mok3

Makin panas…lepas Mirzan Mahathir….SPRM serah notis isytihar harta pada Mokhzani pula

Pada 18 Januari lalu SPRM telah serah notis isytihar harta dalam tempoh 30 hari kepada Mirzan anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini Jumaat…Mokhzani seorang lagi anak bekas Perdana Menteri itu terima notis sama dari SPRM.

Mokhzani diketahui umum seorang tokoh koprat yang berniaga besar sana sini seperti juga Mirzan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan mengenai pemberian notis kepada Mokhzani. – 26/1/2024



KEMASKINI : Anak bekas PM yang diminta isytihar aset kepada SPRM ialah Mirzan Mahathir

Soalan sudah terjawab pasal siapakah anak bekas Perdana Menteri yang diminta beri keterangan kepada SPRM.

Menerusi satu kenyataan pada petang Khamis SPRM kata ia telah menyerahkan perintah notis kepada ahli perniagaan Mirzan Mahathir.

Anak Tun Dr Mahathir itu diminta mengisytiharkan aset dalam tempoh 30 hari, dalam siasatan berhubung maklumat dalam Kertas Panama.

SPRM berkata notis itu diserahkan Mirzan semalam ketika dia hadir di ibu pejabat suruhanjaya antirasuah berkenaan di Putrajaya.

“SPRM mengesahkan telah memanggil ahli perniagaan, Mirzan bin Mahathir semalam ke Ibu Pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Mirzan hadir ke Ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi semalam dan satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut,” kata SPRM.

Menurutnya perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan mereka berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaan Mirzan yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM berkata pihak mereka memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

“Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan,” katanya.

Kertas Panama merujuk kepada kebocoran besar sebanyak 11.5 juta dokumen yang didedahkan daripada firma guaman yang berpangkalan di Panama pada 2016.

Ia mendedahkan bagaimana ahli politik, bintang sukan dan penjenayah terkemuka menyembunyikan kekayaan mereka menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir.- 18/1/2024



BERITA SEBELUM INI : Siapakah dia ….?

Hari ini ada teka teki….

Soalan ini hangat berlegar bila tersebar khabar SPRM mengesahkan pihaknya mengambil keterangan daripada seorang anak bekas Perdana Menteri semalam,Rabu.

Keterangan berkenaan dikatakan berhubung perniagaannya pada akhir tahun 1990han.

Sejak merdeka tahun 1957 kita ada lapan bekas Perdana Menteri dari Tunku Abdul Rahman yang pertama kemudian Tun Razak,Tun Hussien Onn,Tun Dr Mahathir,Tun Abdullah Badawi,Datuk Seri Najib…(balik kepada Tun Dr Mahathir ketujuh) kemudian Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang pegang jawatan sekarang ialah yang ke sepuluh.

Siapa agaknya dikalangan bekas Perdana Menteri ini yang ada anak yang diketahui umum ligat berniaga pada akhir tahun 1990han?

Jadi anak lapan bekas Perdana Menteri yang mana?

Kalau sebut bab perniagaan pada akhir tahun 1990an…rasanya kita sudah boleh tolak sebelah anak Tunku Abdul Rahman,Tun Hussien dan Tun Razak.

Tumpuan kini pada kalangan anak Dr Mahathir,Abdullah Badawi,Najib,Muhyiddin atau Ismail Sabri.

Dalam pada itu Ismail Sabri yang jadi Perdana Menteri 2021 hingga 2022 misalnya pada akhir 1990han anaknya masih kecil waktu itu dan tidak dengar kisah keluarganya dikait dengan perniagaan.

Muhyiddin pula jadi Perdana Menteri 2020 ke 2021.Kebelakangan ini tak dengar kisah anaknya niaga hujung 1990han.

Abdullah Badawi jadi Perdana Menteri 2003 hingga ke 2009 manakala Najib dari 2009 ke 2018

Dr Mahathir pula dari 1981 sampai 2003 dan kali kedua pegang jawatan itu 2018 hingga 2020.

Semua orang tahu ada kalangan anaknya berniaga besar.

Namun Dr Mahathir pernah berkali kali menafikan guna pengaruh dan jawatannya bantu anak anaknya dalam perniagaan.

Apapun cuba kaji dan selak sejarah latar belakang keluarga mereka dalam cari jawapan.

Bernama melaporkan sumber SPRM ketika dihubungi memaklumkan individu terbabit dipanggil memberi keterangan termasuk bagi mengisytiharkan semua harta miliknya sama ada di dalam atau di luar negara.

Siasatan itu difahamkan terhadap syarikat kepunyaan individu berkenaan yang didakwa membeli sebuah subsidiari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Siasatan kali ini memerlukan dia mengisytiharkan semua harta miliknya sama ada di dalam atau di luar negara secara bertulis,” kata sumber itu.

Disember tahun lepas, media melaporkan SPRM telah memanggil individu terbabit untuk diambil keterangan berhubung dakwaan salah laku rasuah serta penyelewengan.- 18/1/2024

ZOO

KEMASKINI : Tanggungjawab moral untuk ahli politik, pesara pilih satu pencen – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ahli politik atau pekerja kerajaan yang menerima beberapa pencen mungkin boleh memenuhi tanggungjawab moral mereka untuk memilih hanya satu pencen sahaja dan menolak yang lain.

Beliau berkata ini memandangkan terdapat bekas menteri, menteri besar dan pegawai kerajaan yang menerima tiga hingga empat pencen.

“Cuma dari segi moral, orang yang dapat gaji menteri, menteri besar atau pekerja jabatan kerajaan yang dapat tiga empat pencen, mungkin melihat keadaan ini, memenuhi tanggungjawab moral dia untuk menolak pencen yang lain dan memilih satu, terserah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) yang berpandangan bayaran bulanan diberikan kepada bekas wakil rakyat perlu diteruskan, memandangkan bayaran itu sebenarnya sumbangan kerajaan kepada mereka yang menjadi wakil rakyat atau disebut gratuity (ganjaran).

Mubarak turut meminta agar skim pencen penjawat awam diteruskan.

Anwar berkata sebarang langkah dan cadangan untuk memansuhkan pencen wakil rakyat dan menteri memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan kita membatalkan apa yang telah dipersetujui sebelum ini. Yang kita nak mulakan ialah peraturan baharu yang boleh berkuat kuasa setelah diputuskan bagi jawatan-jawatan baharu.

“Ini termasuklah jawatan politik, itu cadangan kita yang kita akan bentang di Jemaah Menteri dan di Parlimen kerana melibatkan beberapa pindaan undang-undang. Jadi tidak boleh batalkan sedia ada kerana ia sudah terikat dengan perjanjian dan juga jaminan Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat, Anwar berkata walaupun keputusan itu tidak memihak sepenuhnya kepada penduduk Palestin tetapi ada pendirian yang jelas daripada ICJ mengenai konflik yang berlarutan tersebut.

“Sekurang-kurangnya jelas pendirian ICJ mengutuk serangan dan mendesak supaya dihentikan serangan dan disegerakan bantuan kemanusiaan,” katanya.

ICJ pada Jumaat mengarahkan Israel mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, namun tidak mengarahkan gencatan senjata.

Anwar berkata Malaysia juga tegas dengan pendiriannya selama ini dalam mengutuk serangan berkenaan dan akan terus memantau dan melakukan apa saja seperti yang disuarakan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).- BERNAMA – 27 /1/2024

BERITA SEBELUM INI : Keputusan kajian skim saraan penjawat awam turut terpakai kepada ahli politik – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan yang dibuat hasil daripada kajian membabitkan skim saraan dalam kalangan penjawat awam turut terpakai kepada ahli-ahli politik di negara ini.

Anwar berkata, beliau secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan itu.

Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan akan dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri selepas mendengar pandangan pelbagai pihak dan kajian mendalam melibatkan pelbagai aspek Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi ahli politik, apa jua keputusan ditetapkan bagi penjawat awam akan terpakai juga kepada ahli-ahli politik.

“Kalau kita mula pada 1 Februari 2024, semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka perkara itu juga sama untuk semua pelantikan baharu (termasuk) ahli politik,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum makan tengah hari di Restoran Nasi Kandar Pelita di Kuala Lumpur Jumaat.

Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat, jika negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan untuk memansuhkan pencen kepada kumpulan ‘orang politik’ terlebih dahulu kerana kebanyakan mereka berkhidmat kira-kira lima tahun berbanding penjawat awam hingga 30 tahun.

Dalam pada itu, Anwar berkata, mana-mana kerajaan akan sedar bahawa keadaan ekonomi tidak mungkin bertahan, sekiranya tidak melakukan sesuatu membabitkan persaraan.

“Jadi, dengar cadangan dikemukakan, bahas dahulu, teliti, beri pandangan apa ubah suai yang kerajaan perlu lakukan, kemudian kita akan muktamadkan,” katanya.

Anwar berkata, banyak kekeliruan yang timbul berhubung isu ini dan menambah kenyataan susulan akan dibuat Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Selasa lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu surat pekeliling bertarikh 15 Januari menyatakan suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di Malaysia.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam surat itu memaklumkan susulan penetapan kaedah lantikan tetap baharu, Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah berkenaan, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuat kuasa tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut dilapor berkata, pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen. – BERNAMA

pn-mpxxx

Perikatan Nasional makin semput…

Ada juga terdengar suara yang pertikai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bila beliau adakan sidang akhbar pada Jumaat dakwa 10 lagi Ahli Parlimen PN akan umum sokong kepemimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ini kerana Ahli Parlimen dari parti Bersatu itu berdepan masalah kredibiliti dalam bab lompat melompat.

Beliau asalnya dari UMNO (BN) kemudian lompat jadi Bebas lepas itu masuk PN dan selanjutnya umum sokong Anwar.

Baru baru ini Syed Abu Hussin yang merupakan seorang ahli perniagaan dakwa ada tujuh ke lapan Ahli Parlimen PN akan ‘lompat’ sokong Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Tolak sebelah bab kredibilitinya…apa yang didakwanya nyata betul bila Ahli Parlimen PN Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi pula lompat pada 24 Januari baru ini.

Jumlah terkini Ahli Parlimen PN dari Bersatu yang ‘lompat’ termasuk dirinya dan Zulkafperi sudah enam orang.

Selain mereka….empat lain ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Faktanya ialah semua mereka sekadar umum sokong Anwar tetapi tidak keluar parti kerana adanya Akta Lompat Parti yang mewajibkan mereka kosongkan kerusi jika lompat dalam erti kata sebenar.

Pada pilihanraya umum ke 15 lalu PN menang 74 kerusi iaitu 31 dari Bersatu dan 43 dari PAS.

Dalam sidang akhbar itu Syed Abu Hussin kata semuanya 10 lagi wakil rakyat PN lagi yang akan lompat termasuk Ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi yang sudah umum.

Maka ini bermakna ada sembilan lagi.

Beliau enggan sebut nama Ahli Parlimen yang berkenaan.

Namun beliau memberi bayangan ia akan berlaku sebelum Dewan Rakyat mula bersidang 28 Feb ini.

Beliau guna ‘fomula’ 8+3 yakni bagi kawasan utara – Kedah, Pulau Pinang, dan Perak – ada lima orang. Kawasan Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang – tiga orang, dan kawasan tengah (Selangor dan Melaka), tiga orang lagi.

Jika benar bagai didakwa maka Ahli Parlimen PN dari Bersatu akan tinggal 20 orang.

Apa pun buat masa ini belum kedengaran kalangan Ahli Parlimen PN dari parti PAS yang akan ‘lompat’.

Tandatanya yang berlegar ialah mengenai kemungkinan parti Bersatu akan semput tidak bermaya dengan tindak tanduk Ahli Parlimen mereka.

Setakat ini belum dapat dipastikan samaada keretakan dikalangan Ahli Parlimen parti itu mempunyai kesan dikalangan penyokong di peringkat bawahan.

Namun baru baru ini dalam pilihanraya kecil kawasan Parlimen Kemaman dimana Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Shamsuri Mokthar dari parti PAS turun padang sebagai calon, PN terus mendapat sokongan besar pengundi.

PN menerusi Bersatu meraih sokongan besar di kerusi Parlimen di kawasan pantai Barat semenanjung semasa PRU 15.

Banyak kerusi yang dulu dimenang calon UMNO-BN tumbang kepada PN-Bersatu.

Juga tidak kurang menarik Syed Abu Hussin dakwa dalam sidang akhbar itu Bersatu kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘Kem Presiden’ dan ‘Kem Setiausaha Agung’.

Dakwanya ini selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pusingan ‘U’ ketika mengumumkan akan mempertahankan jawatannya di perhimpunan parti itu November lalu.

Sedangkan sehari sebelum itu umum tidak akan pertahankan jawatan.

