syedabuhussin

Tiada unsur pujukan, habuan untuk sokong Anwar – Syed Abu Hussin

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuat demikian secara rela hati tanpa dipengaruhi sebarang unsur pujukan atau habuan, kata Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Menurutnya mereka mengambil keputusan itu setelah menyedari tidak ada apa-apa perkara yang boleh memanfaatkan rakyat di kawasan masing-masing setelah setahun mereka menjadi pembangkang.
Beliau berkata adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk melemparkan tuduhan kononnya mereka disogok untuk memberikan sokongan kepada Anwar terutamanya pada sesi Dewan Rakyat.

“Janganlah cuba mewujudkan suasana tidak stabil, sama ada dari segi politik, tuduhan dan sebagainya. Jangan guna Parlimen sebagai tempat untuk melangsungkan politik tanpa asas. Parlimen adalah tempat kita berbincang untuk membantu membangunkan negara dalam ketidaktentuan global ketika ini.

“Kita hormati kenyataan sesiapa sahaja, cuma tuduhan dilemparkan di Parlimen adalah tidak benar, fitnah semata-mata, kerana sokongan kepada Anwar adalah ikhlas. Isu semalam yang dibawa tidak betul,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, Khamis.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam yang mendakwa ada pihak tertentu menjanjikan habuan kepada sesiapa yang memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

Syed Abu Hussin berkata ahli-ahli Parlimen Bersatu yang terlibat bersedia berhadapan sebarang tindakan termasuk mengosongkan kerusi masing-masing jika pindaan Perlembagaan parti itu yang dijangka dilakukan dalam masa terdekat, melarang mereka memberi sokongan kepada Anwar.

“Parti membuat keputusan meminda perlembagaan untuk mengelak dan melarang Ahli Parlimen Bersatu menyokong pihak berbeza selain ditetapkan parti, menyebabkan kelayakan mereka gugur secara automatik.

“… bagi kami yang sudah beri sokongan, kami akan tengok dahulu pindaan berkenaan dan kalau dibawa ke mahkamah kami cabar,” katanya.

Selain Syed Abu Hussin, lima lagi Ahli Parlimen Bersatu turut menyatakan sokongan kepada Anwar sebelum ini iaitu Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). — BERNAMA – 29/2/2024

AKMALXX

Menteri ‘kong ka li kong’ lebih baik letak jawatan!!!

Daripada mengiktiraf bak kut teh menjadi hidangan warisan negara lebih baik mengiktiraf makanan lain seperti nasi goreng cina dan banyak lagi makanan yang boleh dimakan oleh semua rakyat di negara ini tidak kira kaum mahupun agama.

Jika menteri tidak boleh nak berfikir sensitiviti rakyat Malaysia dan apakah relevannya dalam membuat keputusan,sudah tiba masanya kita mohon agar PMX Anwar Ibrahim untuk pecat sahaja menteri.

Kerana jika KP Pelancongan diturunkan pangkat sebab prestasi merosot,maka alasan yang sama boleh digunakan kepada menteri yang bukan sahaja merosot,tetapi menteri yang paling teruk dalam sejarah.

Menteri ‘kong ka li kong’ lebih baik letak jawatan!!!

Dr Akmal Saleh
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia- 29/2/2024

PN-MP22

KEMASKINI : Ini pendedahan dari Wan Saiful pula…ada lima MP PN nak ‘lompat’

Maklumat ini bukan datang dari Ahli Parlimen Perikatan Nasional parti Bersatu kawasan Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz yang selalu buka cerita pasal adanya kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang nak ‘lompat’ sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menariknya kali ini ia nak didedahkan oleh Ahli Parlimen PN Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ia sepatutnya didedahkan semasa giliran beliau bahas Titah Diraja di Dewan Rakyat tengahari Rabu.

Namun Wan Saiful tidak sempat bacakan teks mengenai hal itu berikutan timbul kekecohan antara beliau dengan kalangan Ahli Parlimen kerajaan semasa perbahasan itu.

Ini berlaku setelah beliau buat dakwaan ditawarkan sogokan oleh pihak tertentu untuk alih sokongan pada Anwar.

Dalam teks ucapan yang tidak sempat dibaca itu beliau dakwa lima lagi Ahli Parlimen PN dari Bersatu akan mengisytihar sokongan kepada pentabiran Perdana Menteri selepas kononnya mereka sudah dibeli dengan rasuah.

