Tuesday - 8, April 2025

Kerugian akibat letupan gas Putra Heights cecah RM1 bilion – Pakar

Share

Anggaran kerugian akibat insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Selasa lalu mampu mencecah lebih RM1 bilion, sekali gus mencetuskan persoalan besar siapa yang akan menanggung pampasan kepada lebih 250 pemilik kediaman yang terjejas.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Emeritus Barjoyai Bardai berkata, jumlah itu merangkumi kerosakan fizikal kediaman, kemusnahan kenderaan dan pelbagai barangan rumah termasuk barangan elektrik, selain penurunan nilai hartanah secara menyeluruh di kawasan terjejas.

Katanya, setiap kediaman yang dibeli pada harga sekitar RM500,000 ke RM1 juta mungkin menanggung kerugian berlipat ganda apabila mengambil kira kerosakan kenderaan, perabot, peralatan rumah dan pembaikan struktur.

“Infrastruktur seperti pendawaian dan sistem paip juga dianggap tidak lagi boleh digunakan kerana menerima tekanan haba tinggi melebihi 1,000 darjah Celsius.

“Kos pembinaan semula infrastruktur, termasuk sistem paip dan saliran, turut menyumbang kepada angka kerugian yang besar.

“Malah, kemungkinan besar keseluruhan kawasan perlu dikosongkan dan dibina semula bagi memastikan keselamatan jangka panjang,” katanya.

Katanya, kerajaan sebelum ini mengumumkan bantuan segera RM5,000 kepada setiap keluarga terjejas, namun jumlah itu tidak mencukupi kerana anggaran kerugian minimum setiap keluarga mencecah RM100,000.

Harian Metro melaporkan Barjoyai berkata, kejadian itu bukan kemalangan atau bencana biasa, sebaliknya berpunca daripada risiko berkaitan infrastruktur perniagaan dan wajar ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Ia perlu satu siasatan menyeluruh. Sekiranya terbukti berpunca daripada kelalaian pihak tertentu maka hampir keseluruhan kos mungkin perlu ditanggung pihak berkenaan.

“Persoalannya kini, berapakah jumlah pampasan diperuntukkan dan siapa yang akan menanggungnya kerajaan atau syarikat?” katanya.

Beliau turut menyarankan pampasan diberikan 100 peratus daripada nilai hartanah, memandangkan insiden ini bukan bencana alam seperti banjir atau kebakaran biasa, sebaliknya berpunca daripada faktor teknikal dan pengurusan risiko perniagaan.

Tambahnya lagi, insiden berkenaan membuka lembaran baharu terhadap aspek ketelusan dan ketelitian sistem pemantauan projek mega seperti pemasangan paip gas sepanjang 1,400 kilometer (km) yang dilaksanakan.

“Sepatutnya ada kawasan penampan (buffer zone) yang tertutup dan tidak boleh diakses oleh awam. Namun, kita lihat lokasi ini seolah-olah terbuka dan mudah dicapai oleh mesin serta manusia.

“Perlu ada sistem pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan paip dan komuniti sekitar untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, insiden kali ini bernasib baik kerana berjaya dikawal dalam masa lebih tujuh jam, tapi ia juga mendedahkan kelemahan potensi risiko dalam kawasan penempatan moden negara.

Selain itu, beliau turut memuji kecekapan pasukan bomba dan penyelamat dalam mengawal situasi, namun menekankan perlunya pelan risiko yang lebih ketat bagi projek membabitkan bahan mudah terbakar seperti gas, petroleum dan elektrik.-7/4/2025

Read more

khabar terbaru