kkmart-pengasas

Tauke KK Mart mengaku tak bersalah atas dakwaan kes stoking tertera kalimah Allah

Episod pendakwaan kes penjualan stoking tertera kalimah Allah yang cetuskan kontroversi hangat bermula pagi Selasa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Tauke yang juga merupakan pengasas KK Mart Datuk Seri Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui berdepan dengan dakwaan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesalahan didakwa dilakukan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway, pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.

KK Chai, 57, Siew Mui, 53 mengaku tidak bersalah.Mereka membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca.

Sementara itu tiga individu lain yang merupakan pengarah syarikat Xin Jiang Chang Sdn Bhd yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart turut dikenakan pertuduhan.

Goh Li Huay, Soh Hui San dan Soh Chin Huat yang didakwa bersubahat dengan KK Mart dan berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dan dibaca bersama Seksyen 298.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.- 26/3/2024

BERITA SEBELUM INI : Isu stoking tetera kalimah Allah…mari ke mahkamah Shah Alam tengok siapa yang kena

Setakat ini dua orang yang membuat komentar menghina Islam dicelah kehangatan isu penjualan stoking tetera kalimah Allah sudah kena hukuman di mahkamah.

Pada 22 Mac lalu, seorang juruteknik dari Cheras dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur kerana membuat hantaran menghina agama Islam di Facebook miliknya.

Sehari sebelum itu, Ricky Shane Cagampang, 33, dari Tawau, Sabah dipenjara enam bulan dan denda RM15,000 selepas mengaku bersalah memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah di laman Facebook.

Esok Selasa 26 Mac perhatian akan bertumpu ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Ikut ceritanya dua pengarah rangkaian kedai serbaneka KK Mart dan tiga pengarah syarikat pembekalnya, Xin Jian Chang Sdn Bhd akan didakwa berkaitan penjualan stoking yang memaparkan kalimah Allah.

Kesemua mereka dikatakan akan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana melukakan perasaan agama orang lain dan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.

Kontroversi ini bermula pada 13 Mac lalu bila tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Ia antara lain mendorong Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh lancar kempen boikot KK Mart.

Pada 16 Mac, pengurusan KK Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.-25/4/2024

akmal-mydinxxx

Akmal tidak goyang ditegur bos Mydin…

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh tetap tidak goyang sekalipun ditegur oleh usahawan terkenal dan pemilik rangkaian pasar raya Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin kerana terus main isu isu kalimah Allah.

Katanya isu kalimah Allah adalah isu akidah yang melebihi daripada kepentingan untuk menjaga ekonomi golongan kaya.

Malah katanya, Pemuda Umno akan melakukan tindakan yang sama iaitu memboikot Mydin jika mereka menjual stoking tertera kalimah Allah seperti mana dilakukan KK Mart.

“Ini bukan kali pertama, ini bukan kali kedua, ini dah banyak kali berlaku dan kali ini menyakitkan hati umat Islam dalam negara ini. Jadi, apakah salahnya jika tindakan tegas iaitu dengan boikot ini dikenakan kepada petualang-petualang ini.

“Ini isu akidah sebenarnya Datuk Ameer, saya nak bagi tahu jauh lebih hebat, jauh lebih utama daripada bercakap soal keuntungan ekonomi semata-mata.

“Adakah (cukup) dengan hanya minta maaf, buat salah minta maaf, lepas tu kita sudah berpuas hati disebabkan kita nak jaga ekonomi, nak jaga taikun-taikun ini.

“Ini bukan isu mengenai KK Mart, ini bukan isu Cina ataupun tidak, ini isu KK Mart telah menghina orang Islam. Jadi tindakan tegas perlu diambil oleh orang Islam dalam negara ini,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial.

Semalam, pemilik pasar raya Mydin itu dilapor mengkritik tindakan Akmal yang menurutnya “mengeksploitasi” isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

“Dia nak heboh-hebohkan lagi buat apa?

“Sepatutnya parti politik menjauhi isu 3R, kalau dah terjadi kita tak mahu bakar lagi…letak minyak tanah lagi,” kata Ameer

Menjawab kritikan bekas menteri dan bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz, Akmal menjelaskan tindakan diambil Pemuda Umno adalah ekspresi bantahan umat Islam apabila agama Islam dipersenda.

Katanya, walaupun Zaman Rasulullah SAW pendekatan lembur diambil seperti mana dakwaan Rafidah, namun tiada kompromi bila agama Islam dihina.

“Betul Tan Sri (Rafidah) mendakwa zaman Rasulullah pendekatan yang lembut telah dilakukan, tetapi kena ingat apabila agama mereka dihina zaman itu tiada kemaafan,” tambah Akmal.- 24/3/2024

sprm-polisxx

Wang tunai RM2 juta ditemui di premis pegawai kanan polis KL yang ditahan SPRM

Wang tunai berjumlah RM2 juta ditemui hasil pemeriksaan keatas beberapa premis milik seorang pegawai kanan polis yang ditahan SPRM.

Pegawai kanan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Sabtu semalam.

Dia ditahan SPRM kerana disyaki menerima suapan bagi melindungi kegiatan haram di ibu negara.

Suspek direman tiga hari bermula hari ini Ahad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penangkapan berkenaan.- 24/3/2024

MT-UMNO

Isu kalimah Allah : UMNO dokong penuh kelantangan Ketua Pemuda Akmal Saleh

UMNO Malaysia beri backing penuh kepada kelantangan Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh dalam isu stoking tetera kalimah ‘Allah’ serta gerakan boikot KK Mart yang dipertikaikan DAP ,MCA dan beberapa pihak lain.

Pendirian itu disuarakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung di WTC Kuala Lumpur pada petang Jumaat.

Serentak itu UMNO mendukung penuh titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu tindakan keras diambil kepada mana-mana pihak didapati terlibat dalam usaha meremeh dan memperlekeh kalimah Allah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu berkata seluruh ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebulat suara menyokong penuh pendirian sayap Pemuda itu diketuai Dr Akmal Saleh.

“Berkenaan isu kalimah Allah di stoking, dibincangkan juga dalam MKT dan MKT tadi sebulat suara menyokong penuh pendirian Pemuda Umno dalam isu tersebut.

“Tak ada apa yang dijejaskan (hubungan antara parti) kerana yang penting, UMNO terus kekal teguh dengan pendirian mempertahankan kesucian agama Islam,” katanya.

Asyraf berkata, pendirian itu juga adalah matlamat perjuangan UMNO malah dalam membentuk Kerajaan Perpaduan, parti ini turut meletakkan empat syarat penting.

“Dua perjanjian yang ditandatangi dalam membentuk Kerajaan Perpaduan. Satu perjanjian dalam memulakan perundingan dan satu lagi perjanjian dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Kita UMNO meletakkan syarat, jangan sesekali meremehkan apa juga yang terkait dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Perkara 3. Kepentingan dan keistimewaan Melayu Bumiputera dalam Perkara 153 dan kedaulatan raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu.

“Ini empat teras akar utama yang menjadi syarat kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan dan saya kira setakat hari ini pemimpin-pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan, Menteri-Menteri Kabinet juga menghormati perjanjian tersebut.

“Jadi tak ada masalah,” katanya.

Menurut beliau UMNO amat prihatin dengan beberapa isu sensitif berlegar terutamanya yang menyentuh kesucian agama Islam.

Tegasnya, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua tindakan yang memperkotak-katikkan kesucian agama Islam.

“Sebagai parti yang menjadi benteng dan pemelihara kepada kedaulatan Islam dan kepentingan bangsa, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua tindakan yang memperkotak-katikkan kesucian agama Islam.

“Demi memelihara keharmonian, kerukunan dan perpaduan rakyat berbilang kaum serta agama yang sudah lama terbina di negara tercinta ini, UMNO menyeru semua rakyat agar isu-isu mutakhir ini dijadikan sebagai sempadan dan pengajaran penting supaya tidak berulang kembali,” katanya lagi.

“Isu-isu seperti gugatan kepada aqidah Islam dalam filem ‘Mentega Terbang’, cadangan pewartaan Kampung Baharu Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Bak Kut Teh dan terkini isu kalimah Allah di stoking kaki adalah sebahagian daripada isu yang menjadi polemik memudaratkan.

sukan1xsx

Malaysia tolak tawaran jadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Sudah boleh tutup buku pasal kemungkinan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Kerajaan telah menolak tawaran untuk jadi tuan rumah sukan antara negara negara bekas jajahan British itu.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) beritahu Jumaat keputusan tersebut diambil selepas meneliti pelbagai aspek serta implikasi jika tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) itu diterima.

Kata KBS, delegasi CGF telah menemui Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada 5 Feb lalu.

Pada pertemuan yang turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua berkenaan, kata KBS, pihak CGF memberi taklimat mengenai tawaran selaku tuan rumah.

“Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri.

“Antara lain diutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta) yang dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.

“Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini,” kata KBS.

Tawaran berkenaan diberikan kepada Kuala Lumpur ekoran penarikan diri Victoria, Australia, pada tahun lalu di sebalik kejayaan mereka membinanya sebelum ini.

Menurut kementerian itu lagi Putrajaya menghargai tawaran yang disampaikan CGF kepada Kuala Lumpur.

“Namun, ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Malaysia pernah jadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1998.- 22/3/2024.

naimah1

Mahkamah tolak permohonan isteri Tun Daim dapat paspot…sebab berisiko larikan diri

Hasrat isteri Tun Daim Zainuddin mendapatkan kembali pasportnya secara kekal tidak kesampaian.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menolak permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 66 itu.

Keputusan dibuat oleh Hakim Datuk Ahmad Bache.

Ketika membuat keputusan hakim itu berkata ia mempunyai risiko ‘flight risk’ serta tiada jaminan isteri bekas Menteri Kewangan itu tidak melarikan diri ke luar negara.

Ahmad juga bersetuju dengan pihak pendakwa raya bahawa Na’imah berisiko melarikan diri jika pasport dipulangkan secara kekal.

“Setelah meneliti hujahan dan rekod yang ada dan ambil kira prinsip undang-undang, mahkamah menolak permohonan pemohon/tertuduh.

“Keputusan ini sah, wajar dan tiada ketidakadilan yang berlaku,’’ katanya.

Timbalan pendakwa raya bagi kes tersebut ialah Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohamad Fadly Mohd Zambry, Maziah Mohaide dan Fatin Farhana Ismail.

Manakala, pasukan peguam bela terdiri daripada M. Puravalen, Nizammudin Hamid, Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh dan M. Moganasundari.

Na’imah dalam pada itu, ketika ditemui di luar kompleks mahkamah memaklumkan peguamnya akan menghantar permohonan rayuan bagi mendapatkan semula pasportnya.

“Peguam saya akan failkan permohonan rayuan,” katanya ringkas.

Na’imah diwakili peguam M. Puravalen, Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh Sohanpal dan Nizamuddin Hamid.

Manakala Timbalan Pendakwa Raya ialah Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohamad Fadly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide.

Na’imah hadir ditemani dua anaknya, Muhammad Amir Zainuddin Daim dan Muhammad Amin Zainuddin Daim.

Pada 16 Februari lalu, Na’imah memfailkan permohonan, dengan mendakwa alasan yang kukuh harus diberikan oleh barisan Timbalan Pendakwa Raya, untuk menahan pasportnya selain mendakwa tindakan tidak wajar, kerana rutin bagi pihak pendakwaan.

Pada 23 Januari, wanita itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan, gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang, Disember tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.

Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.

Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Sesyen membenarkan Na’imah diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin, termasuk syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai tanpa perlu melaporkan diri di pejabat SPRM. – 22 Mac, 2024

wailong-ok

Isu kalimah Allah : Padah bukan sengaja hina…hobi saja…kisah lelaki Cina yang dihukum penjara 6 bulan

Gelagat Chiok Wai Loong pada 18 Mac baru ini mencuri perhatian bila dia buat permohonan maaf menerusi klip video pasal buat komen jelik dalam isu jualan stoking tetera kalimah Allah.

Beberapa orang lelaki Melayu yang dipercayai anggota kumpulan silat berdiri sekitarnya semasa buat pengakuan itu.

Difahamkan Wai Loong yang berusia 35 tahun membuat permohonan maaf itu selepas ditemui pengguna FB ‘Tok Panglima Aduka’ yang mencari di rumah keluarganya di Cheras dekat Kuala Lumpur susulan hantaran di facebook ditulisnya tular di media sosial.

“Saya Wai Loong meminta maaf pada semua umat Muslim dan mana-mana yang terasa hati dengan posting saya.Saya amat sedih dan menyesal perbuatan saya… Terima kasih pada Panglima Aduka dan rakan-rakan menegur saya bahawa kalimah ALLAH itu saya telah salah guna..,” katanya.

Selepas dijelaskan ‘Tok Panglima Aduka’ berkenaan kepentingan kalimah Allah buat masyarakat Islam, Wai Loong berkata dia baru jelas bahawa kalimah Allah bukan sekadar ‘logo’ sebagaimana difahami sebelum ini dan penggunaannya tidak boleh dibuat main.

Wai Loong menulis di Facebook bahawa stoking bertulis kalimah Allah itu harus dialu-alukan kerana ia akan melindungi pemakainya dari kepala ke kaki.

Dia juga memuat naik gambar stoking yang mempunyai gambar mukanya atas alasan untuk menghina dirinya sendiri.

Namun ia tidak berakhir sekadar pengakuan minta maaf menerusi klip video.

Wai Loong telah ditahan polis pada 20 Mac.

Hari ini 22 Mac dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dia dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 susulan komennya yang memperolok kontroversi jualan stoking tetera kalimah Allah.

Keputusan itu disampaikan oleh hakim Suzana Hussin selepas Wai Loong mengaku bersalah dalam pertuduhan di mahkamah itu.

Wai Loong yang tidak diwakili peguam mengaku membuat komen itu di facebook, memohon maaf tetapi menjelaskan dia tidak bermaksud menghina agama lain.

“Saya komen macam keyboard warrior (jaguh siber). Bukan sengaja. Macam hobi (jadi jaguh siber), bukan sengaja hina. Hobi saja.

“Saya tak tahu agama orang lain sangat sensitif.

“Kami orang Cina ada rantai kaki dan tangan serta tatu dewa di pelbagai bahagian badan. Ingat hanya kecil punya hal.

“Saya tidak tahu perkataan ini boleh jadi menghina,” kata juruteknik aplikasi sosial itu dengan sebak.

Dia memohon hukuman terhadapnya diringankan kerana bimbang hilang kerja dan pada masa sama menjaga ibunya yang berumur 63 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh memohon hukuman keras kerana tindakannya tidak sensitif terhadap umat Islam.

Katanya, 24 laporan polis oleh pelbagai pihak terhadap Wai Loong menunjukkan perkara itu serius dan memberi kesan kepada banyak pihak.

“Sebagaimana rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, rasa hormat tidak boleh sama sekali diketepikan,” katanya.- 22/3/2024

polis-suhaily

Polis dah serah siasatan lengkap kes kalimah Allah kepada Jabatan Peguam Negara

Apa saja tindakan keatas pihak yang terlibat dalam isu stoking tetera kalimah Allah kini terletak sepenuhnya pada budibicara Jabatan Peguam Negara (AGC).

Polis sudah lengkapkan siasatan dan dua kertas siasatan yang lengkap sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), Khamis.

Hal ini diberitahu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain daolam sidang akhbar di Bukit Aman pada Jumaat.

“Kertas siasatan sudah lengkap. Kita tunggu arahan terakhir dan terkini daripada AGC. Apabila sudah diberikan (arahan) kita akan maklumkan apa arahan AGC,” katanya.

Kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang–Undang (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily, berkata secara keseluruhan polis membuka empat kertas siasatan berkait isu ini termasuk dua kertas siasatan terhadap dua individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap isu ini.

“Dua individu sudah dituduh berhubung isu penghinaan, masing-masing kes Sabah dan Kelantan dengan kedua-dua suspek mengaku salah dan sudah dijatuhkan hukuman denda serta penjara.

“Setakat ini, sebanyak 143 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung isu ini.

“Sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka terhadap KK Super Mart dan satu kertas siasatan dibuka terhadap syarikat kilang pengedar susulan empat laporan polis diterima,” katanya.