Berdasarkan kepada teks yang tidak sempat dibaca itu Wan Saiful berhasrat untuk dedah lima Ahli Parlimen Bersatu – seorang daripada kawasan Parlimen di Selangor, masing-masing dua di Perak serta Kedah – kononnya akan menyokong kerajaan perpaduan selepas menerima habuan daripada individu tertentu.

Wan Saiful telah mengesahkan kesahihan teks ucapannya.

Sebelum ini Syed Abu Hussin Hafiz dakwa seramai 10 orang lagi Ahli Parlimen PN akan lompat sokong kerajaan pimpinan Anwar.

Beliau mendakwa mereka akan umum tindakan itu menjelang Rabu 28 Februari.

Bagaimanapun bila tiba tarikh itu semalam tiada sebarang pengumuman dibuat oleh mana mana Ahli Parlimen PN.

Apapun pendedahan yang tidak sempat dibacakan oleh Wan Saiful itu jelas menguatkan kemungkinan ada lagi Ahli Parlimen PN yang akan lompat.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen Bersatu keenam yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Selain Syed Abu Hussin Hafiz sendiri, Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) and Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) telah menyatakan sokongan kepada Anwar tanpa keluar parti.-29/2/2024

BERITA SEBELUM INI : Menanti kemunculan 10 lagi Ahli Parlimen PN yang nak ‘lompat’

[gambar hiasan] Kalau ikut dakwaan Ahli Parlimen Perikatan Nasional dari parti Bersatu kawasan Bukit Gantang,Perak Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal esok Rabu 28 Februari ialah dateline 10 lagi Ahli Parlimen PN akan umum sokongan pada pimpinan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Atas sebab itu ramai yang ternanti nanti untuk menatap wajah kalangan Ahli Parlimen PN yang nak ‘lompat’ itu.

Beliau mendakwa, mereka yang terlibat ialah lima ahli Parlimen dari Utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari negeri Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka.

Sebelum ini enam Ahli Parlimen PN sudah korner baring umum sokongan kerajaan Madani.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen Bersatu keenam yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Selain Syed Abu Hussin Hafiz sendiri, Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) and Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) telah menyatakan sokongan kepada Anwar tanpa keluar parti.

“Sebelum ini saya beritahu akan lebih 10, kini jumlahnya meningkat kepada 16.

“Jadi, sama-sama kita tunggu dan lihat jika lebih ramai ahli Parlimen akan mengisytiharkan sokongan kepada (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” kata Syed Abu Hussin dipetik Berita Harian selepas program Jualan Rahmah di Changkat Jering, Perak, Rabu (7 Feb).

Sebelum semasa satu sidang akhbar pada 26 Januari bila ditanya bila mereka akan nyatakan sokongan pada Perdana Menteri….beliau jawab ‘ saya kata tak lama lagi, menjelang 28 Februari ini ketika Dewan Rakyat bersidang.”

Jika betul bagai didakwa olehnya maka PN pasti akan demam tak kebah dengan jumlah Ahli Parlimen makin kurang dan kurang.

Kebelakangan ini kalangan pimpinan Bersatu dan PAS telah menolak dakwaan itu.

Apapun tunggu hingga esok Rabu….samaada Syed Abu Hussin ‘gempak’ saja atau terbukti beliau bukan sembang kosong.- 27/2/2024

BERITA SEBELUM INI : 16 MP Bersatu akan sokong Anwar akhir bulan ini…

BUKAN 1, bukan 2, bukan 10 tapi sekurang-kurangnya 16 Ahli Parlimen Bersatu akan menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri menjelang 28 Febuari ini.

Itulah kenyataan Ahli Parlimen Bersatu Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang telah menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Sebelum ini saya beritahu akan lebih 10, kini jumlahnya meningkat kepada 16.

“Jadi, sama-sama kita tunggu dan lihat jika lebih ramai ahli Parlimen akan mengisytiharkan sokongan kepada (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya dipetik Berita Harian selepas program Jualan Rahmah di Changkat Jering, Perak, Rabu (7 Feb).

Bulan lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen Bersatu keenam yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Selain Syed Abu Hussin Hafiz sendiri, Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) and Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) telah menyatakan sokongan kepada Anwar tanpa keluar parti.

Syed Abu Hussin Hafiz juga menafikan bahawa beliau telah menjadi perantara “urus niaga” untuk ahli Parlimen lain menyokong kerajaan, seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

“Saya bukan ‘broker’. Saya bercakap benar dan saya (tidak menghubungi) mana-mana daripada mereka.

“Apa yang saya boleh beritahu Pembangkang melakukan sesuatu yang tidak bermakna… mustahil jika ada ahli parlimen (kerajaan) mahu menyertai pembangkang.

“Mereka tidak jaga dengan baik,” tambahnya.

Ditanya mengenai kemungkinan tindakan Bersatu akan diambil terhadapnya, beliau berkata beliau bersedia untuk menghadapi akibatnya.

“Kalau mereka nak ambil tindakan undang-undang, saya terima dan kita akan lawan di mahkamah.

“Tetapi apa yang mereka rancangkan akan menjadi sia-sia kerana tidak ada dalam perlembagaan parti yang menyatakan tindakan boleh diambil… selagi perlembagaan parti tidak dipinda (ini tidak boleh berlaku).

“Saya dan rakan-rakan hanya menyokong kerajaan tetapi kami tidak meninggalkan parti,” tegasnya. 7/2/2024

susu1xx

Beri anak susu bercampur dadah, ibu mengaku salah

Seorang ibu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya Rabu atas pertuduhan menganiaya anak lelakinya dengan memberi minum susu bercampur air yang mengandungi dadah jenis Methamphetamine di sebuah apartment, minggu lepas.

Suri rumah berumur 34 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

“Saya mengaku bersalah, tapi saya tidak sengaja puan (beri minum susu mengandungi dadah),” kata ibu kepada tiga anak itu.

Sementara itu suaminya, peniaga air balang yang berumur 40 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia setahun empat bulan dengan memberi minum air susu bercampur dengan air yang mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan mangsa mengalami allegedsympathomimetic drug ingestion di sebuah apartment di Taman Medan, Petaling Jaya pada 6 petang, 19 Februari lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

“Dua tertuduh ini merupakan pasangan suami isteri tetapi mereka tidak mendaftarkan perkahwinan di sini (Malaysia),” kata Ahmad Zuhaini selepas ditanya hakim mengenai hubungan kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam.

Syahliza membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dilkat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 13 Mac untuk sebutan kes. – BERNAMA- 28/2/2024

pm-bersih1xx

PM terima memorandum BERSIH

Hari ini, saya telah menerima Memorandum daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) di Putrajaya oleh pimpinan BERSIH yang diketuai oleh Mohammad Faisal Abdul Aziz.

Kerajaan Perpaduan terbuka kepada sebarang rekomendasi atau saranan pihak BERSIH khususnya dalam penambahbaikan proses pilihan raya dan reformasi institusi.

Beberapa saranan pihak BERSIH menjadi perhatian saya dan terdapat antara cadangan dalam memorandum tersebut telah pun berada dalam pertimbangan dan tindakan Kerajaan Perpaduan.

Dialog serta ruang bertukar pandangan seperti ini penting bagi memahami aspirasi masyarakat sivil serta cabaran yang dihadapi oleh kerajaan khususnya dalam isu yang dikemukakan dalam memorandum ini.

Pendekatan yang lebih inklusif dalam mendengar sendiri pandangan masyarakat sivil seperti BERSIH diharap dalam meningkatkan lagi sinergi masyarakat sivil dengan kerajaan dalam proses demokrasi negara.

Selain itu, dalam pertemuan ini saya juga turut menekankan kepentingan mengukuhkan pendidikan politik dan meningkatkan literasi politik dalam kalangan masyarakat ke arah politik Malaysia yang lebih baik. – 28/2/2024 dari facebook PM

mas-ermieyatixxx

Mahkamah tolak rayuan calon BN, Mas Ermieyati kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah

DATUK Mas Ermieyati Samsudin kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Persekutuan pada Rabu menolak rayuan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid untuk membatalkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Panel tiga hakim terdiri daripada Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais memutuskan hakim Pilihan Raya tidak terkhilaf dalam dapatannya ketika menolak petisyen pilihan raya Abdul Hakim.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Nallini berkata peguam perayu berhujah hakim Pilihan Raya telah terkhilaf apabila gagal membuat kesimpulan daripada bukti yang ada atas kesalahan rasuah di bawah Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Bagaimanapun, peguam responden (Mas Ermieyati) berhujah sebaliknya. Perkara paling penting ialah istilah ‘mendorong mana-mana pemilih atau pengundi untuk mengundi atau menahan daripada mengundi’.

“Kami diminta membuat rumusan bahawa dorongan mengikut maksud Seksyen 10(a) boleh disimpulkan daripada tindakan pemberian wang semata-mata tanpa tambahan kepada pengundi selepas mengundi. Kami menegaskan bahawa sebarang tindakan pemberian wang untuk tujuan mengundi atau seumpamanya, adalah amalan keji dan tidak dibenarkan oleh mahkamah dalam apa jua keadaan,” katanya.

Hakim Nallini seterusnya berkata Seksyen 10 (a) secara jelas memerlukan bukti dorongan bermaksud bahawa pengundi perlu dipujuk atau dibawa untuk mengundi atau tidak mengundi dengan “tindakan” yang didorong atau dijanjikan pemberian wang atau pertimbangan lain.

“Dalam rayuan ini tidak ada bukti pengundi dipujuk atau dipengaruhi atau didorongkan untuk mengundi atau tidak mengundi atau mengundi dengan cara tertentu. Tidak ada bukti ekstrinsik yang boleh digunakan untuk mengandaikan dorongan sedemikian,” katanya.

Hakim Nallini juga mempersoalkan sama ada tindakan membayar wang kepada pengundi mempengaruhi keputusan mereka untuk mengundi, memandangkan pengundi telah mengundi dan tidak dijanjikan pembayaran atau menyedari wang sedang diagihkan di belakang restoran.

“Dalam erti kata lain, ketiadaan sebarang bukti pemberian wang atau balasan lain pada bila-bila masa, sekarang atau masa akan datang, sebelum tindakan mengundi, bolehkah dikatakan bahawa pengundi telah didorong untuk mengundi oleh responden atau ejennya?

“Kami tidak fikir begitu. Ini kerana akta itu sendiri memerlukan unsur dorongan untuk dibuktikan. Tidak mungkin wujud suapan di bawah Seksyen 10(a) tanpa pembuktian unsur dorongan,” tambahnya.

Mengenai “ejen”, Hakim Nallini berkata mahkamah berpuas hati bahawa Akmal Zahin Zainal Zahir dan Noorashimah Nordin memang bertindak sebagai ejen bagi pihak responden (Mas Ermieyati).

“Bagaimanapun, dengan ketiadaan unsur-unsur dorongan dalam Seksyen 10(a) dan pengaruh rasuah dalam Seksyen 8, kesalahan rasuah dan memberi layanan adalah tidak dibuktikan. Kami berpendapat bahawa hakim Pilihan Raya juga terkhilaf dalam membuat inferens bertentangan terhadap perayu berhubung ketidakhadiran Akmal dan Noorashimah.

“Adalah jelas bahawa perayu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan saksi-saksi ini. Apa-apa kesimpulan sedemikian hendaklah, jika ada, dibuat terhadap saksi-saksi ini. Walau bagaimanapun, walaupun hakim Pilihan Raya telah berbuat demikian, ini tidak akan mengisi jurang asas kekurangan bukti ‘dorongan’,” katanya.

Pada 10 Nov 2023, Abdul Hakim mengemukakan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Abu Bakar Katar mengenai petisyen pilihan rayanya.

Pada 27 Okt tahun yang sama, Mahkamah Pilihan Raya Melaka mengekalkan kemenangan Mas Ermieyati sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah kerana bukti rasuah Abdul Hakim tidak mencukupi untuk membuktikan wujud unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Pada 3 Jan tahun lepas, Abdul Hakim memfailkan petisyen pilihan raya itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi semasa PRU15.

Pada PRU15, Mas Ermieyati menang kerusi Parlimen berkenaan dengan memperoleh 25,604 undi, menewaskan Abdul Hakim (21,193 undi), Mutalib Uthman (7,445 undi) dan Handrawirawan Abu Bakar (507 undi).

Terdahulu, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, mewakili Abdul Hakim berhujah bahawa hakim Pilihan Raya telah terkhilaf dari segi fakta atau undang-undang apabila membuat dapatan bahawa perayu telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Beliau berkata hakim itu gagal mengambil kira keterangan tiga saksi pengundi berdaftar yang menerima wang daripada dua ejen responden (Akmal dan Noorashimah) di perkarangan sebuah rumah di Masjid Tanah pada hari pengundian, 19 Nov 2022 selain gagal mengambil kira jamuan yang diadakan pada 3 Dis 2022 selepas pilihan raya.

“Oleh itu, pihak kami berhujah terdapat perbuatan rasuah dan sogokan di bawah Seksyen 32(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) dan Seksyen 10 akta sama serta rasuah berbentuk jamuan di bawah Seksyen 8 AKPR semasa PRU15,” kata peguam itu.

Peguam Yusfarizal Yusoff, mewakili Mas Ermieyati pula berhujah hakim Pilihan Raya telah membuat keputusan yang tepat berlandaskan fakta dan undang-undang dalam menolak petisyen perayu.

“Hakim Pilihan Raya berpendapat dua indivu yang didakwa melakukan penyogokan bukannya ejen kepada responden dan perayu gagal membuktikan sogokan wang diberi kepada tiga saksi perayu (pengundi berdaftar) di kawasan berkenaan (Parlimen Masjid Tanah),” katanya dan menambah hakim Pilihan Raya juga telah memutuskan bahawa jamuan yang diadakan oleh responden bukan bertujuan untuk meraih undi.— BERNAMA- 28/2/2024

muhxcc

Mahkamah Rayuan tolak keputusan Mahkamah Tinggi yang bebaskan Muhyiddin

Ingat balik…pada 15 Ogos tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat tuduhan menyalah guna kedudukannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu menerusi projek Jana Wibawa.

Namun hari ini Rabu…Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Panel hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin telah terkhilaf dalam keputusannya bahawa keempat-empat tuduhan itu tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

Ia bermakna keempat-empat tuduhan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tersebut dikembalikan semula di hadapan Mahkamah Sesyen.

Pada 15 Ogos tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa pertuduhan salah guna kuasa adalah cacat dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Dia berkata pertuduhan itu tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai dakwaan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Hakim menegaskan antara kekurangan kejelasan mengenai empat pertuduhan itu ialah sama ada Muhyiddin dituduh membuat keputusan yang menyalahi undang-undang atau menggunakan kedudukannya secara menyalahi undang-undang.

Hakim menolak dakwaan pihak pendakwaan bahawa butiran dan perincian akan didedahkan semasa perbicaraan jenayah, menegaskan bahawa pertuduhan mestilah mengandungi butir-butir yang mencukupi untuk membolehkan Muhyiddin lebih bersedia untuk berdepan dakwaan semasa perbicaraan.

Walaupun dilepas dan dibebaskan dari empat pertuduhan itu , Muhyiddin masih menghadapi tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang belum selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.- 28/2/2024

dewan2

Kecoh sidang Dewan Rakyat…macam dah tak ada ubat

Ingatkan senarionya mungkin berbeza setelah mendapat teguran keras dari Yang Dipertuan Agong semasa merasmikan sidang Parlimen Isnin lalu…namun keadaanya ibarat macam tidak ada ubat.

Budaya lama yakni…perang dan perang…antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang terus menyelubungi suasana sidang Dewan Rakyat semalam Selasa dan hari ini Rabu.

Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim pada Isnin minta Ahli Parlimen jaga tatatertib dalam dewan.

“Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk. Ini adalah yang dewan mulia bukan dewan sangkar beruk,” titah baginda.

Setelah sidang diwarnai dengan tindakan keluar dewan beramai ramai pada Selasa kerana memprotes pada dakwaan kerajaan tidak mengikut aturan urusan mesyuarat di Dewan Rakyat…tengahari Rabu sidang kecoh sakan lebih 15 minit.

Ia meletup ketika Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Keadaan menjadi panas bila beliau mendakwa telah ditawar habuan dan diugut supaya mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Bertubi-tubi mereka menghubungi saya sehingga akhirnya saya mengambil keputusan untuk berjumpa.

“Pertemuan pertama pada 17 Januari 2024 di (Hotel) Westin, Bukit Bintang. Kalau nak sebut pasal langkah, (ini) ‘Langkah Westin’. Kemudian pindah tempat (ke) JW Marriott, ‘Langkah Marriott’.

“Selepas itu saya diam, sebab salah seorang yang bertemu itu rupa-rupanya kawan saya sehinggalah pada Istiadat Pembukaan Parlimen, Isnin lepas.

“Pada petang Isnin itu, saya diajak berjumpa di (Hotel) Corus, Jalan Ampang. Kemudian, tengah malam Isnin telefon untuk jumpa di Saujana Subang. Saya ada rekod, jangan cuba persoalkan nanti saya keluarkan satu-satu,” katanya.

