Jenayah digital dari jalanan ke bilik tidur

Inilah kisah benar yang menggambarkan realiti jenayah digital yang semakin berleluasa, janayah yang dulu berlaku di jalanan kini di era serba canggih berlaku di bilik tidur, merentasi sempadan dunia siber yang penuh bahaya.
Amy, seorang pembantu kerani berusia 24 tahun dari Taman Meru Jaya, Ipoh, mengimbau kenangan pahit menyerupai mimpi ngeri.
Suatu ketika, pada September tahun lalu, ketika bermain telefon sebelum tidur, dia bertemu dengan seorang lelaki di platform media sosial Wechat.
Dia percaya lelaki yang mendakwa berusia 35 tahun itu sebagai jurutera sivil dari Amerika Syarikat, yang kononnya sedang berjuang menghadapi masalah kesihatan ibunya yang menderita hepatitis B dan sakit buah pinggang.
Dari perbualan santai, mereka menjalin hubungan yang semakin akrab, beralih dari skrip teks ke suara dan wajah melalui panggilan video.
Namun, kegelapan mula menyelubungi interaksi mereka ketika lelaki itu mendakwa kehilangan dompet dan memohon bantuan kewangan untuk merawat ibunya.
Dengan naif, Amy memasukkan hampir RM24,000 ke dalam akaun bank wanita yang diberikan oleh lelaki tersebut, tertipu dengan rayuan yang kelihatan tulus.
Dalam tempoh lima bulan, hatinya dibuai janji manis, tetapi apa yang kelihatan indah itu hanyalah kepungan ilusi.
Panggilan video yang sepatutnya mengesahkan wajah lelaki itu tak lebih dari bayangan gelap, menggoyahkan rasa percaya Amy.
Dia kini terperangkap dalam rasa sesal dan ketakutan, terpaksa berhadapan dengan ugutan untuk menyebarkan video bogelnya.
Inilah saat di mana kebebasan peribadi bertukar menjadi ancaman, menjadikan tidur yang dulunya lenap kini dipenuhi keresahan.
Dalam ketakutannya, lelaki tersebut memanipulasi perasaannya, mencipta pelbagai kisah sehingga Amy terpaksa meminjam wang untuk memenuhi permintaan aneh itu, termasuk RM15,000 untuk menyelesaikan isu bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Kemanisan hubungan yang diimpikan berubah menjadi cengkaman yang membunuh, setiap angka yang dikirimkan hanya mendekatkan dirinya kepada penderitaan yang tidak berkesudahan.

Di sebalik latar yang suram ini, Amy tidak berputus asa. Dia telah mengambil langkah berani dengan melaporkan kes ini dua kali kepada pihak polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Amy berharap tindakan tegas diambil terhadap penjenayah digital yang tidak bertanggungjawab.
Dalam dunia di mana cinta dan kepercayaan mudah dikhianati, Amy kini berjuang bukan hanya untuk mendapatkan semula wangnya, tetapi juga untuk mencapai kembali maruah dan keamanan hidupnya.
Kisah Amy adalah cerminan betapa pentingnya kita berwaspada dalam talian, kerana ancaman kini tidak hanya datang dari jalanan, tetapi juga dari ruang yang paling peribadi – bilik tidur kita sendiri.
Kisah Amy hanyalah satu daripada ribuan kisah mangsa penipuan dalam talian.
Data daripada PDRM pula menunjukkan dalam lima tahun terakhir ini rakyat Malaysia kerugian lebih RM5 bilion.
Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, menurutnya pada 2019, sebanyak RM747.2 juta kerugian direkodkan dan tahun lalu ia hampir mencecah RM1.2 bilion.
LESEN CASP UNTUK LINDUNGI PENGGUNA
Pada 1 Januari 2025, pelaksanaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) bagi platform media sosial di Malaysia berkuat kuasa, bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian dan melindungi pengguna.
Langkah ini, yang diperkenalkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mewajibkan penyedia platform media sosial dengan lebih dari lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia untuk memohon lesen tersebut.
Kegagalan untuk mematuhi peraturan ini akan mengakibatkan tindakan perundangan.
Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, menekankan pentingnya perkara ini bagi menangani penyalahgunaan seperti buli siber dan jenayah siber.

Sebelum ini, MCMC memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di negara ini perlu memohon ASP(C).
Zulkarnain berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya, penyedia perkhidmatan platform Internet itu dilihat kurang mengambil tanggungjawab untuk melindungi pengguna.
“Pada asalnya kita bagi kelonggaran untuk menggalakkan penggunaan aplikasi dalam talian namun begitu apabila kita mendapati kemudaratan semakin parah, di sinilah kerajaan membuat ketetapan untuk mengawal selia,” katanya dalam program Ruang Bicara bersama Bernama TV baru-baru ini.
Beliau berkata, kawal selia itu juga memberikan ruang kepada aspek keselamatan dan keadilan pasaran dan pada masa sama meningkatkan keyakinan pengguna untuk menggunakan aplikasi tersebut.
“Contohnya masih ada yang menggunakan urusan perbankan konvensional atau tradisional dan tiada perbankan dalam talian kerana mereka mungkin rasa tidak selamat dan tidak percaya kepada platform atau aplikasi yang dibangunkan.
“Jadi menerusi intervensi perundangan ini, kita memberikan keyakinan ia selamat kepada pengguna sedia ada dan pengguna akan datang untuk terus menggunakannya,” katanya.

Jelas Zulkarnain, menerusi pelesenan itu kerajaan bukan sahaja dapat mengawal selia aspek perlindungan pengguna, tetapi juga ketidakseimbangan dalam pasaran supaya aspek-aspek atau kesinambungan perkhidmatan tradisional dan perkhidmatan penyiaran dilindungi.
Mengenai kerangka kawal selia itu, Zulkarnain berkata ia mempunyai tiga asas utama yang difokuskan iaitu perlindungan pengguna, pasaran terbuka dan keadilan.
Menurutnya, berdasarkan intervensi itu, perlakuan yang menyalahi peraturan dalam talian dan di luar talian tidak akan dibezakan.
Beliau berkata, langkah pelesenan tersebut tidak akan menyekat kebebasan bersuara rakyat sebaliknya berfungsi bagi membendung pelbagai kemudaratan yang bakal berlaku dengan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) atau pemalsuan wajah (deepfake).
“Dalam perlembagaan kebebasan bersuara dijamin, namun begitu apa jua yang salah di alam nyata, di alam maya juga menjadi kesalahan,” tegasnya sambil menambah pengguna media sosial tidak perlu gusar dengan langkah pelesenan itu.
Zulkarnain berkata, pelaksanaan itu hanya terpakai terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan penyedia perkhidmatan media sosial.-13/1/2025 OLEH HELME HANAFI