Beliau mendakwa, kesemua 31 Ahli Parlimen Bersatu sebenarnya menyokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung yang juga Ahli Parlimen Larut untuk memimpin parti itu.

Bagaimanapun, katanya, ia mengundang kecewa di kalangan Ahli Parlimen tersebut apabila Muhyiddin membuat pusingan ‘u’ untuk mempertahankan jawatannya sebagai Presiden parti pada pemilihan akan datang.

“Secara keseluruhannya kami melihat Larut mempunyai potensi sangat besar untuk memimpin Bersatu. Pada masa sama, Larut juga dilihat ada kesediaan dan kebolehan tersebut.

“Saya tidak mahu mengesahkan (adanya kem dalam Bersatu, tetapi memang ada,” katanya pada sidang media yang diadakan di kediamannya di Puchong.

Syed Abu Hussin berkata, tindakan Muhyiddin itu menjadikan Bersatu tiada hala tuju jelas untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Kami sebagai ahli Bersatu sebahagian besarnya mahu melihat kepimpinan parti diberi nafas baharu namun Presiden ‘U-turn’, ini keputusan sangat besar kerana berkaitan hala tuju parti.

“Beliau mahu bawa Ahli Parlimen untuk membina masa depan negara tetapi boleh buat ‘U-turn’ dengan mudah atas permintaan isteri.

“Saya tidak salahkan isteri beliau, tetapi keputusan sebagai pemimpin parti dengan berdepan pelbagai cabaran maka ia sangat penting,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan buat keputusan itu selepas berbincang dengan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang mahu beliau untuk terus mencurahkan khidmat kepada negara.

“Sebenarnya, kuasa yang paling besar yang saya nak sebutkan di sini bukan Perhimpunan Agung Tahunan. Kuasa besar (keputusan dibuat) tidak lain adalah isteri saya,” katanya.

Tegas Syed Abu Hussin, tindakan Muhyiddin tersebut menyebabkan kepimpinan Bersatu melemahkan moral mereka kerana menunjukkan bahawa parti tersebut tidak mempunyai hala tuju jelas.

“Oleh kerana hala tuju parti tak berap jelas, peluang untuk kepimpinan mengatur strategi baharu menghadapi PRU-16 akan datang juga menjadi gelap,” katanya.- 26/1/2024

kakitangan-awam

Isu pencen punya cerita…

Salah satu yang buat kalangan pekerja swasta cemburu pada kakitangan awam ialah andaian tentang skim pencen.

Sekalipun pekerja swasta diakhir khidmat dan bila cukup usia terjamin dapat ‘selepuk’ duit KWSP namun ada yang merasakan pencen lebih beri jaminan pada hari tua.

Ini kerana pesara kakitangan awam terus terima ‘gaji’ tiap tiap bulan hingga ke akhir hayat.

Maka tidak hairanlah timbul sikit polimek bila semalam,Rabu Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, umum kabinet bersetuju supaya perjawatan baru bagi kakitangan awam – yang berstatus tetap selama ini – akan ditukar kepada tidak berpencen.

Ini bermakna kakitangan awam yang sedia ada akan terus menikmati skim pencen manakala kakitangan baru nanti akan guna skim KWSP seperti pekerja swasta.

Ikut ceritanya langkah ini adalah untuk mengurangkan tekanan kewangan keatas kerajaan menampung perbelanjaan untuk emolumen.

Pemuda UMNO Malaysia terus tampil dengan cadangan supaya rancangan pemansuhan skim pencen dimulakan dengan wakil rakyat sebagai kumpulan sasar terawal sebelum dikembangkan ke pihak lain.

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata sayap Umno itu memahami tekanan kewangan yang sedang ditanggung oleh kerajaan ketika ini sehingga memerlukan kepada pemansuhan pencen penjawat awam.

“Tetapi biarlah pemansuhan skim pencen ini dimulakan oleh wakil-wakil rakyat terlebih dahulu.

“Tidak adil jika kita mansuhkan pencen mereka (kakitangan awam, tetapi kita (wakil rakyat) pula menikmati pencen sehingga mati.

“Tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini,Khamis.

Akmal berkata Pemuda Umno berharap cadangan yang dilontarkan itu didengar oleh semua pihak termasuk pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.