Wan Saiful turut mendakwa beliau telah ditawarkan dengan habuan termasuk peruntukan Parlimen berjumlah RM1.7 juta sekiranya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Modus operandinya teliti, berjumpa di tempat tertutup, dalam bilik hotel dan nama individu berjumpa dengan saya juga, saya yakin bukan nama sebenar.

“Mereka guna nama ‘Rahim’,’Arman’ dan ‘Hasnan’. Namun ada satu nama yang diulang berkali-kali seolah-olah inilah punca kuasa, mereka sebut nama Farhan. Saya tak kenal dan tak pernah jumpa (Farhan),” dakwa beliau.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta Wan Saiful supaya menghentikan naratif sedemikian dan tidak lagi bercakap mengenai soal itu kerana kenyataan bersifat sangkaan tidak baik.

Pendedahan itu juga membangkitkan rasa tidak puas hati ahli-ahli Parlimen kerajaan termasuk Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani); RSN Rayer (PH-Jelutong); Chong Zhemin (PH-Kampar) dan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur).

Kesemua ahli Parlimen kerajaan itu meminta Johari menghentikan kenyataan Wan Saiful dan mendesak supaya Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu membuat laporan polis sekiranya dakwaan itu benar.

RSN Rayer menggesa Wan Saiful membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaannya itu.

Mereka menyifatkan Wan Saiful sekadar menjaja khabar angin di Dewan Rakyat.

“Kalau anak jantan, buat laporan SPRM,” kata RSN Rayer.

Wan Saiful juga dicabar jika berani mengulangi tuduhannya di luar parlimen.

Pada akhir pendedahan itu, Wan Saiful menegaskan tidak akan sama sekali terpengaruh dengan habuan-habuan yang didakwa ditawarkan itu.

“Saya bimbang keselamatan diri saya, anak-anak dan isteri tetapi saya berserah kepada Allah sekiranya itu adalah niat buruk kepada saya.

“Saya tak akan boleh dibeli dengan tawaran rasuah, kalau nak mengharapkan saya membelot dengan perjuangan ini, tak sama sekali dengan rasuah yang ditawarkan,” katanya.

Sebelum ini Johari telah mendesak Wan Saiful tarik balik satu dakwaan yang melibatkan nama Perdana Menteri.

Beliau juga beri amaran akan kenakan tindakan terhadap Ahli Parlimen itu jika beliau teruskan buat dakwaan yang tidak dapat disahkan kesahihannya.- 28/2/2024

bunuh

KEMASKINI : Lima terlibat kes bunuh pemandu di Semenyih berdepan hukuman gantung

Lima penghantar makanan berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dalam kes membunuh seorang pemandu selepas satu kemalangan di Taman Pelangi Semenyih minggu lalu.

Kelima-lima tertuduh itu ialah Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43 dan Syamsul Qamar Ayob, 40.

Mereka didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pada Selasa pagi.

Kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 tahun sehingga 40 tahun dan tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kesemua lelaki itu didakwa secara bersama-sama telah membunuh mangsa, Shahril Samad, 41, di Taman Pelangi Semenyih 2 di Beranang sekitar jam 9.54 malam pada 20 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Siti Nur Liyana Sulaiman manakala kesemua tertuduh diwakili oleh Peguam Mohd Hafiz.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas kelima-lima selain menetapkan 25 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi status laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Selepas prosiding kes itu selesai, kedengaran suara seorang lelaki yang dipercayai ahli keluarga mangsa menjerit “bang, kau tunggu!” ke arah kesemua tertuduh dari galeri awam sebelum diarah keluar daripada mahkamah oleh anggota polis.

Mereka berlima ditahan pada 21 Februari lalu ramai lima lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat memukul seorang pemandu kereta di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, selepas terlibat dalam kemalangan.

Pemeriksaan mendapati terdapat kesan seperti diikat pada pergelangan tangan mangsa dan pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian telah mengesahkan kematian mangsa.

Saksi di kawasan perumahan tersebut mendakwa telah melihat mangsa ditarik keluar dari Saga oleh sekumpulan lelaki sebelum dipukul.

Malah, tangan mangsa juga diikat sambil dibiarkan terbaring di tengah jalan.- 27/2/2024

Lelaki maut dipercayai dipukul selepas kemalangan sah positif dadah

SIASATAN awal polis mendapati lelaki berumur 42 tahun yang maut dipercayai akibat dipukul selepas kejadian langgar lari di Semenyih Selasa lepas, positif dadah jenis ganja dan methamphetamin, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata lelaki itu juga didapati mempunyai 10 rekod lampau membabitkan dadah serta satu rekod dikehendaki, juga bersabit kesalahan dadah.

“Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan yang ketara pada badan lelaki itu yang boleh membawa kepada kematian, namun kita masih lagi menunggu ujian makmal pathologi untuk mengesan punca sebenar kematian,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan siasatan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya antara ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid kepada ACP Shahrulnizam Jaafar pada Jumaat.

Selain itu Hussein berkata polis juga telah menahan dua lagi suspek lelaki berusia 23 dan 40 tahun di sekitar Kajang semalam bagi membantu siasatan, dan mereka dijangka direman bagi membantu siasatan.

“Keseluruhannya polis telah menahan tujuh individu bagi membantu siasatan dalam kes ini. Dua pemandu yang terlibat dalam kemalangan melibatkan lelaki itu juga telah membuat laporan polis,” katanya.

Dalam kejadian pada 9.20 malam itu, sebuah kereta Proton Saga terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan berkenaan sebelum pemandunya ditarik keluar oleh sekumpulan lelaki lalu dipukul, diikat dan dibiarkan terbaring di atas jalan berhampiran keretanya.

Pihak ambulans yang tiba kemudiannya mengesahkan pemandu itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, mengulas tentang kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin 6 Dis lepas Hussein berkata, tiada maklumat baharu diperoleh oleh pihaknya walaupun wang RM20,000 ditawarkan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kepada sesiapa yang mempunyai maklumat bagi membantu siasatan.

“Sehingga hari ini tiada individu tampil untuk memberikan maklumat baharu mengenai kes berkenaan, bagaimana kami tidak berputus asa dan akan terus menjalankan siasatan,” katanya.— BERNAMA-23/2/2024

HARUMMANIS

Lebih 2,000 metrik tan Harumanis di Perlis disasarkan berbuah musim 2024

KANGAR – Jabatan Pertanian Perlis menyasarkan lebih 2,000 metrik tan buah mangga Harumanis pada musim ini akan dituai setelah lapan minggu dibalut, yang dijangkakan bermula seawal minggu ketiga Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perlis Razali Saad, berkata sasaran itu berdasarkan potensi hasil dan keluasan berbunga menerusi keluasan berhasil 1,611.59 hektar setakat Januari lepas, daripada keseluruhan penanaman Harumanis seluas 1,745.79 hektar di Perlis.

“Tahun ini Harumanis dijangka bertambah mengikut anggaran bunga yang kita perolehi sekarang, kalau bulan Mac nanti masih ada banyak bunga, mungkin jumlahnya akan bertambah lagi.

“Bilangan penanam juga bertambah yang keseluruhannya 2,693 orang dengan pertambahan empat ladang berbanding tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program tinjauan mesra beliau sempena Kempen Peningkatan Kualiti Mangga Harumanis Perlis di Kangar Selasa.

Razali berkata, pihak Jabatan Pertanian negeri itu akan membantu dalam usaha memastikan buah yang akan dituai itu berada pada tahap matang bagi mengelakkan isu buah masam apabila masak melalui kursus dan khidmat nasihat. 

“Selain itu, pekebun yang menanam Harumanis secara persendirian di perkarangan rumah disaran membalut Harumanis dalam tempoh lapan minggu supaya kualiti buah terjamin.

“Terdapat antara 10 hingga 15 peratus pekebun Harumanis menanam di perkarangan rumah mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihak Jabatan Pertanian Perlis akan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin bagi mengawal serangga perosak baharu yang dikenal pasti menyerang tanaman Harumanis di beberapa lokasi di negeri itu.

“Pihak mereka (Jabatan Pertanian) telah mengenal pasti serangga perosak baharu yang mampu menjejaskan kualiti Harumanis di beberapa lokasi sekitar di Perlis.

“Kita masih mengkaji serangga perosak itu, kerana kita telah mendapat tiga kes iaitu dua kes di Bintong (Kangar) dan satu kes di Titi Tinggi (dekat Padang Besar),” katanya. – BERNAMA- 27/2/2024