Tarif sebanyak 24 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas produk Malaysia dijangka tidak memberi kesan signifikan kepada eksport dan ekonomi negara.
Namun, langkah ini juga mendorong Malaysia untuk mencari pasaran baharu di Asia Tenggara, China, India, dan Eropah sebagai strategi mengurangkan kebergantungan kepada AS.
Menurut Pensyarah Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Selangor, Ahmad Yani Ismail langkah diversifikasi pasaran boleh membuka peluang jangka panjang, tetapi memerlukan perancangan strategik yang cekap, termasuk peningkatan kualiti produk dan promosi dagang yang lebih agresif.
“Untuk mengatasi cabaran akibat tarif ini, kerajaan dan pihak swasta perlu melaksanakan pelbagai strategi proaktif. Salah satu langkah utama adalah melalui diversifikasi pasaran eksport dengan mempergiat usaha untuk memasuki pasaran baru seperti negara-negara ASEAN, Timur Tengah, Afrika, dan Amerika Latin,”ujarnya.
Jelasnya lagi, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, dan rakyat adalah kunci untuk mengatasi cabaran ini dan memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang.
Pada 3 April lalu, Presiden Donald Trump mengejutkan dunia dengan mengumumkan pelaksanaan dasar perdagangan baharu yang menyaksikan pengenaan tarif sebanyak 24% ke atas kebanyakan produk import dari Malaysia, berkuat kuasa mulai 9 April yang bagaimanapun ditangguhkan 90 hari mulai 10 April.
Langkah AS ini merupakan sebahagian daripada dasar perdagangan baharu di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), yang menyasarkan negara-negara penyumbang kepada defisit perdagangan besar AS.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Malaysia tidak akan tergesa-gesa membalas tindakan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), sebaliknya akan mengambil pendekatan berhati-hati dan diplomatik dalam menangani tarif berkenaan.
Jelas Amir Hamzah sebarang tindakan perlu berdasarkan kefahaman menyeluruh terhadap impak dan tarif tersebut.
“Dengan itu, kita akan pergi kepada Amerika Syarikat (AS) untuk berbincang secara baik untuk menggalakkan kefahaman yang lebih dalam isu ini.
Kita mencari jalan yang mana kita boleh dapat kan penyelesaian lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang. Tetapi, masa sekarang kita kata jangan panik. Jangan tergopoh-gopoh, kita buat cara betul,” katanya.
Difahamkan 70 peratus pekerjaan dalam negara adalah dalam sektor domestik seperti perkhidmatan, pembinaan, pendidikan, kesihatan dan pelancongan yang tidak bergantung kepada pasaran AS.
Bagaimanapun, kerajaan telah mengambil pendekatan proaktif dengan menubuhkan Pusat Komando Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan Perdana Menteri bagi menilai kesan tarif, menjalankan simulasi ekonomi serta menyelaras tindakan antara kementerian dan agensi berkaitan.
Malaysia turut mengaktifkan penggunaan perjanjian perdagangan seperti RCEP, CPTPP dan TIFA untuk mengukuhkan kedudukan dagangan serta meneroka pasaran baharu. Dalam pada itu, kerajaan tidak membalas tindakan AS dengan tarif balas, sebaliknya memilih pendekatan diplomasi, rundingan teknikal dan penstrukturan semula dasar perdagangan.
Manakala orang ramai disarankan untuk terus menyokong produk tempatan sebagai usaha mengekalkan daya tahan ekonomi negara.
Menurut Ahmad Yani, untuk mengurangkan kesan kepada rakyat Malaysia, kerajaan boleh menggalakkan penggunaan produk tempatan melalui kempen “Belilah Barangan Buatan Malaysia”.
“Langkah ini tidak hanya akan membantu industri tempatan berkembang, tetapi juga memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat untuk menyokong produk dalam negara,”katanya.
Tarif oleh AS dilihat bukan sebagai kelemahan, sebaliknya satu peluang untuk Malaysia menyusun semula strategi dagang dan memperkukuh keupayaan negara sebagai ekonomi matang dan berdaya saing.-11/4/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK