bersatuxx

Kapal BERSATU makin karam…

Tindakan Adun Selat Klang Rashid Asari menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor merupakan tempeleng maut kepada Azmin Ali.

Jika benar ada lima lagi ADUN akan ikut jejak Rashi bermakna Azmin Ali tidak solid di Selangor. Dia bukan poster boy Bersatu di Selangor.

Rashid melakukan kamikaze kerana Bersatu baru pinda perlembagaan parti. Dia tidak takut pada pindaan. Dia lebih takut kapal Bersatu yang akan karam.

Bersatu akan berhadapan dengan krisis perlembagaan parti jika pindaan itu tidak terpakai sebelum diluluskan oleh ROS.

Azmin kata, rakyat penat tengok gelagat MP dan ADUN Bersatu alih sokongan.

Dia lupa, dia pernah buat rakyat penat dengan “Langkah Sheraton” dan kini “Langkah Dubai”.

Datuk Dr Puad Zarkashi

Ahli Majlis Tertinggi UMNO – 7/3/2024

tandas

97.8 peratus projek penyelenggaraan tandas sekolah siap sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Sebanyak 7,852 atau 97.8 peratus projek penyelenggaraan tandas dan penyelenggaraan kecil di sekolah dan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya disiapkan sepenuhnya setakat 29 Feb lepas.

KPM dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen memaklumkan projek yang dilaksanakan di bawah peruntukan khas Naik Taraf dan Penyelenggaraan Kecil Institusi Pendidikan Tahun 2023 berjumlah RM654.29 juta itu melibatkan 8,354 sekolah dan institusi pendidikan.

“Ia melibatkan 8,306 sekolah kerajaan serta 48 institusi pendidikan (Kolej Matrikulasi, Institut Aminuddin Baki dan Kampus Institut Pendidikan Guru) dengan RM70,000 diperuntukkan bagi setiap sekolah kerajaan dan RM200,000 bagi setiap institusi pendidikan,” menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat).

Soalan Dr Ahmad Yunus adalah berhubung status projek naik taraf tandas sekolah dan faktor berlakunya projek yang gagal dilakukan dengan sempurna.

Menurut KPM, 174 atau 2.2 peratus projek masih di peringkat pelaksanaan dan 310 sekolah di Sarawak ditangguhkan pelaksanaannya dan akan diteruskan pada tahun ini, manakala baki 18 sekolah lagi digugurkan atas faktor sekolah baharu yang masih dalam tempoh liabiliti kecacatan.

Pelaksanaan penyelenggaraan tandas di 310 sekolah di Sarawak itu ditangguhkan atas faktor kekangan masa, lokaliti dan juga kekurangan pekerja binaan untuk menyiapkannya pada tahun lepas.

Dalam pada itu, KPM memaklumkan dari 2016 hingga 2024, sebanyak 1,069 projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah dengan kos RM8.34 billion telah diluluskan dan daripada jumlah itu, 694 projek telah siap, 159 projek pada peringkat pembinaan manakala 216 projek pada peringkat prabina, setakat 15 Feb lepas.

“Sehingga Jan 2024, terdapat 1,149 sekolah yang mempunyai bangunan daif di seluruh Malaysia yang belum diangkat untuk kelulusan. Daripada jumlah tersebut, 110 sekolah yang mempunyai bangunan daif akan dikemukakan permohonan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Rancangan Boleh Pinda Kelima (RP5) Tahun 2025,” menurut KPM dalam jawapan kepada soalan Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong).

Dr Richard bertanya mengenai status projek bina baharu atau baik bulih sekolah-sekolah daif di Malaysia serta jumlah sekolah daif skala enam dan tujuh yang belum diangkat untuk diluluskan di bawah program pembinaan sekolah daif mengikut negeri.

Mengulas lanjut, KPM memaklumkan pihaknya sedang meneliti keperluan kebolehlaksanaan pembinaan bangunan gantian yang melibatkan 1,039 sekolah dalam aspek keperluan sebenar, lebihan baki tanah sekolah serta status hak milik tanah.– BERNAMA – 7/3/2024

FELDAx

Felda alami kerugian bersih RM1 billion…

Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata Felda mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion.

Katanya Felda juga didapati mempunyai kedudukan tunai dan kesetaraan tunai yang rendah berbanding kerugian dengan nilai RM0.808 bilion berakhir 31 Disember tahun 2022.

“Geran Kerajaan yang diterima oleh Felda pada tahun 2022 berjumlah RM0.214 bilion (2021: RM0.342 bilion). Felda bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan persekutuan untuk menampung kos operasi dan liabiliti.

“Felda mempunyai komitmen yang tinggi untuk melunaskan pembiayaan yang diterima sehingga tempoh matang. Felda memperoleh pinjaman daripada institusi kewangan berjumlah RM7.973 bilion dan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM0.686 bilion,” katanya.

Perkara itu dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut Wan Suraya Felda juga mempunyai komitmen bayaran balik Kemudahan Pembiayaan Tawarruq kepada sebuah syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) sejumlah RM50 juta setahun bagi tempoh lima tahun mulai tahun 2024.

“Baki bayaran balik berjumlah RM2.595 bilion perlu dibuat mengikut jadual dalam tempoh 15 tahun mulai tahun 2029,” katanya.

Dalam laporan muka surat 22 daripada 106 muka surat itu, PR1MA dilapor menghadapi kerugian bersih berjumlah RM0.257 bilion manakala liabiliti berjumlah RM5.746 bilion.

Dengan kedudukan tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM0.428 bilion, baki pinjaman sukuk berjumlah RM3.792 bilion perlu dilunaskan hingga tahun 2027 termasuk Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.750 bilion yang akan matang pada Oktober 2024.

“Keadaan ini menunjukkan PR1MA mempunyai komitmen bayaran balik sukuk yang tinggi hingga tahun 2027,” kata laporan berkenaan.- 6/3/2024

pn-seangorxxxxx

ADUN pertama Selangor dari Bersatu ‘lompat’ sokong MB

Sebelum ini ia cuma melibatkan kalangan Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang ‘lompat’ sokong Perdana Menteri…kini ia sudah melarat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri pula.

Pada Rabu ADUN Bersatu kawasan Selat Kelang Abdul Rashid Asari umum sokong kepimpinan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Agak menarik kerana tindakan alih sokongan ini berlaku tidak lama selepas pada Sabtu 2 Mac baru ini Bersatu lulus pindaan pada perlembagaan menerusi satu perhimpunan agung khas untuk sekat perbuatan paling tadah.

Pindaan itu menetapkan mereka yang paling tadah perlu letak jawatan dan pilihanraya kecil diadakan di kawasan berkenaan.

Abdul rashid menerusi satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat dengan rela hati dan tanpa paksaan.

“Ini setelah saya meneliti ucapan DYMM Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Langkah ini juga adalah akibat daripada beberapa siri tindakan Perikatan Nasional terutamanya Perikatan Nasional Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-raja Melayu.

Abdul Rashid adalah Adun pertama Bersatu yang berpaling tadah.

Katanya, keputusan berkenaan adalah bagi memastikan kesejahteraan rakyat Selangor terutamanya penduduk di Selat Kelang yang akan menerima manfaat daripada kerajaan yang stabil serta padu.

“Saya kekal komited sebagai ahli Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai Adun Selat Kelang,” katanya.

Dengan sokongan Abdul Rashid, kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan dan disokong oleh BN kini mempunyai 35 kerusi di DUN Selangor manakala PN yang dianggotai oleh PAS dan Bersatu mempunyai 21 kerusi.

Jumlah itu masih belum mencukupi untuk menikmati sokongan dua pertiga.

Sebelum ini enam Ahli Parlimen PN dari Bersatu ‘ lompat’ sokong Anwar.

Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman ( Labuan).-6/3/2024

ISA-BEBASXXXX

KEMASKINI : Pembebasan Isa Samad…Pendakwa Raya fail rayuan

Semalam,Rabu selepas Mahkamah Rayuan bebas dan lepaskan Tan Sri Isa Samad dari hukuman dan pertuduhan kes rasuahnya,bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Pengerusi Felda itu menduga kes beliau selesai lagi.

“Kes pun belum habis lagi, mungkin ada rayuan lain,” katanya.

Tepat seperti dugaan itu pada hari ini Khamis pihak Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan awal terhadap kesnya.

“Kami baru sahaja memfailkan notis (rayuan),” kata Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh hakim Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membenarkan rayuan Isa, 75 terhadap keputusan bersalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.

Pada 2021, Hakim Nazlan Ghazali mendapati Isa bersalah atas sembilan tuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta kes pembelian hotel Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching dan menjatuhi hukuman itu. – 7/3/2024

Isa Samad lepas bebas dari tuduhan rasuah dan hukuman penjara

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad Mohd Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta semasa beliau pegang jawatan Pengerusi Felda.

Ini berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Mahkamah itu jatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta.

Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Pada Rabu…Isa dibebaskan dari pertuduhan dan hukuman.

Keputusan ini dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah.

Isa didakwa dengan sembilan pertuduhan secara tidak jujur menerima suapan untuk dirinya sendiri, secara tunai berjumlah RM3,090,000, daripada Ikhwan Zaidel, yang merupakan ahli lembaga pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, melalui seorang individu bernama Muhammad Zahid Md Arip.

Wang itu dikatakan sebagai suapan kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) dengan harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Aras 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Sembilan pertuduhan itu dirangka mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) undang-undang yang sama.

Isa berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Susulan itu, Isa memfailkan notis rayuan terhadap sabitan, hukuman penjara dan denda terhadapnya, pada 4 Februari 2021.

wan-saiful-pppp

Wan Saiful selamat dari kena gantung hadiri sidang Dewan Rakyat 6 bulan

Gara gara perbahasan di Dewan Rakyat pada 28 Februari yang antara lain dakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pemimpin korup,Ahli Parlimen Perikatan Nasional Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan nyaris kena gantung enam bulan.

Ini setelah pada Selasa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik usul gantung hadiri sidang Dewan Rakyat enam bulan selepas Wan Saiful membuat pernyataannya semula di Dewan Rakyat termasuk memohon maaf atas kenyataannya pada minggu lalu.

Bekas Ketua Penerangan BERSATU itu yang diberi ruang memberi penjelasan sebelum usul itu dibacakan Zahid, turut mengakui kekhilafannya dan memohon maaf jika kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini juga menyentuh Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan menarik usul itu kemudiannya dipersetujui Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sambil menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya ‘move on’.

“Ini bermaksud Yang Berhormat (Tasek Gelugor) sudah memohon maaf kepada Tambun (Anwar) dan menarik balik kenyataan itu. Yang Berhormat juga memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Untuk itu, saya terima dan menteri, saya anggap kita boleh selesaikan masalah ini kerana permohonan maaf sudah dibuat. Ini episod yang sudah berlalu dan Ahli Parlimen kiri (blok pembangkang) dan kanan (blok kerajaan) ‘move’ ke depan.

“Kita bincang masalah rakyat dengan tertib dan aman, akhirnya memberi natijah lebih baik. Jadi, kita tutup kes ini,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat.

Terdahulu, ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang bangun mencelah menghargai keputusan penarikan usul itu oleh kerajaan.

“Saya ambil kesempatan ini dengan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Speaker atas tindakan yang bijaksana dan menyelesaikan isu ini dengan sebaik mungkin. Rakyat nampak Ahli Parlimen ini bertanggungjawab,” katanya.

Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bangun selepas itu turut meminta tindakan yang dibuat Wan Saiful dijadikan pengajaran dan iktibar.

Ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja minggu lalu, Wan Saiful mendakwa Anwar sudah menyalahgunakan kuasanya.

Kenyataan Wan Saiful itu mencetuskan kekecohan dalam Dewan Rakyat sehingga memaksa pemimpin BERSATU itu menarik balik kenyataannya atas arahan Speaker.- 5/3/2024

naemahxx

Isytihar harta: Isteri Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin telah memfailkan permohonan bagi merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menerusi notis usul yang difailkan Khamis lepas di bawah Seksyen 30(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid memohon Mahkamah Sesyen memberikan suatu perintah untuk merujuk soalan mengenai kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan kepada Mahkamah Tinggi.

Persoalan itu ialah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM 2009 melanggar hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan diri dengan suatu kesalahan serta hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan dalam suatu kesalahan dan yang akan digunakan dalam prosiding terhadapnya serta atau hak untuk suatu perbicaraan adil.

Beliau juga memohon mahkamah menentukan sama ada ia melanggar Perkara 5 (kebebasan diri) serta Perkara 8 (perlindungan sama rata di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya menjadikannya tidak berperlembagaan serta terbatal.

Na’imah turut memohon supaya prosiding di Mahkamah Sesyen berhubung pertuduhan terhadap beliau ditangguhkan sehingga permohonan itu didengar dan diputuskan serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 23 Jan lepas, Na’imah, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham serta beberapa hartanah sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu tidak mengisytiharkan harta.

Harta terbabit ialah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail di sini.

Na’imah didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 13 Dis 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM100,000 jika sabit kesalahan.
— BERNAMA- 5/3/2024

ss9xx

Isu hina Raja Raja Melayu : Haji Hadi utus warkah ‘Junjung Kasih’ kepada Sultan Selangor…

Lima hari selepas ditegur Sultan Selangor kerana buat kenyataan yang dianggap hina Raja Raja Melayu…Presiden PAS Tan Sri Haji hadi Awang utus warkah ‘Junjung Kasih ‘kepada baginda.

Namun isi kandongan warkah berkenaan tidak diketahui setakat ini.

Pada 20 Feb lalu Haji Hadi melalui catatannya di media sosial – mengingatkan semua umat Islam termasuk raja-raja supaya menjaga akidah dan meminta mereka turut memikirkan kehidupan di akhirat dan bukan hanya kepentingan duniawi.

Tulisan beliau itu dipercayai sebagai tindak balas PAS kepada Sultan Sharafuddin yang bertitah meminta semua pihak bertenang selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan beberapa peruntukan enakmen dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan kerana bertentangan dengan perlembagaan.

Pada 29 Feb, Sultan Selangor mengeluarkan teguran terhadap Haji Hadi, antara lain mengatakan peringatan ahli politik tersebut sebagai “tidak beradab”.

Baginda bertitah, Haji Hadi akan memahami mesej sebenar di sebalik kenyataannya yang menyeru agar semua pihak bertenang sekiranya membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

Isu kandongan warkah Haji hadi itu masih jadi tandatanya.

Pejabat Presiden PAS cuma kata ,”Adalah dimaklumkan bahawa suatu warkah menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Selangor telah diutus dan diserahkan kepada Dato’ Lela Bakti Setiausaha Sulit Baginda Tuanku bertarikh 4 Mac 2024,”

Sementara itu dua anggota polis dari Bukit Aman pada petang ini pergi di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bagi merakam keterangan Haji Hadi berhubung kenyataan beliau pada 20 Februari itu.

Proses itu ambil masa kira kira sejam.

Bagaimanapun Presiden PAS itu tidak menemui wartawan yang menunggu bangunan berkenaan selepas sesi tersebut berakhir.

Setiausaha Politik Haji Hadi, Syahir Sulaiman, kemudian memberitahu ahli parlimen Marang itu memberi kerjasama penuh kepada polis.

“Kita serah kepada Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya,” kata Syahir.

Presiden PAS itu disiasat mengikut Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.- 5/3/2024

KEMASKINI : Polis rakam keterangan Haji Hadi esok,Selasa

Polis akan rakam keterangan Presiden PAS , Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kenyataan bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada Selasa.

Keterangan beliau akan dirakam di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut,Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pada Isnin rakaman percakapan Presiden PAS itu dibuat susulan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis menerima makluman daripada pegawai khas beliau berkaitan keadaan kesihatan beliau,” katanya pada Isnin.

Sebelum ini, Razarudin menyatakan pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kenyataan Presiden Pas itu.

Pada Khamis, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Presiden PAS itu bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu.

Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Selangor Royal Office dalam kenyataannya memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

KEMASKINI : Polis buka kertas siasatan berhubung kenyataan Presiden PAS

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ yang disiarkan di portal berita milik parti itu pada 20 Februari lepas yang didakwa ditujukan kepada beberapa pihak termasuk Raja-Raja Melayu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun polis belum mengambil keterangan Abdul Hadi memandangkan keadaan kesihatannya tidak begitu baik.

“Polis telah buka kertas siasatan membabitkan kenyataan dikeluarkan beliau dan masih menunggu waktu yang sesuai untuk panggil dan ambil keterangan Abdul Hadi,” katanya ketika dihubungi. 

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani memaklumkan Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

Susulan itu, baginda berkenan mengutus surat kepada Abdul Hadi menerusi Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri. 

Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan saja mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini. – BERNAMA – 1/3/2024

BERITA SEBELUM INI : Sultan Selangor amat dukacita kenyataan Haji Hadi

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan YB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada 20 Februari 2024 yang bertajuk “Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan” yang ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim-hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Susulan itu, Baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada beliau menerusi Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, YB Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri.|

Antara intipati surat berkenaan, Baginda menyifatkan Tan Sri Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan Baginda semasa mesyuarat MKI pada 15 Februari 2024.

Kenyataan sinis Tan Sri Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan Baginda dengan sikap Raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

Kenyataan Tan Sri Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu di negara ini.

Sekiranya Tan Sri Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan Baginda, Tan Sri Hadi akan dapat memahami maksud sebenar Baginda.

Kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi.

Baginda menasihatkan Tan Sri Hadi supaya beliau lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan beliau yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing. 29 Februari 2024

heli1

KEMASKINI…laporan kejadian helikopter Maritim Malaysia mendarat cemas

Helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang telah melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa pagi semalam telah berjaya dibawa naik dengan bantuan pihak syarikat penyelenggaraan pesawat udara Agensi ini kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi.

Pesawat berkenaan kemudiannya dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang seterusnya dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada pukul 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

Untuk rekod, helikopter AW139 nombor pendaftaran M72-01 merupakan salah satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia yang telah diterima daripada pihak Kerajaan pada tahun 2010.

Mencatat rekod hampir lima ribu jam penerbangan, helikopter terbabit telah melaksanakan pelbagai misi penerbangan operasi seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima, Op Redback dan lain-lain operasi penguatkuasaan.

Selain itu, pesawat berkenaan banyak terlibat dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordinasikan Maritim Malaysia.

Antara pencapaian AW139 M72-01 sepanjang melakukan tugasannya ialah pesawat berkenaan telah berjaya menyelamat lima orang pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di Barat Laut Pantai Remis, Jeram pada tahun 2022, 3 batu nautika daripada lokasi insiden.

AW139 M72-01 juga merupakan pesawat yang sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi melakukan force boarding dan terbaharu ialah kejayaan dalam membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) bagi menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia pada tahun lalu.

Selain kejayaan tersebut, sepanjang 14 tahun perkhidmatan AW139 M72-01 bersama Maritim Malaysia, pesawat berkenaan turut terlibat dengan beberapa siri pemindahan perubatan (MADEVAC) mangsa sama ada di pulau atau di pelantar minyak yang berada di perairan negara.

Sementara itu empat kru yang terlibat dalam insiden berkenaan dilaporkan stabil dan selamat. Kesemua mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Agensi semalam.

Maritm Malaysia turut memohon agar kesemua kru terbabit diberikan ruang dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak bagi tujuan menstabilkan keadaan setelah melalui kejadian semalam.- 6/3/2024


Helikopter milik APMM terhempas di laut Kuala Selangor

KUALA LUMPUR – Sebuah helikopter jenis Agustawestlan AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terhempas di kawasan perairan berhampiran Pulau Angsa di Kuala Selangor pagi Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ketika dihubungi BERNAMA berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada kira-kira jam 10 pagi.
“Maklumat awal yang diterima terdapat empat orang mangsa dan diselamatkan nelayan,” katanya.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut mengesahkan insiden itu dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pihaknya kini di peringkat akhir mengumpul maklumat berhubung insiden itu sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

“Ya, ada insiden tersebut. Kami akan keluarkan kenyataan sebentar lagi,” katanya.

APMM akan turut mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu. – BERNAMA – 5/3/2024