurtangan dalam urusan agama Islam.

Beliau cadang agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.-10/1/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button