SULTAN_IBRAHIM_1708918901

Mesej jelas dari Yang Dipertuan Agong…tak akan layan cubaan gugat kestabilan politik negara

“Jika ada hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang.” Itu mesej jelas dalam titah Seri Paduka yang Dipertuan Agong ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, pada Isnin.

“Ingin saya tegaskan di sini, yang saya tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk.

Serentak dengan itu baginda mengingatkan semua 222 ahli Dewan Rakyat telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka dalam kerajaan.

“Semua pihak sedia maklum bahawa keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana.

“Oleh itu, saya berharap semua ahli Yang Berhormat akan menumpukan usaha membela nasib hidup mereka dan bukannya untuk kepentingan parti politik dan diri sendiri,” titah baginda.

Untuk tujuan itu Sultan Ibrahim juga menggesa semua ahli parlimen tanpa mengira parti masing-masing untuk bekerjasama ke arah membina negara dan berkhidmat kepada rakyat.

Titah baginda, sebarang kegagalan ataupun kejayaan bukan terletak di bahu perdana menteri sahaja malah semua 222 ahli Parlimen yang diamanahkan oleh rakyat perlu sama memikul tanggungjawab itu.

Dalam pada itu Yang di-Pertuan Agong memberi ‘lesen’ kepada speaker untuk bertindak tegas ke atas wakil rakyat yang gagal mematuhi disiplin.

Baginda akui pernah berasa “malu” untuk memasuki parlimen selepas melihat tingkah laku sesetengah ahli dewan.

“Kalau tengok perangai ahli parlimen sebelum ni, saya rasa malu hendak masuk ke dewan ni,” titah baginda disambut dengan tepukan meja ahli-ahli parlimen.

Titah baginda lagi, parlimen ialah tempat sesuatu undang-undang negara digubal, justeru ahlinya mesti menunjukkan contoh teladan yang baik.

“Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk. Ini adalah yang dewan mulia bukan dewan sangkar beruk,” titah baginda. – 26/2/2024

demo1

Bantah….projek asrama untuk 32,000 pekerja asing

Sekitar 1,000 orang penduduk Teluk Kumbar.Pulau Pinang telah menyertai himpunan kali kedua pada pagi Ahad untuk membantah cadangan projek asrama untuk menempatkan lebih 32,000 pekerja asing di situ.

Mereka mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang batal cadangan bina kompleks asrama berkenaan di situ sebaliknya cari tempat lain yang lebigh sesuai seperti di Batu Kawan sebelah Seberang Perai atau kawasan dekat kilang kilang.

Menurut mereka projek berkenaan akan cetuskan pelbagai masalah keatas kawasan majoriti perkampongan itu yang kini sudah padat penduduk.

Misalnya bila siap nanti dijangka sekitar 800 bas kilang perlu keluar masuk untuk angkut pekerja asing ke tempat kerja dan balik setiap hari.

Penduduk bertegas mereka terus menerus akan tentang projek berkenaan termasuk hantar memorendum pada Perdana Menteri dan Ketua Menteri jika perlu.- 25/2/2024

nikah songkhla thailand

Hampir 300 pasangan dari Malaysia nikah di Thailand setiap bulan

YALA (Thailand) – Kira-kira 250 hingga 300 pasangan dari Malaysia hadir membuat pengesahan dokumen pernikahan mereka di pejabat Konsulat Jeneral Malaysia setiap bulan selepas berkahwin di Thailand.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, berkata kebanyakan pasangan ini adalah mereka yang berkahwin sama ada di Narathiwat, Pattani, Yala, Satun atau Songkhla.

“Ada juga yang berkahwin di Bangkok tetapi hadir ke pejabat Konsulat Jeneral di sini untuk mendapatkan pengesahan yang hanya boleh dibuat oleh pihak Konsulat Jeneral Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Melayu Day kali ke-9, di Yala semalam.

Hadir sama Menteri Keadilan Thailand yang juga bekas Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan (SBPAC) Thawee Sodsong, Gabenor Yala Ampon Pongsuwan, Konsul Jeneral Indonesia Suargana Pringganu dan Datuk Bandar Yala Pongsak Yingchoncharoen.

Ahmad Fahmi berkata, pengesahan dokumen pernikahan itu penting agar pasangan terbabit tidak terlibat dengan sindiket yang cuba melakukan penipuan. 

Katanya, dengan pengesahan yang diperoleh daripada pejabat Konsulat Jeneral Malaysia pasangan terbabit boleh membuat pendaftaran perkahwinan mereka di Malaysia.

“Pendaftaran pernikahan ini penting terutamanya untuk masa depan anak-anak yang kemungkinan menjadi “anak tanpa negara”. Masalah juga biasanya timbul apabila anak-anak sudah meningkat dewasa.

“Apabila anak dewasa dan memerlukan wali untuk bernikah sudah pasti akan menimbulkan masalah apatah lagi sekiranya berlaku kematian yang melibatkan di segi pengurusan harta,” katanya. – BERNAMA-25/2/2024

ringgitxx

Jangan jadikan isu kelemahan ringgit sebagai senjata politik – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu kejatuhan nilai ringgit sebagai senjata politik sehingga tidak bersandarkan kepada fakta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sentiasa mencari jalan untuk mengatasi perkara itu termasuk dengan memperkenalkan kerangka Malaysia MADANI yang bertujuan memperkasa ekonomi negara.

Beliau berkata hasilnya, pada tahun lepas pelaburan mencatatkan jumlah paling tinggi dalam sejarah di sebalik kejatuhan nilai ringgit.

“Kadang-kadang orang lupa, bila jadi isu politik nak hentam sahaja. Kalau dunia tiada keyakinan, pelaburan akan di tahap perlahan.

“Dunia dan pelabur ada keyakinan, maka kita catat pelaburan tertinggi (tahun lepas) dalam sejarah Malaysia, inflasi menurun, kadar pengangguran menurun dan pertumbuhan (ekonomi) dapat dipertahankan dalam keedaan dunia lembap dari segi pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Restu Global Quranic Arts Festival 2024 di Kompleks Nasyrul Quran, Sabtu.

Anwar berkata pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dapat ditangani memandangkan perdagangan Malaysia dengan China, Indonesia dan Thailand menggunakan nilai mata wang tempatan.

“Perdagangan Malaysia yang terbesar ialah dengan China iaitu 25 peratus dagangan menggunakan ringgit dan mata wang China (renminbi), 18 peratus dengan Indonesia menggunakan ringgit dan rupiah, 20 peratus dengan Thailand menggunakan ringgit dan baht, maka isu dolar tidak ada kesan.

“Kita bimbang kalau kalau ringgit jatuh, inflasi naik, pertumbuhan terbantut dan pelaburan tidak datang. Itu kita bimbang… sekarang ini semua angka dan data ekonomi menunjukkan kita di landasan yang betul,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata konteks MADANI bertujuan untuk mengangkat ekonomi selain memperkasa seni dan budaya, namun dalam masa yang sama nilai dan akhlak itu tetap diterap dalam setiap pembangunan.

“Apa erti pembangunan mencakar langit (kalau) rakyat tertekan dan tidak dipeduli? Apa erti kilang-kilang dan gedung-gedung hebat tetapi pekerja dalamnya ditekan dengan gaji rendah,” katanya.

Perdana Menteri seterusnya menyeru agar budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran terus diperluas bagi melahirkan generasi al-Quran.

“Generasi al-Quran ini, dia baca, faham dan amalkan. Kalau tidak, kita ada kesenjangan atau perbezaan. Kita bicarakan mengenai keadilan, tapi kita tolak ansur dengan penyelewengan, kezaliman dan rasuah yang berlaku.

“Pendirian saya dalam Kerajaan MADANI, saya tidak mahu tolak ansur lagi mengenai prinsip tatakeloka, bersihkan negara daripada rasuah,” katanya.

Restu Global Quranic Arts Festival 2024 bertema “Gaya Hidup Islami” yang berlangsung dari 23 Feb hingga 3 Mac ini bertujuan mempromosi Islam sebagai sebahagian gaya hidup selain menggalakkan pemahaman dan penghayatan yang lebih mendalam terhadap al-Quran melalui medium seni.

Pada majlis hari ini Anwar turut melancarkan Mushaf Al-Ummah yang bertujuan mengembalikan tradisi penyalinan al-Quran seperti yang dilakukan sepanjang sejarah Islam bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Anwar juga melancarkan Buku ADAB MADANI bagi mengembalikan budaya menyalin dan menulis dalam kalangan masyarakat, menggalakkan penulisan positif agar elemen positif ditonjolkan dalam kehidupan masyarakat berbanding elemen negatif, selain memupuk akhlak baik merentasi bangsa, warna kulit, golongan dan fahaman.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Timbalan Pengerusi merangkap Pemegang Amanah Yayasan Restu Datuk Seri Ahmad Maslan. — BERNAMA- 24/2/2024

tiong12

Panas…Menteri VS pegawai kerajaan

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing zahirnya nampak seperti seorang ‘tough guy’.

Mereka yang tidak mengenali Ahli Parlimen dari Bintulu,Sarawak ini dari dekat sudah tentu ada persepsi itu melihat pada gaya dan stailnya.

Ingat balik bila beliau terjah Lapangan Terbang KLIA pada hujung Jun 2023 untuk tangani sendiri kes orang pelancong China yang ditahan oleh pihak imigresen.

Polimek isu itu agak panjang juga bila Tiong didakwa ‘main langgar’ hal di luar bidang kuasanya.

Menteri itu bagaimanapun mempertahankan tindak tanduknya atas alasan kehadirannya di KLIA bagi mendedahkan rasuah di kalangan pegawai di lapangan terbang.

Terbaru…Tiong bikin panas lagi bila beliau bertindak turunkan pangkat Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (TDC) Datuk Dr Ammar Abd Ghapar atas dakwaan tidak boleh buat kerja.

Isu ini mencuri perhatian bila tular satu surat bertarikh 22 Februari yang memaklumkan penamatan pelantikan Ammar sebagai Ketua Pengarah TDC berkuat kuasa 24 Februari 2024.

Surat berkenaan antara lain memaklumkan penamatan perkhidmatan Ammar itu dilakukan selaras dengan peruntukan subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) yang dibaca bersama dengan peruntukan Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).

Pengarah Kanan Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika) yang juga memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), P. Manoharan akan dilantik menggantikan Ammar.

Pada Jumaat lalu Ammar dilaporkan meluah rasa kecewa apabila perkhidmatannya selama 36 tahun dalam industri pelancongan ditamatkan.

Dakwa Ammar, sebagai kakitangan kerajaan yang telah lama berkhidmat, beliau sentiasa melakukan tugas mengikut prosedur dan tatacara betul.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya tetap mempertahankan keputusannya.

Beliau menafikan Ketua Pengarah TDC itu dipecat daripada jawatan sebaliknya beliau diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Tiong berkata keputusan itu dibuat berdasarkan faktor kemerosotan prestasi Ammar, disifatkan beliau sebagai tidak memuaskan, selain tidak mencapai standard ditetapkan walaupun telah beberapa kali dinasihat dan diberikan peluang.

“Saya bagi dia peluang pasal dia ada PhD (Doktor Falsafah) Pelancongan. Bila dia jalankan tugas dia tak membuktikan dia ada PhD… Pelancong datang sini, tapi destinasi baharu tiada (kerana) dia tidak lakukan libat urus dengan negeri dan negara lain,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Tiong berkata tiada libat urus dengan pemain industri juga menjadi antara punca pegawai itu diturunkan pangkat.

“Contoh China, saya kata (sasaran) lima juta masuk, pasal mereka betul-betul pelancong dan mereka berbelanja, (tapi) dia kata tak boleh capai, hanya tiga juta pelancong sahaja.

“Namun pelancong yang datang pun tidak sampai tiga juta, (hanya) 1.6 juta pelancong saja. Maksudnya anda tidak menjalankan libat urus, negeri lain mengadu kepada saya kenapa Tourism Malaysia mohon ini tak dapat, tak ada jawapan… jadi ini kita sudah nampak kelemahan itu semua,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong turut menegaskan bahawa tindakan menurunkan pangkat itu tidak ada kaitan dengan unsur perkauman.

“Kita ikut proses sedia ada, kalau tidak boleh (capai prestasi), kita turun.

“Jadi tidak ada unsur-unsur perkauman. Kalau kita bagi satu kaum sahaja kerja, lain-lain kaum macam mana?

“Kalau beliau (Ammar) tidak boleh buat kerja, jangan buat malu kepada kementerian atau Tourism Malaysia, pergi main simpati atau kata dipecat sedangkan dia turun jadi Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia,” ujarnya.

Tiong berkata walaupun Ammar bakal akan bersara pada bulan Mac tahun hadapan, namun beliau tidak boleh menunggu sehingga tempoh itu dan perlu untuk membuat keputusan demi kelangsungan industri pelancongan Malaysia.

Tindakan Tiong mendapat bantahan dari Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM).

Presiden KPPLPPM Alwi Shakir Abdullah berkata penamatan Ammar sebagai Ketua Pengarah dalam notis singkat bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyatakan menteri tidak boleh campur tangan urusan penjawat awam.

“Kita faham ada kuasa eksekutif menteri atau mana-mana ahli politik sebagai Ahli Parlimen yang dalam pentadbiran.

“Tetapi di manakah had kuasa sehingga boleh menggunakan keseluruhan kuasa dia untuk membuat perkara seperti ini,” katanya.

“KPPLPPM juga berpendapat bahawa Tribunal Penjawat Awam juga perlu diwujudkan kembali agar terdapat platfom yang dapat digunakan untuk representasi diri jikalau merasakan penganiayaan telah berlaku terhadap mereka.

“Pihak KPPLPPM bersedia untuk bertemu Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan pencerahan dari beliau sendiri berhubung perkara ini.

“Di pihak sana pun tidak memberikan apa-apa kenyataan lagi melainkan ada khabar angin kononnya tindakan itu disebabkan faktor prestasi. Tetapi ukuran prestasi kepada industri pelancongan antaranya adalah ketibaan pelancong, data yang dikeluarkan pun meningkat tiada masalah, penerbangan juga berlaku peningkatan,” katanya.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat juga mempersoalkan notis singkat terhadap Ammar.

Katanya mereka faham kuasa menteri tetapi adakah tindakan terhadap Ammar cara terbaik kendali isu berkenaan.

Beliau berpendapat patutnya ada pihak ketiga yang bertindak sebagai penasihat untuk jamin keadilan sebelum keputusan dibuat.

Bekas Timbalan Menteri Pelancongan dari 2015 hingga 2018 yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional Masjid Tanah Melaka Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga menyifatkan tindakan Tiong terhadap Ammar tidak wajar.

Mas Ermieyati mendakwa semasa berurusan dengan Ammar waktu itu beliau menunjukkan sikap dedikasi dan komitmen untuk meningkatkan industri pelancongan negara.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika diminta ulas isu ini menjelaskan bahawa bidang kuasa untuk melantik dan menamatkan perkhidmatan Ketua Pengarah TDC adalah di bawah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau berkata perkara itu telah dijelaskan dalam Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481).

“Sebenarnya bidang kuasa untuk melantik Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah kuasa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, di bawah Akta 481 iaitu kuasa menteri untuk melantik dan menamatkan perkhidmatannya.

“Kadang-kadang kita perlu beri penjelasan kepada rakyat kerana saya difahamkan isu ini berlaku dan ditularkan, dalam surat pewartaan yang dikeluarkan mengatakan ia di bawah bidang kuasa menteri berkenaan, jadi apa-apa penjelasan adalah daripada menteri terbabit,” katanya selepas menghadiri raptai perasmian penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Sabtu.

Apapun disebalik semua ini ada juga kalangan yang menilai tindakan Tiong tidak perlu dipersoalkan jika apa yang didakwanya pasal prestasi Ammar itu benar.

Menurut mereka industri pelancongan adalah sangat penting bagi ekonomi negara.

Kata mereka negara negara jiran seperti Thailand,Singapura dan Indonesia sudah kedepan dalam gerak langkah mereka untuk menarik pelancong asing.

Jika agensi kerajaan yang bertanggongjawab mengurus hal ini lembab maka Malaysia akan terus ketinggalan jauh.

“Jika betul seperti didakwa oleh Tiong kita tidak boleh berlengah dan terus menerus main sentimen politik,”kata mereka.- 24/2/2024

SPRM111

KEMASKINI : Azam Baki jawab dakwaan Muhyiddin pasal kontrak Spanco…

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, hairan bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh andaikan beliau dakwa bekas Perdana Menteri itu terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak kepada Spanco Sdn Bhd.

Sambil menafikan andaian berkenaan Azam menjelaskan beliau hanya membuat kenyataan umum dan tidak pernah mengaitkan Muhyiddin dalam kes pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan berkenaan.

“Saya menyatakan tidak menafikan, mahu pun tidak menolak (panggil Muhyiddin beri keterangan). Namun, ia bergantung kepada pegawai penyiasat SPRM.

“Jadi, saya sebenarnya tidak lagi mengatakan serta tidak membuat membuat sebarang andaian (mengaitkan Muhyiddin dalam isu Spanco). Itu satu perkara biasalah bila kita membuat kenyataan tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku (dalam siasatan SPRM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Mersing, di Mersing Ahad.

Azam turut mempersoal maksud penafian dibuat Muhyiddin.

“Apa maksud dia sebenarnya? Saya hanya membuat kenyataan (isu Spanco) apabila ditanya (media) sama ada beliau akan dipanggil.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco.

Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, sehingga kini tohmahan jahat itu berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau terbabit dalam perkara terbabit dan salah laku berkenaan.

Azam sebelum ini berkata, SPRM akan memanggil Muhyiddin memberi keterangan, jika ada keperluan berbuat demikian bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Oleh sebab itu, saya katakan kalau ada keperluan, saya serahkan kepada pegawai penyiasat untuk memanggil sesiapa jua, termasuk Muhyiddin.

“Khamis lalu, saya menyatakan beberapa saksi sudah dipanggil memberi keterangan termasuk bekas menteri kewangan yang terbabit dalam pemberian kontrak SPANCO.

“Saya juga ketika itu menyatakan tidak akan menolak memanggil sesiapa sahaja yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan,” katanya.- 25/2/2024

Muhyiddin nafi terlibat salah laku pemberian kontrak kepada SPANCO

Saya menafikan sekeras-kerasnya tohmahan kononnya saya terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada SPANCO.

Sehingga kini tohmahan jahat ini berlegar dalam media massa dan media sosial tanpa butiran yang lengkap bagaimana saya terbabit dalam perkara ini dan apakah salah laku tersebut.

Samalah seperti tuduhan sebelum ini kononnya saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan billion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduh saya.

Saya juga telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah berkaitan projek Janawibawa. Pihak pendakwa merayu dan rayuan akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 28 dan 29 Februari 2024.

Saya berdoa semoga saya mendapat keadilan di mahkamah.

Ini adalah sebahagian daripada siri pembunuhan karakter yang dibuat oleh musuh politik saya yang bertujuan untuk menjejaskan reputasi saya.

Berhubung kontrak SPANCO, kerajaan sepatutnya mendedahkan kenapa surat niat (LOI) yang diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu dibatalkan. Saya percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan. Perlu didedahkan juga ialah tarikh bila kontrak tersebut diberikan kepada SPANCO.

Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya. Sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terlibat dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan.

Jangan samakan kedudukan saya dengan Perdana Menteri ke-10 yang juga merupakan Menteri Kewangan. Saya tahu kedudukan saya.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
23 Februari 2024

muh-menantu1

KEMASKINI : SPRM masih belum tahu dimana menantu Muhyiddin…

Sehingga hari ini SPRM masih belum ada maklumat dimana menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan berada bagi hadapi pertuduhan di makhamah.

Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki beritahu wartawan di Mersing pada Ahad pihaknya perlu menyemak perkembangan notis merah dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Muhammad Adlan.

Azam Baki berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan notis merah kepada Interpol terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat, 69, pada Oktober tahun lalu.

Muhammad Adlan dan Mansoor Saat meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

“Itu (di mana keberadaan Muhammad Adlan dan peguamnya) kita belum dapat maklumat lagi.

“SPRM akan semak lagi dengan Interpol (sama ada sudah dikesan). Buat masa ini, kita tunggu dia (Muhammad Adlan) kembali ke negara ini untuk pertuduhan di mahkamah.

“Usaha masih dijalankan, kita juga telah memohon kepada PDRM untuk menyenaraikan Muhammad Adlan dalam senarai orang dikehendaki. SPRM masih berusaha, bukan dia seorang, tetapi juga peguamnya.

“Kita sekarang ini tunggu dia (Muhammad Adlan) balik (ke Malaysia) dulu sebelum menuduhnya di mahkamah,” kata Azam Baki.

Khamis lalu, Azam dilaporkan mengesahkan beberapa kertas pertuduhan ke atas Muhammad Adlan yang juga ahli perniagaan, sudah lengkap.

Katanya kertas pertuduhan ke atas Muhammad Adlan membabitkan beberapa dakwaan, termasuk jenayah pecah amanah (CBT).

SPRM sebelum itu dilaporkan sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.= 25/2/2024

SPRM sedang cari menantu Muhyiddin…

Dimana Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.SPRM sedang mencari orang ini.

Beliau yang merupakan menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhammad Adlan Berhan,48 ialah suami kepada anak kedua Muhyiddin yakni Nabilah.

Beliau dipercayai berada di luar negara.

SPRM mencari Muhammad Adlan bagi menghadapi pertuduhan membabitkan kes pecah amanah jenayah (CBT).

Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan ke atas Muhammad Adlan sudah diselesaikan.

Katanya meskipun siasatan sudah disiapkan, namun Muhammad Adlan, masih belum dapat dikesan.

Beliau berkata, menantu bekas Perdana Menteri itu masih pulang ke tanah air setelah bertindak keluar dari Malaysia pada Mei tahun lalu.

“Kertas siasatan melibatkan Muhammad Adlan telah selesai dan bersedia untuk dituduh, namun dia masih belum dapat dikesan dan belum kembali ke tanah air.

“SPRM telah menghantar kertas siasatan berhubung kes pecah amanah untuk pertuduhan di mahkamah,” katanya ketika sidang akhbar selepas satu majlis di WTC pada Khamis.

Pada Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk permohonan Notis Merah terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat, 69.

Beberapa dokumen termasuk draf pertuduhan kes membabitkan dua individu terlibat telah diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah.

Tindakan memanggil Muhammad Adlan dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Semakan rekod oleh SPRM mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

pelaburan asing

Malaysia catat jumlah pelaburan diluluskan RM392.5 bilion pada 2023 – PM

Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 meningkat 23.0 peratus daripada 2022, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata daripada jumlah tersebut, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.

“Prestasi cemerlang ini disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus dalam pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus dalam pelaburan asing,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata perkara itu dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil. 2/2024 yang diadakan hari ini,Khamis

Perdana Menteri berkata landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi amat memberangsangkan ini juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Secara tidak langsung, ini merupakan petanda bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan telah mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur,” kata beliau.

Jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut melibatkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi menyumbang lebih daripada separuh (51.1 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion, diikuti sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1 peratus) dan sektor utama sebanyak RM9.1 bilion (2.8 peratus).

Sementara itu Anwar berkata mesyuarat tersebut juga membincangkan mengenai hala tuju pelaburan digital negara, selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang semakin pesat dan merupakan antara sektor ekonomi yang penting dalam memperkukuh agenda pelaburan.

Ekonomi digital yang menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2021, diunjur meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.

Bagi tempoh 2021-2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion merangkumi projek diluluskan melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan.

Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan 36,553 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Anwar berkata, antara pelaburan digital yang diluluskan adalah dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar dan kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, kehadiran syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa negara mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital.

Justeru, kata beliau, kerajaan perlu memudahcara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara. Bernama – 22/2/2024

amir2

Amir Hamzah dedah kisah dilantik jadi menteri, privasi diri dan rezeki

PUTRAJAYA: Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang pernah menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan II pada Disember 2023 dalam rombakan Kabinet, menganggap beliau lebih sebagai ahli teknokrat berbanding ahli politik.

Malah, bekas ahli korporat itu menegaskan, susulan pelbagai usaha yang dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti pelancaran Kerangka Ekonomi MADANI dan pengenalan beberapa siri dasar bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan domestik, tugas utama beliau lebih tertumpu kepada usaha membantu Perdana Menteri untuk meletakkan Malaysia di landasan tepat bagi mencapai kemajuan pada masa depan.

“Saya di sini bagi membantu Perdana Menteri menjayakan banyak perkara yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan seperti meringankan tugas seharian beliau dan menyusuli semuanya agar beliau berupaya menumpukan lebih banyak masa dalam hal-hal dasar serta kepimpinan kepada kementerian-kementerian lain,” katanya.

Berkata demikian kepada BERNAMA baru-baru ini dalam temu bual media pertamanya sejak memegang jawatan itu tahun lalu, Amir Hamzah, 57, menyoroti tempoh dua bulan selepas menggalas tanggungjawab dalam Kementerian Kewangan (MoF) yang juga antara kementerian paling penting.

Pada masa sama, Amir Hamzah turut membawa bersama profil sebagai anak sulung Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin, tokoh yang pernah berkhidmat dalam sektor awam serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) pada 1988 hingga 1995.

Ditanya kisah di sebalik pelantikannya, beliau mendedahkan, telah didekati bagi tawaran menggalas tanggjungjawab itu beberapa bulan lebih awal sebelum pengumuman dibuat.

“Buat beberapa lamanya, saya tidak memberi sebarang persetujuan kerana ini satu keputusan yang besar. Ini juga satu peranan umum dan pada akhirnya saya bukanlah seorang ahli politik, saya adalah ahli teknokrat dan tahu apa kepakaran saya serta apa yang boleh disumbangkan.

“Namun, saya tidak berkompromi dari segi mengingatkan orang ramai bahawa saya bukanlah ahli politik. Saya tidak berjuang untuk menawan mana-mana kerusi (pilihan raya) kerana ini tiada dalam DNA (genetik) keluarga saya.

“Sebahagian besar orang tahu bahawa ayah saya pernah berada dalam perkhidmatan awam,” kata beliau merujuk kepada Allahyarham Azizan, satu nama besar dalam bidang awam mahu pun swasta.

Azizan melakar kerjaya cemerlang dalam perkhidmatan awam, bermula dengan menyertai Kementerian Pelajaran pada 1960 dan seterusnya menjadi setiausaha sulit kanan kepada perdana menteri kedua, ketiga dan keempat.

Beliau bersara sebagai ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada 1988, disusuli dengan menggalas tugas sebagai presiden dan CEO PETRONAS.

Bukan tempoh ‘bulan madu’

Berkongsi bagaimana beliau dapat menyesuaikan diri dengan peranan baharu, Amir Hamzah berkata, jawatan itu tidak menyajikan tempoh ‘bulan madu.’

“Perjalanan peralihan ini sememangnya menarik. Seperti yang anda sedia maklum, saya ahli korporat yang sibuk bagi satu tempoh yang lama sebelum beralih kepada kerajaan. Selepas dua bulan, apa yang pasti, ini bukanlah tempoh bulan madu,” katanya.

Atas alasan itu juga, beliau menegaskan, akan melakukan yang terbaik bagi membantu Perdana Menteri mengemudi Malaysia ke arah masa depan lebih cerah dan tidak menolak kemungkinan mengambil keputusan yang tidak popular demi keutamaan negara.

“Saya fikir nilai seorang teknokrat adalah kebolehan untuk menyuarakan dan melakukan apa yang tepat demi negara, kadang-kadang ini boleh melibatkan beberapa keputusan yang sukar. Jika keputusan itu tidak popular namun perlu, maka kita kena buatlah, sama ada anda suka atau tidak.

“Ini kerana mesti memikirkan apa yang penting untuk faedah jangka panjang negara. Jika tiada siapa pun mahu membuat keputusan itu, maka anak dan cucu kita akan menanggung akibatnya. Saya tidak fikir kita harus berkompromi dengan masa depan mereka semata-mata untuk keperluan kita pada hari ini,” katanya.

Tiada cita-cita ceburi politik?

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada masa depan, Amir Hamzah berseloroh: “Tidaklah, saya sudah berusia 57 tahun, tetapi tengoklah nanti berapa lama saya di sini dan kalau ada rezeki, adalah. Jika tak ada rezeki, tak mengapa”.

Mengulas penglibatan dalam media sosial, Amir Hamzah mengakui beliau bukanlah aktif di platform internet pada masa ini, namun tidak kisah untuk mengemas kini perkembangan mengenai kementeriannya pada masa depan.

“Saya tidak kisah menggunakan platform media sosial untuk mengemas kini pengumuman kerajaan atau apa yang kita lakukan di MoF. Bagaimanapun, saya masih suka mengekalkan privasi (diri sendiri) kerana saya dibawa masuk untuk membantu kerajaan berdasarkan pengalaman saya bekerja di syarikat korporat,” katanya.

Amir Hamzah dilantik sebagai Menteri Kewangan II berikutan rombakan Kabinet pada 12 Disember 2023.

Beliau teknokrat kedua dalam MoF yang mempunyai latar belakang korporat, mengikut jejak langkah bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bekas CEO dan bekas Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dari 27 Februari 2015 hingga 9 Mac 2020.

Amir Hamzah menyertai KWSP, dana pencen terbesar negara dari segi pengurusan aset sebagai CEO pada Mac 2021. Beliau sebelum itu Presiden dan CEO Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari April 2019 hingga Februari 2021 dan memegang beberapa portfolio pengurusan kanan sepanjang kerjaya dalam dunia korporat.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam pengurusan (pengkhususan dalam kewangan dan ekonomi) dari Syracuse University, New York ini juga menghadiri Program Eksekutif Stanford di Stanford University dan Corporate Finance Evening Programme di London Business School. – BERNAMA-22/2/2024

taib1

Suasana pilu selubungi Istiadat Penghormatan Negeri Abdul Taib di DUN Sarawak

KUCHING – Suasana pilu menyelubungi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini sebaik jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud tiba di sini bagi Istiadat Penghormatan negeri.

Kenderaan membawa jenazah Abdul Taib tiba di bangunan DUN pada 7.50 pagi.

Turut mengiringi jenazah ialah anak Allahyarham Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib dan Datuk Hanifah Hajar Taib.

Lapan orang pengusung dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudiannya membawa masuk jenazah Allahyarham dan diletakkan di tempat khas di Atrium DUN Sarawak.

Bangunan DUN Sarawak yang merupakan antara ikon utama negeri hari ini mula dibanjiri orang ramai daripada pelbagai kaum seawal 8 pagi untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas ketua menteri itu yang telah banyak menyumbang bakti kepada Bumi Kenyalang.

Bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Guru Al-Quran Majlis Islam Sarawak dan Persatuan Qari Bahagian Kuching turut diperdengarkan sempena istiadat berkenaan.

Istiadat Penghormatan Negeri bermula pada 8 pagi hingga 11.30 pagi bagi membolehkan orang awam memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Solat jenazah dijadual diadakan selepas itu di Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham disusuli istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

Abdul Taib yang juga digelar Bapa Pemodenan Sarawak meninggal dunia kira-kira 4.40 pagi semalam di sebuah hospital di Kuala Lumpur. – 22 Februari, 2024

Istiadat Penghormatan Negeri, pengebumian Abdul Taib hari ini

KUCHING – Istiadat penghormatan negeri dan pengebumian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud akan berlangsung hari ini.

Pagi ini, jenazah Allahyarham Abdul Taib akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, bagi istiadat penghormatan negeri.

Istiadat yang berlangsung di Atrium, DUN Sarawak itu akan bermula pada jam 8 pagi hingga 11.30 pagi bagi membolehkan orang awam, dif- dif kenamaan dan ahli Kabinet memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Menteri itu.

Solat jenazah dijadual akan diadakan selepas itu di Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham disusuli istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

Abdul Taib, 87, yang digelar Bapa Pemodenan Sarawak meninggal dunia kira-kira jam 4.40 pagi semalam di sebuah hospital di Kuala Lumpur. – BERNAMA – 22/2/2024