Tambah beliau, seramai 174 saksi dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan termasuk pengasas KK Mart serta pekerjanya termasuk pekerja di pejabat, kedai dan pemandu lori.- 22/3/2024

mp-tanjongkarangxxx

Isu sogokan: MP PN Tanjong Karang lawan balik dakwaan Wan Saiful pasal jadi ‘ejen’ alih sokongan

Ahli Parlimen Tanjong Karang PN Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dakwa imejnya tercemar gara gara didakwa Ahli Parlimen PN Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan jadi ejen untuk alih sokongan kepada Perdana Menteri.

Katanya beliau tiada dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis lalu waktu Wan Saiful buat dakwaan beliau dan Ahli Parlimen PN Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim cuba pujuknya.

Bercakap dalam sidang akhbar Dr Zulkafperi kata beliau telah memfailkan usul bagi merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Katanya usul itu adalah berkaitan kenyataan Wan Saiful di Parlimen yang dianggap sangkaan jahat dan cuba mengelirukan dewan dengan tuduhan terhadap dirinya sebagai ‘ejen’ yang memujuk dan menyogok Ahli Parlimen Perikatan Nasional untuk menyokong kerajaan.

“Kenyataan itu juga dilihat semata-mata untuk mengaibkan atau mengheret saya dalam agenda peribadi beliau bagi memburukkan imej saya selaku Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga menyokong Kerajaan Madani.

“Usul telah dihantar ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat pagi tadi (Jumaat) bagi membolehkan saya membalas sangkaan jahat itu di Dewan Rakyat, Isnin ini,” kata beliau.

Zulkafperi menyifatkan kenyataan Wan Saiful sebagai tidak bertanggungjawab dan beliau tidak dapat memberikan penjelasan semasa tuduhan dibuat kerana terpaksa pulang bagi menyambut kunjungan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Tanjong Karang.

“Oleh kerana saya tiada di Dewan Rakyat semasa kenyataan itu maka saya akan bawa usul tersebut bagi membetulkan sangkaan jahat yang dibuat,” katanya.

Pada Khamis, Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Mohd Azizi Abu Naim bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman serta Datuk Rahim membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan beliau kepada kerajaan.- 22/3/2024

ludah1xxx-ok

Selamat datang ke Papua…awas ‘penyakit’ ludah pinang

Kata orang jauh perjalanan luas pemandangan.

Biasalah mana mana tempat kita pergi mesti ada ciri uniknya yang tersendiri.

Begitulah halnya kalau kita ke Papua yakni wilayah paling hujung Indonesia yang dulunya disebut Irian Jaya.

Di sini ada suatu ‘penyakit’ yang susah nak diubat….yakni ludah pinang.

Jangan terkejut terjumpa tompokan warna merah macam darah di sana sini…baik atas jalan,di kaki lima,di lantai mall,lantai pasar, hospital hingga lantai lapangan terbang.

Di wilayah ini makan sireh pinang sudah jadi budaya.

Bagi orang asli Papua, sirih pinang adalah tradisi sekaligus makanan selingan.

Ia diyakini menyehatkan gusi dan struktur gigi, membugarkan badan dan membangkitkan andrenalin.

Masalahnya sampingan yang timbul…meludah sisa sireh pinang juga jadi satu budaya.

Macam macam kempen dibuat oleh pihak berkuasa untuk tangani budaya meludah ini.

Jadi hanya di Papua saja anda boleh jumpa papan tanda bertulis seperti ini ‘Di Larang Ludah Pinang’…’Dilarang Buang Ludah Pinang’….’Buanglah Ludah Pinang pada Tempatnya’

Suasananya seperti di sini kita tengok papan tanda ‘ Dilarang Merokok’…’Jangan Buang Sampah Merata’.

Juga ada papan tanda ‘Tempat Plastik Ludah Pinang’.

Di terminal keberangkatan dan ketibaan Lapangan Terbang Sentani, Jayapura misalnya ada papan tanda ‘Tempat Plastik Ludah Pinang.

Di bawah papan tanda itu pihak pengurusan lapangan terbang itu PT Angkasa Pura menyediakan puluhan plastik hitam untuk kemudahan mereka meludah sisa sireh pinang.- 22/4/2024