“Kerana kami percaya atas prinsip kepimpinan melalui teladan

“Mohon cadangan ini diambil kira dan dipersetujui oleh semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang,” katanya Akmal lagi.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) juga mempunyai pendapat yang hampir sama.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat kata kerajaan perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat jika negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam.

Difahamkan kini kerajaan membelanjakan sehingga RM2 bilion setahun untuk membayar pencen bekas ahli parlimen dan bekas anggota Kabinet termasuk Perdana Menteri.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya memikirkan untuk memansuhkan pencen kepada kumpulan `orang politik’ terlebih dahulu kerana kebanyakan mereka berkhidmat sekitar lima tahun berbanding penjawat awam sehingga 30 tahun.

“Kumpulan ini bukan sahaja menerima elaun serta peruntukan yang tinggi semasa berkhidmat malah memiliki pelbagai keistimewaan berbanding penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun.

“Keutamaan kepada kerajaan ketika ini adalah mengkaji bagi kes-kes yang berkhidmat waktu singkat tetapi menikmati faedah saraan yang agak selesa dan bukannya menyasarkan kepada penjawat awam sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya berpandangan kerajaan tidak sepatutnya memansuhkan skim pencen penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat untuk negara melebihi 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan.

Katanya, dengan skim gaji yang masih rendah dalam perkhidmatan awam ketika ini, skim caruman KWSP dilihat tidak membantu penjawat awam mempunyai simpanan hari tua yang baik selepas persaraan kelak.

“Disebabkan itulah kebanyakan penjawat awam lebih memilih skim pencen kerana ia adalah keistimewaan yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Kata beliau, ketika ini penjawat awam dibenarkan membuat pilihan sama ada memilih skim berpencen ataupun caruman KWSP.

“Walaupun terdapat penjawat awam yang memilih skim caruman KWSP, tetapi kebanyakan mereka lebih memilih skim berpencen kerana ia dianggap sebagai lebih baik dan menjamin kesejahteraan selepas persaraan kelak,” katanya.

Oleh itu, kata Adnan, kerajaan sewajarnya mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum terus menetapkan skim caruman KWSP secara mandatori kepada lantikan baharu.

Katanya, pandangan pihaknya amat jelas iaitu sekiranya kerajaan mahu melaksanakan sesuatu perkara perlulah berlandaskan prinsip tidak dikurangkan faedah semasa yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini.

“Kerajaan harus memastikan gaji yang diterima hari ini mampu memberi kesejahteraan hidup untuk penjawat awam dan dalam masa yang sama gaji ini mampu memberi simpanan untuk hari persaraan kelak. Sekiranya kerajaan tetap ingin menamatkan skim pencen ini, ia hendaklah terpakai kepada lantikan politik yang layak menerima pencen ketika ini,” katanya.- 25/1/2024

syed-bg

Awas…ada lagi Ahli Parlimen PN akan ‘lompat’

Ahli Parlimen Perikatan Nasional kawasan Bukit Gantang,Perak Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sudah berani dabik dada beliau bukan kaki sembang kosong.

Ini rujuk kisah baru baru ini beliau dakwa ada lagi tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen PN akan umum sokongan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa yang dikatanya terbukti semalam Rabu bila Ahli Parlimen PN kawasan Tanjong Karang Datuk Zulkafperi Hanapi pula ‘lompat’ umum sokongan Perdana Menteri.

Zulkafperi merupakan Ahli Parlimen PN yang ke enam ‘lompat’ sokong blok kerajaan.

Sebelum ini langkah Syed Abu Hussin disertai oleh Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Mereka semua sekadar umum sokong kerajaan tetapi tidak keluar dari parti.

Syed Abu Hussin yang merupakan ahli parti Bersatu seperti lima yang lain itu beritahu sebuah portal berita pada Khamis ,“Apa yang saya katakan sebelum ini adalah betul, ada lagi nanti yang akan menyusul.”

“Saya juga akan mengadakan satu sidang media tergempar dan pendedahan penting sokongan berterusan kepada Perdana Menteri esok,” katanya.- 25/1/2024

overtourism

Dunia diramal hadapi krisis overtourism, Malaysia tidak terkecuali

LEBIHAN pelancong atau overtourism dijangka akan berlaku di beberapa destinasi pelancongan antarabangsa di pelbagai negara termasuk Malaysia pada tahun 2024.

Lebihan pelancong bermaksud bilangan pengunjung yang datang ke sesuatu kawasan melebihi kapasiti yang disiapkan. Berbagai masalah yang timbul termasuk tidak cukup bilik penginapan, berbaris panjang untuk ke kawasan tumpuan serta kesesakan lalu lintas.

Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), menganggarkan bahawa 2024 akan menjadi tahun rekod ketibaan pelancong antarabangsa di seluruh dunia. Ini akan menjadi masalah serius yang mesti dihadapi oleh destinasi pelancongan di seluruh dunia.

Jumlah pelancong global terus meningkat selepas pandemik. Pada tahun 2019, jumlah lawatan pelancong antarabangsa ke seluruh dunia mencapai angka tertinggi iaitu hampir 1.5 bilion. Pengarah Perisikan Pasaran dan Daya Saing UNWTO Sandra Carvao berkata bahawa jumlah pelancong pada 2023 akan mencapai sekitar 88 peratus.

Oleh itu, pada tahun 2024 akan lebih banyak pelancongan daripada tahun-tahun sebelumnya kerana diramalkan jumlah pelancong akan meningkat.

Malaysia menjadi negara paling tinggi kedatangan pelancong asing di Asia Tenggara apabila mencatatkan kedatangan seramai 26 juta pelancong pada tahun ini bermula Januari sehingga November lalu.

Jumlah kedatangan tersebut sekali gus meletakkan Malaysia berada di tangga pertama dalam kalangan negara Asean mendapat kedatangan pelancong asing teramai.

Menurut statistik yang dikeluarkan Asean Skyline 2023, Thailand pula berada di tangga kedua di Asean apabila mencatatkan kehadiran pelancong asing seramai 24.6 juta dalam tempoh yang sama.

Manakala, Singapura pula berada di tangga ke tiga apabila mencatatkan kehadiran seramai 11.3 juta pelancong asing bagi tempoh dari Januari sehingga November 2023.

Indonesia yang mempunyai keluasan paling besar di Asean hanya berada di tangga ke kelima di belakang Vietnam dengan kehadiran 9.9 juta pelancong asing dalam tempoh yang sama.

Dalam pada itu, Myanmar berada di tangga paling bawah dalam kalangan negara Asean apabila hanya mencatatkan 751,000 kedatangan pelancong asing tahun ini.

Berikutan itu, jelas Sandra Carvao, jika sektor pelancongan terus pulih, jumlah pelancong global berkemungkinan akan melebihi 1.5 bilion. Negara-negara yang mengalami overtourism seperti Amsterdam, ibu negara Belanda, telah mengalami masalah pelancongan berlebihan yang serius. Pada 2022, negara akan dikunjungi lima juta pelancong, manakala penduduk negara hanya 1.1 juta penduduk.

Manakala Bali antara destinasi utama di rantau Asia Tenggara merekodkan sekitar 871,607 pelancong dan 98,907 kenderaan memenuhi Pulau Dewata semasa cuti Krismas baru-baru ini. Ini menyebabkan penduduk kekurangan tempat tinggal kerana banyak pangsapuri disewakan hanya kepada pelancong.

Selain itu, pelancongan berlebihan juga berlaku di Hawaii, dengan jumlah pelancong mencecah 9.2 juta. Manakala penduduk di situ hanya 1.4 juta orang. Hal ini menyebabkan orang Hawaii mengeluh kerana pantai yang dahulunya indah dan semula jadi kini menjadi terlalu sesak dan sesak dengan pelancong. Terancam oleh overtourism Venice di Itali juga mengalami pelancongan berlebihan, dengan pelawat pelancong mencecah 4.6 juta. Manakala penduduk di situ hanya 55,000 orang.

Jumlah pengunjung membebankan infrastruktur bandar dan menghalang aktiviti, baik untuk penduduk tempatan mahupun pelancong. Kemudian pelabuhan Dubrovnik di Croatia juga mengalami terlalu banyak pelancongan. Salah satu sebab utama adalah kerana kapal persiaran sentiasa menurunkan ribuan penumpang setiap hari.

Seperti pada 2018 apabila Datuk Bandar Dubrovnik, Mato Frankovic, mengehadkan bilangan kapal persiaran yang membawa sejumlah 5,000 pelancong, hanya dibenarkan singgah di pelabuhan dua kali sehari.

Peru juga sebelum ini mengehadkan jumlah pelancong di Machu Picchu kepada hanya 3,800 orang sehari. