daim444

Daim dan keluarga gagal sekat siasatan SPRM terhadap mereka

Usaha Tun Daim Zainuddin menerusi jalan mahkamah untuk sekat SPRM dari menjalankan siasatan keatas dirinya dan keluarganya gagal.

Pada Isnin Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Menteri Kewangan dan keluarganya mendapatkan kebenaran mahkamah untuk meneruskan semakan kehakiman mereka terhadap siasatan SPRM ke atas mereka.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dengan keputusan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak lagi akan meneruskan perbicaraan mengenai merit tindakan undang-undang tersebut.

Permohonan terbabit difailkan Daim melalui firma guaman, Tetuan Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi pada 10 Januari lalu.

Dalam kes ini, Tommy mewakili Daim, 86, isterinya, Toh Puan Nai’mah Khalid, 67, dan empat anak, Asnida, 63, Md Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 29, Muhammed Amin Zainuddin, 26, serta Menara Ilham selaku pemohon pertama hingga ketujuh.

Antara relif yang dimohon dalam tindakan undang-undang itu adalah untuk membatalkan pertuduhan jenayah tidak mengisytiharkan aset oleh Daim dan isterinya Na’imah Abdul Khalid.

Farid memutuskan bahawa pemohon gagal menunjukkan bahawa terdapat mala fide (niat jahat) dalam siasatan SPRM terhadap mereka, dengan menyatakan bahawa hanya syak wasangka mala fide tidak memadai.

Hakim berkata, Daim dan Na’imah hanya perlu memfailkan permohonan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur (jenayah) untuk mencabar pertuduhan berkenaan.

Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM serta pegawainya tiada sebab untuk menjalankan siasatan bermula Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.

Mereka memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui afidavit sokongan dalam permohonan berkenaan pula, Daim mendakwa dirinya adalah ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam.

Katanya, pegangan saham cairnya sahaja akan bernilai lebih RM50 bilion hari ini jika kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif.- 4/3/2024

SPRM111

KEMASKINI : SPRM bagi tempoh seminggu Wan Saiful buat laporan dakwa ditawarkan sogokan

Hairan juga…kenapa Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan terus menyepi setelah buat dakwaan panas dalam sidang Dewan Rakyat pada 28 Februari baru ini beliau ditawarkan sogokan untuk alih sokongan pada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaannya termasuk ditawarkan peruntukan untuk “Projek Mesra Rakyat”, selain membatalkan pendakwaan jenayah yang dihadapinya telah cetus kekecohan pertengkaran antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ini kerana kalangan Ahli Parlimen kerajaan dakwa menyifatkan Wan Saiful sekadar menjaja khabar angin dan desaknya buat laporan kepada SPRM.

Bukan setakat itu…malah kemudian beliau tulis dalam facebooknya “Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej dari pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuhi.”

Namun esoknya ketika ditemui wartawan ,Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menafikan pegawainya yang menghubungi Wan Saiful.

Pada Isnin,Azam Baki yang ditemui wartawan selepas satu majlis di Seremban telah beri tempoh sehingga hujung minggu ini kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu untuk tampil ke SPRM bagi membuat laporan berhubung dakwaan beliau disogok untuk menyokong Perdana Menteri.

Katanya sekiranya Wan Saiful tidak berbuat demikian, pihaknya akan mengambil satu tindakan terhadapnya namun tidak mendedahkan tindakan itu.

“Setakat sekarang yang saya rujuk kepada Ibu Pejabat SPRM dan pegawai saya, beliau (Wan Saiful) belum lagi datang ke SPRM untuk buat aduan atau laporan seperti mana yang beliau timbulkan di Dewan Rakyat.

“Jadi kita akan panggil beliau dalam tempoh minggu hadapan sekiranya dalam minggu ini beliau masih belum datang ke SPRM untuk buat laporan. Saya akan bagi arahan kepada pegawai saya untuk satu tindakan,” katanya.

Jelas Azam, seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, Ahli Parlimen itu sepatutnya membuat laporan ke SPRM berikutan kenyataan itu mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan bukannya menunggu SPRM memanggilnya.

“Ini bukan masalah kami kena pergi cari beliau. Beliaulah kena datang ke pejabat SPRM atau mana-mana balai polis terdekat (buat aduan).

“Tak kanlah saya nak pergi jumpa beliau pula atau nak ambil beliau di rumah dan nak bawanya ke pejabat. Begitulah kaedah dan analoginya,” katanya.

Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mendakwa diugut serta ditawarkan imbuhan supaya menyatakan sokongan kepada Anwar.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta serta pengguguran pertuduhan kes di mahkamah.

KEMASKINI : Azam Baki nafi SPRM hubungi Wan Saiful…siapa orang itu?

Kini timbul pula satu misteri.Siapa orang yang mendakwa dirinya dari SPRM yang hantar mesej kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan sejam selepas beliau buat ucapan bahas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam,Rabu.

Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menafikan pegawainya yang menghubungi Wan Saiful.

Dalam ucapan perbahasannya Wan Saiful mendakwa beliau ditawarkan habuan untuk menukar sokongannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Azam Baki yang ditemui wartawan semasa sidang kemuncak antirasuah di Kuala Lumpur Khamis bagaimanapun menjelaskan menjadi tugas suruhanjaya itu menyiasat dakwaan rasuah yang dibangkitkan Wan Saiful ketika sidang Dewan Rakyat.

“Tidak ada pegawai saya yang menghubungi beliau, mungkin sesiapa pun boleh hubungi beliau mengatakan daripada SPRM.

“Tetapi apa yang penting di sini Wan Saiful Wan Jan sepatutnya hadir ke SPRM bagi buat laporan kerana apabila seseorang ditawarkan suapan atau rasuah perlu datang ke mana-mana balai polis terdekat atau (pejabat) SPRM untuk membuat laporan,” katanya

Wan Saiful kemudiannya kata menerusi laman facebooknya “Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej dari pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuhi.’- 29/2/2024

:BERITA SEBELUM INI : SPRM mesej MP Tasek Gelugor sejam selepas dakwa cuba disogok untuk alih sokongan

SPRM telah bertindak pantas setelah Ahli Parlimen PN Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan buat dakwaan dalam sidang Dewan Rakyat ada usaha pihak tertentu menawarkan habuan agar beliau menukar sokongannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej dari pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuhi.

“Cuma saya nak tanya apa tindakan yang akan diambil untuk menghentikan penggunaan wang rakyat sebagai umpan kepada ahli parlimen Bersatu?” katanya di Facebook, Rabu.

Kata Wan Saiful beliau akan memberi kerjasama kepada SPRM berhubung dakwaan ditawarkan habuan serta peruntukan RM1.7 juta untuk menukar sokongannya itu.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Wan Saiful turut mendakwa beliau telah hadir empat pertemuan dengan individu berbeza yang memujuknya untuk menyokong Anwar.

Selain tawaran peruntukan, beliau mendakwa turut ditawarkan peruntukan untuk “Projek Mesra Rakyat”, selain tawaran untuk membatalkan pendakwaan jenayah yang dihadapinya.

Dakwaan itu mengundang kekecohan dengan ahli parlimen kerajaan menyifatkan Wan Saiful sekadar menjaja khabar angin.

“Kalau anak jantan, buat laporan SPRM,” kata Ahli Parlimen Jeluton RSN Rayer.

Bagaimanapun Wan Saiful berkata beliau tidak pelik jika dakwaan itu dinafikan oleh pihak kerajaan.

“Tak apalah, kita faham mereka terpaksa spin,” katanya lagi.

Setakat ini, sudah enam ahli parlimen Bersatu yang menyuarakan sokongan kepada Anwar.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal – yang telah mengisytiharkan sokongan kepada Anwar – mendakwa ada lebih 10 lagi ahli parlimen Bersatu yang akan berbuat demikian.- 28/2/2024

bn-pn7

Siapa menang jika pilihanraya kecil di enam kerusi Parlimen PN yang lompat sokong Anwar?



Teka teki yang bermain dalam senario politik negara sekarang tentunya mengenai kedudukan enam kerusi Parlimen Perikatan Nasional yang wakil rakyatnya lompat umum sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam kerusi panas berkenaan disandang oleh ahli BERSATU yang bertanding atas tiket PN masa pilihanraya umum ke 15 November 2022.

Ahli Parlimen berkenaan masih kekal ahli BERSATU sampai hari ini sekalipun sudah alih sokongan kepada kerajaan perpaduan.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Apakah mereka wajib kosongkan kerusi itu gara gara pindaan perlembagaan parti BERSATU yang diluluskan Perhimpunan Agung Khas Sabtu kelmarin.

Kalau ikut Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mereka perlu kosongkan kerusi masing masing jika masih kekal dengan pendirian sokong Anwar.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad memberitahu wartawan BN sedia meletakkan calon bagi merebut kembali enam kerusi itu sekiranya pengosongan enam kerusi berkenaan berlaku.

Katanya sebelum ini kerusi-kerusi itu disandang oleh ahli parlimen daripada BN.

“Kita akan mengadakan perundingan dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk menentukan jika ada pengosongan kerusi itu.

“Pasti perundingan untuk mendapatkan semula kerusi tersebut akan memberi keutamaan kepada calon-calon Umno dan BN,” katanya.

Bagaimanapun, Zahid berkata beliau percaya Peraturan Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan kerusi ahli parlimen Bersatu berkenaan boleh dikosongkan biarpun terdapat usaha daripada BERSATU supaya ia berlaku.

Beliau berkata pindaan yang dilakukan BERSATU nampaknya seperti satu pembalasan kepada tindakan seorang daripada pemimpinnya yang membawa masuk Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai parti berkenaan.

“Kini tanpa sebarang usaha pun daripada pihak UMNO dan BN, kita lihat enam orang daripadanya telah bersama menyokong Perdana Menteri,” katanya.

Penentu enam kerusi itu perlu dikosongkan atau tidak mengikut kehendak pindaan perlembagaan BERSATU mungkin terletak pada Speaker Dewan Rakyat atau Pendaftar Pertubuhan atau jalan akhir mahkamah.

Mengambil kira jika keputusan kosong atau tidak enam kerusi itu melibatkan faktor berkenaan…prosesnya besar kemungkinan mengambil masa yang panjang.

Namun misalnya pengosongan kerusi perlu dibuat segera oleh enam Ahli Parlimen Bersatu itu teka teki yang cukup menarik pastinya siapa yang bakal menang dalam pilihanraya kecil nanti.

Senario politik semasa ketika pilihanraya umum ke 15 November 2022 dan sekarang tentu banyak perbezaan.

Contohnya waktu PRU 15 UMNO-BN berentap dengan Pakatan Harapan…namun selepas itu keduanya sudah duduk bawah satu bumbung sama dalam Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya BERSATU pula masih kekal dengan PAS dalam gabungan Perikatan Nasional yakni sama ketika berdepan dengan PRU ke 15.

Pilihanraya kecil di enam kawasan ini juga dapat menjawab soalan besar yang berlegar apakah faktor ‘Green Wave’ yang menguatkan PN masa PRU15 masih membara.

Ada pemerhati politik yang berpendapat jika buat congak secara mudah berdasarkan gabungan antara parti politik terkini BN ada peluang merampas balik tiga kerusi Parlimen yakni Bukit Gantang, Kuala Kangsar dan Labuan.

PN pula dijangka boleh pertahan dua kerusi iaitu Tanjong Karang dan Jeli.

Satu kerusi pula yakni Gua Musang dikira 50-50 antara dua gabungan itu.

Di Bukit Gantang,Perak misalnya jika tidak berlaku perubahan besar dikalangan penyokong semasa PRU 15 ada 19,869 orang undi calon UMNO-BN manakala 18,565 undi calon PH-Amanah.

Ini menjadikan jumlah penyokong kerajaan perpaduan di situ seramai 38,434 orang.

Syed Abu Hussin menang atas tiket BERSATU-PN waktu itu dengan sokongan 32,625 undi.

Diatas kertas tanpa ambil kira faktor lain ada kelebihan 5,809 undi untuk kerajaan perpaduan.

P59 BUKIT GANTANG

Jumlah Pengundi: 94,253

Peratusan Kaum: M: 67,225; C: 17,974; I: 8,515; L: 543

  1. SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL (PN-BERSATU) 32,625 MENANG
  2. Fakharuldin Mohd Hashim (PH-AMANAH) 18,565
  3. Mohd Shukri Mohd Yusoff (PEJUANG) 508
  4. Mohammad Sollehin Mohamad Tajie (BN-UMNO) 19,869

Majoriti: 12,756

Undi Ditolak: 1,033

Jumlah Undi:. 94,253

Peratus Mengundi: 77.2%

PRU14: SYED ABU HUSSIN HAFIZ SYED ABDUL FASAL (BN)

Jumlah Undi: 22,450

Majoriti : 4,089

Di Kuala Kangsar pula jumlah yang undi calon UMNO-BN 10,814 manakala yang undi PH-Amanah 10,356 maka jumlahnya 21,170 undi.

Iskandar Zulkarnain yang bertanding atas tiket BERSATU-PN menang dengan undi 14,380.

Ini bermakna penyokong kerajaan perpaduan berjumlah 21,170 yakni 6,790 melebihi pengundi yang sokong PN.

P67 KUALA KANGSAR

Jumlah Pengundi: 46,985

Peratusan Kaum: M:33,109; C:9,848; I:3,075; OA:554; L:421

  1. DATUK ISKANDAR DZULKARNAIN ABDUL KHALID (PN-BERSATU) 14,380 MENANG
  2. Datuk Maslin Sham Razman (BN-UMNO)10,814
  3. Yusmalia Mohamad Yusof (Pejuang)204
  4. Ahmad Termizi Ramli (PH-Amanah)10,356

Jumlah undi36,229

Peratus 77.1%

Undi ditolak 442

Kertas undi tidak dikembalikan 33

Majoriti 3,566

PRU14: MASTURA YAZID (BN)

Jumlah Undi: 12,102

Majoriti : 731

Di Labuan juga nampak cerah untuk calon UMNO-BN.

Calon BERSATU – PN Suhaili menang dengan undi 8,124.

Calon UMNO-BN pula dapat 7,416 manakala PH-Amanah 5,307.

Calon parti Warisan yang diduga sokong kerajaan perpaduan pula 7,310.

Ini bermakna ada 20,033 undi di situ.

166 LABUAN

Jumlah Pengundi: 44,522

Jumlah Kaum: M: 14,538; C: 7,546; I: 542; Bumi:19,750; L: 2,146

  1. Bashir Alias (BN-UMNO) – 7,416
  2. Dr Ramli Tahir (PH-AMANAH) – 5,307
  3. Ramle Mat Daly (PEJUANG) – 90
  4. Rozman Isli (WARISAN) – 7,310
  5. SUHAILI ABD RAHMAN (PN-BERSATU) – 8,124 MENANG
  6. Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din (PBM) – 202

Majoriti: 708

Undi Rosak: 246

Jumlah Undi: 28,762

Peratus Mengundi: 64.7%

PRU14: ROZMAN BIN ISLI (BN)

Jumlah Undi: 10,164

Majoriti: 1,450

Di Gua Musang calon veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah tewas tipis sebanyak 163 undi saja.

Kawasan ini mempunyai pengundi seramai 70,254 dan diletak pada kedudukan 50 – 50 antara BN-PH dan BERSATU -PN

Pada PRU 15 Tengku Razaleigh Hamzah BN-UMNO dapat 21,663 undi.

Calon PN yang menang Mohd Azizi dapat 21,826.

Persaingan sengit pasti berlaku kerana PAS anggota gabungan PN mempunyai ramai penyokong di Kelantan serta kawasan parlimen berkenaan.

Jika Tengku Razaleigh dicalonkan bertanding semula sudah tentu beliau akan kekalahan tipisnya pada PRU15 terbalas.

P32 GUA MUSANG

Jumlah Pengundi: 70,254

Peratusan Kaum: M: 78.47%; C:5.80%; I:0.46%; OA: 14.59; L: 0.69%

  1. Tengku Razaleigh Hamzah (BN-UMNO)21,663
  2. DATUK MOHD AZIZI ABU NAIM (PAS-Bersatu) 21,826 MENANG
  3. Dr Samsu Adabi Mamat (Putra-Pejuang)371
  4. Asharun Uji (PH-PKR)4,517

Jumlah undi 49,699

Peratus 70.7 peratus

Undi ditolak 743

Kertas undi tidak dikembalikan 579

Majoriti 163

PRU14: TENGKU RAZALEIGH HAMZAH (BN)

Jumlah Undi: 19,426

Majoriti: 3,913

Di Jeli nampak berat kepada PN.

Calon PN Zahari Kecik menang dengan 27,072 undi

Calon UMNO-BN kawasan ini dapat 14,608

Manakala calon PH-AMANAH dapat 1,140

Jika dijumlah kedua calon UMNO dan Amanah jumlahnya 15,748 sahaja.

P30 JELI

Jumlah Pengundi: 59,798

Peratusan Kaum: M: 97.65%; C:0.18%; I:0.11%; OA: 0.79%; L: 1.28%

  1. Muhammad Daud (PEJUANG) 133
  2. ZAHARI KECIK (PN-BERSATU) 27,072 MENANG
  3. Norwahida Patuan (BN-UMNO) 14,608
  4. Md Radzi Wahab (PH-AMANAH) 1,140

Majoriti: 12,464

Undi Rosak: 635

Jumlah Undi: 43,732

Peratus Mengundi: 73.1 %

PRU14: DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED (BN)

Jumlah Undi: 21,665

Majoriti: 6,647

Di Tanjong Karang juga nampak berat pada PN.

Calon PN pada PRU 15 Dr Zulkafperi menang dengan 18,054 undi.

Calon UMNO-BN pula dapat 15,874

Calon parti MUDA yang kini diduga menyokong PN dapat 12,314.

Siapa tahu PN mungkin letak ‘orang kuat’ kawasan itu Tan Sri Noh Omar sebagai calon untuk memperkuatkan harapan untuk mempertahankan kawasan berkenaan.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang dan bekas menteri itu dikatakan masih ada pengaruh kuat di situ.

P95 TANJONG KARANG

Jumlah Pengundi: 62,186

Peratusan Kaum: M:73.20%; C:17.17%; I:8.20%; L:2.41%

  1. Azlan Sani Zawawi (Pejuang-Gagasan Bangsa)3,557
  2. Mohd Rosni Mastol (Bebas/)1,406
  3. KAPTEN (B) DATUK DR ZULKAFPERI HANAPI (PN-Bersatu) 18,054 MENANG
  4. Siti Rahayu Baharin (MUDA)12,314
  5. Datuk Habibah Mohd Yusof (BN-UMNO)15,874

Jumlah undi 51,872

Peratus 83.4 peratus

Undi ditolak 573

Kertas undi tidak dikembalikan 94

Majoriti 2,180

PRU14: NOH OMAR (BN)

Jumlah Undi: 17,596

Majoriti: 1,970

mh3701

10 tahun berlalu…operasi carian pesawat MH370 kembali bergema

Ia masih satu misteri terbesar dalam dunia penerbangan.

Siapa boleh lupa pasal kehilangan pesawat MAS MH370 semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Keluarga 239 penumpang dan anak kapal yang lenyap bersama pesawat itu masih menaruh harapan ia mungkin dapat ditemui satu masa nanti.

Operasi pencarian yang dikendali Malaysia dengan kerjasama Australia dan China serta dibantu pelbagai agensi antarabangsa meliputi kawasan pencarian di dasar laut seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Pencarian pesawat itu selama hampir tiga tahun ditangguhkan pada 17 Januari 2017.

Kos pencarian itu bukan kecil sebaliknya ia melibatkan wang negara berjumlah RM456 juta.

Hari ini Ahad 3 Mac soal operasi pencarian MH370 kembali bergema.

Semasa berucap pada program MH370: 10 Years Gone yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, Menteri Pengangkutan Anthony Loke beri jaminan bagi mendapatkan kelulusan Kabinet menandatangani kontrak baharu dengan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian pesawat MAS yang hilang 10 tahun lalu.

Beliau juga telah mengarahkan kementeriannya untuk menjemput Ocean Infinity ke Malaysia dan memberikan taklimat kepadanya tentang operasi itu.

Apapun beliau berkata cadangan berkenaan adalah atas dasar ‘no find, no fee’ yakni tidak jumpa tiada bayaran.

“Kami kini sedang menunggu mereka untuk memberikan tarikh yang sesuai dan saya berharap dapat bertemu dengan mereka tidak lama lagi. Kerajaan Malaysia tetap dengan azam dalam pencarian MH370.

“Saya berharap keluarga dan rakan mangsa terus tabah. Kami amat bersimpati dan akan sentiasa berada dalam doa kami. Lebih penting lagi, kami akan menyokong anda,” katanya.

Sementara itu dalam sidang akhbar, Anthony Loke menjelaskan kontrak atau cadangan baharu Ocean Infinity mengenai pencarian pesawat itu, perlu dibentangkan dan mendapat kelulusan daripada Kabinet kerana ia melibatkan implikasi kewangan, walaupun ia berdasarkan kepada ‘no find no fee’.

Ditanya sama ada Malaysia sudah berbincang dengan kerajaan Australia mengenai perkara ini, beliau berkata, Malaysia akan berhubung dengan negara itu selepas Ocean Infinity memuktamadkan cadangannya.

“Buat masa ini, kami masih belum berhubung dengan kerajaan Australia, tetapi apabila Ocean Infinity telah memuktamadkan cadangan mereka, sudah pasti kami perlu berhubung dengan kerajaan Australia untuk mendapatkan kerjasama mereka agar pencarian dimulakan segera,” katanya. – 3/3/2024

epf1

Dividen KWSP naik sikit….5.5 peratus

Tandatanya mengenai dividen KWSP bagi tahun 2023 terjawab pada Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru dilantik, Ahmad Zulqarnain Onn umum dividen sebanyak 5.5 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.4 peratus untuk Simpanan Syariah.

Pada tahun 2022 dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.35 peratus dan 4.75 peratus bagi Simpanan Syariah.

Jumlah seluruh bayaran dividen ialah sebanyak RM57.8 billion.

Dividen tertinggi yang pernah dibayar oleh KWSP ialah 8.5 peratus pada 1986, manakala dividen terendahnya ialah 5.2 peratus, dibayar pada 2020.- 3/3/2024

egm1

Krisis BERSATU VS ‘Enam Jahanam’…cakap siapa yang boleh pakai?

Kalau ikut pindaan pada perlembagaan parti yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Khas BERSATU pada Sabtu…jalan ceritanya cukup ringkas dan mudah saja.

Enam orang Ahli Parlimen dari parti itu yang digelar ‘Enam Jahanam’ yang menang atas tiket Perikatan Nasional semasa pilihanraya umum ke 15 pada November 2022 perlu ‘angkat bungkus’ dan pilihanraya kecil diadakan di enam kawasan berkenaan.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Namun pimpinan BERSATU sedia maklum rintangan yang mereka pasti akan berdepan.

Sejak sebelum dan kini selepas perhimpunan agung khas diadakan yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal Selayang, enam Ahli Parlimen yang ‘lompat’ menyuarakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap tidak berganjak.

Seramai 1,956 perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu telah meluluskan pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan BERSATU yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Pindaan itu dilakukan untuk menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyat parti itu selepas enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan menghantar surat kepada enam wakil rakyat berkenaan untuk mendapatkan pengesahan sama ada mereka masih kekal dengan keputusan menyokong Anwar.

“Jika mereka kekal dengan pendirian menyokong Perdana Menteri, maka selaras Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa.

“Dengan itu, kerusi Parlimen yang disandang enam wakil rakyat terbabit akan dikosongkan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Khas itu.

Ditanya mengenai isu retrospektif atau kesan terkebelakang dalam keputusan pindaan semalam, Muhyiddin berkata ia tidak menjadi isu kerana enam Ahli Parlimen itu menyatakan masih lagi ahli BERSATU dan mereka juga tidak disingkirkan parti sehingga sekarang.

“Bagaimanapun, selepas pindaan ini diluluskan, Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan hantar surat untuk tanya balik (mengenai pendirian untuk menyokong Anwar).

“Jika dia kata ya (kekal menyokong Perdana Menteri), maka terkesanlah sebagaimana yang diperuntukkan perlembagaan dan kerusi itu mesti dikosongkan,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaan wakil rakyat terbabit mengosongkan kerusi secara sukarela, Muhyiddin berkata itu hak mereka.

“Soal dia nak kosongkan secara sukarela, itu soal dia tapi ikut peraturan yang sudah kita luluskan, keputusan itu selari dengan Akta Anti Lompat Parti,” katanya.

Muhyiddin berkata, BERSATU bersama Perikatan Nasional (PN) juga telah bersedia untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (prk) bagi enam tersebut dan yakin akan menang.

“Kita sudah bersedia untuk hadapi pilihan raya. Mulai hari ini kita akan buat persiapan lengkap. Pilih calon terbaik, bukan tong kosong tapi orang yang kita harapkan,’’ katanya.

“Kita akan mengadakan pilihan raya kecil dan kembalikan mandat kepada rakyat di enam kawasan pilihan raya itu. Pengkhianat akan kalah,’’ katanya.

Muhyiddin berkata, BERSATU bercadang untuk menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memaklumkan bahawa enam kerusi Ahli Parlimen itu akan dikosongkan.

“Nak ingatkan Speaker, bila BERSATU hantar notis supaya enam Parlimen dikosongkan iaitu di Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang, Bukit Gantang, Jeli dan Tanjong Karang, janganlah tuan Speaker dolak dalik,’’ katanya.

Apapun empat dari enam Ahli Parlimen BERSATU yang berkenaan telah mempersoalkan kesahihan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan itu.

Syed Abu Hussin , Suhaili , Mohd Azizi dan Dr Zulkafperi kata mereka akan cabar pindaan berkenaan di mahkamah.

Suhaili yakin Pebdaftar Pertubuhan tidak akan luluskan pindaan berkenaan.

Katanya mereka juga akan tunggu keputusan Speaker Dewan Rakyat dan mahkamah keatas hal berkenaan.

Syed Abu Hussin menegaskan beliau tidak akan letak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan kekal dengan keputusan sokong Perdana Menteri.

Dr Zulkafperi berpendapat pindaan itu tiada kaitan dengan Akta Lompat Parti.

Katanya beliau akan rujuk hal berkenaan kepada peguamnya.

Mohd Azizi juga berpendapat pindaan itu tiada kaitan dengan Akta Lompat Parti.

Isunya sekarang cakap siapa yang boleh pakai untuk menjadi referee dalam pertikaian mengenai sahih atau tidak sahihnya pindaan perlembagaan BERSATU itu.

Apakah mahkamah,Speaker Dewan Rakyat atau Pendaftar Pertubuhan? – 2/3/2024

jenayah-kanak2

Angka tidak menipu…Kelantan antara tertinggi catat kes jenayah seksual kanak-kanak

Tolak sebelah bab politik.Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengajak semua pihak jenguk pada angka kes jenayah seksual kanak-kanak kalau nak bercakap tentang perundangan mengenainya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan di Putrajaya Jumaat ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman di Dewan Rakyat pada Khamis yang mencadangkan negara perlu mengamalkan undang-undang syariah untuk mencegah kes jenayah seksual kanak-kanak.

Menurutnya Kelantan merupakan antara negeri yang merekodkan kes jenayah seksual kanak-kanak yang tinggi, walaupun negeri itu mempunyai kanun jenayah syariah.

Katanya, berdasarkan statistik polis, kes jenayah seksual kanak-kanak semakin meningkat di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, sementara menurun di Pulau Pinang, jika dibandingkan bagi tahun 2022 dan 2023.

“(Ahmad Tarmizi)…Dia kata peningkatan salah laku ke atas jenayah seksual kanak-kanak ini berpunca daripada kegagalan undang-undang yang ada sekarang sebab tak dilaksanakan enakmen syariah.

“Kanun jenayah syariah ini buat di Kelantan. Tapi, Kelantan antara negeri kes yang paling tinggi,” katanya.

Saifuddin menolak pandangan Ahmad Tarmizi bahawa undang-undang sivil di Malaysia tidak dapat mengendalikan kes sedemikian menjadi punca peningkatan jenayah seksual bawah umur.

Dalam hujahnya Ahmad Tarmizi memetik laporan statistik Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Shuhaily Mohd Zain, untuk memberitahu Dewan Rakyat bahawa jenayah seksual kanak-kanak meningkat sebanyak 11.8 atau 202 kes dari tahun lepas sehingga awal tahun ini.

Menteri itu berkata,”Dia memetik taklimat yang diberikan kepada saya oleh pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

“Jadi, dia ambil sebahagian daripada itu dan berkata bahawa kes kesalahan seksual kanak-kanak kerana tak dilaksanakan enakmen syariah macam di Kelantan.

“Tapi, saya sebut dari segi angka. Sebab angka tak menipu. Di Kelantan 98 peratus adalah Muslim.

“Jadi saya hendak nasihat kepada Ahli Parlimen Sik tak payah nak ambil satu atau dua segmen secara terpisah. Marilah kita ambil tanggungjawab ini secara bersama kerana ini adalah masalah dalam masyarakat kita.

“Penyakit ini tidak terhenti dengan menyebut bahawa tidak melaksanakan kanun jenayah syariah inilah kesannya,” katanya.

Saifuddin juga berkata statistik itu menunjukkan bahawa golongan B40 paling ramai terlibat dalam jenayah seksual kanak-kanak.

“Bagi setiap 100 pelaku, 70 peratus adalah kelompok B40. Maksudnya apa? Ia dilakukan oleh golongan status ekonominya rendah.

“Bagi kelompok M40 pula adalah 24 peratus bagi 100 pelaku manakala pecahan mengikut kaum pula menunjukkan 67 peratus pelaku jenayah berkenaan adalah Melayu.

“Sekarang bukan masa untuk menunjukkan kelompongan dan salah itu ini kerana ia adalah tanggungjawab bersama untuk mengatasi jenayah tersebut,” katanya.- 1/3/2024

PM-lhdn

PM mahu LHDN kutip lebih banyak hasil tahun ini berbanding unjuran RM197 Bilion

PUTRAJAYA — Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dapat mengutip lebih banyak hasil pada tahun ini berbanding unjuran ditetapkan sebanyak RM197 bilion.

Perdana Menteri berkata, LHDN telah berjaya mencipta sejarah baharu kutipan cukai negara pada tahun lalu iaitu sebanyak RM183.34 bilion, melebihi RM7.8 bilion atau 4.49 peratus daripada jumlah kutipan pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada hakikatnya, Malaysia masih mempunyai asas cukai yang rendah iaitu sekitar 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding negara jiran lain seperti Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).

Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat dan individu untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan tampil membayar cukai.

“Bilangan syarikat yang membayar cukai masih rendah iaitu sekitar 435,000 syarikat berbanding 1.5 juta syarikat berdaftar di Malaysia.

“Ini bermakna kurang daripada 29 peratus syarikat berdaftar yang membayar cukai,” kata beliau pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 di Putrajaya Jumaat.

Beliau berkata, sehingga 31 Disember 2023, jumlah pembayar cukai individu adalah sebanyak 5.7 juta dengan hasil kutipan RM40.96 bilion dan bagi syarikat pula adalah sebanyak 539,113 dengan hasil kutipan RM98.77 bilion.

Anwar berkata, tidak menafikan langkah-langkah yang diambil oleh LHDN telah berjaya meningkatkan hasil negara.

Beliau berkata, peningkatan hasil kutipan cukai akan menguntungkan rakyat yang memerlukan.

“Peningkatan hasil daripada usaha LHDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah membantu menambah baik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang telah digandakan bayarannya, sementelahan jumlah penerima melonjak kepada 700,000 berbanding 210,000 tahun lepas,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pihaknya akan meluncurkan lima produk perkhidmatan digital baharu iaitu e-CKM (Cukai Keuntungan Modal), HASIL Tax HTB 2023, Profiling Information Systems (PINS), e- Sekatan Perjalanan dan Behavioural Insights Tools: Compliance Empowerment.

Beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada isu ketirisan cukai melibatkan individu yang mempunyai aset dan kekayaan yang tidak setimpal dengan pelaporan cukai, pendapatan dari Malaysia yang disimpan dalam akaun luar negara yang belum dilapor, transaksi rentas sempadan, harga pindahan domestik, aktiviti dalam talian dan kes-kes ekonomi bayangan.

“Perlaksanaan E-Invois juga adalah inisiatif utama HASIL pada tahun 2024,” katanya. – BERNAMA- 1/3/2024

jkomxx

Bekas ADUN PKR Payah Jaras dilantik ketuai J-Kom

Sudah ada orang yang akan mengetuai J-Kom yang kosong sejak November lalu ekoran perletakan jawatan Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Dr Mohd Khairuddin Othman ( gambar kanan ) ,seorang ahli PKR dan bekas ADUN Paya Jaras dilantik ke jawatan berkenaan.

Beliau jadi ADUN Paya Jaras dua penggal pada pilihanraya umum 2013 atas tiket PAS dan 2018 atas tiket Pakatan Harapan.

Dr Mohd Khairuddin tewas dalam pilihanraya 2022 di kerusi berkenaan.

Dr Mohammad Agus letak jawatan ekoran skandal rakaman panggilan telefon melibatkan seorang kakitangan J-Kom.- 1/3/2024

paulyong

Rogol amah…Mahkamah Rayuan kekal keputusan bersalah keatas bekas ADUN DAP

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalah keatas bekas Adun DAP Tronoh,Perak Paul Yong merogol pembantu rumahnya lima tahun lalu.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan kepada Yong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya pada 2019.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail pada Jumaat dalam keputusan majoriti 2-1 menolak rayuan Paul Yong.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Yong menjadi 8 tahun.

Mahkamah membenarkan permohonan lelaki berusia 53 tahun itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Ia juga membenarkan Yong diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan dia menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat satu rumahnya di Taman Meru Desa, Ipoh, Perak, antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.- 1/3/2024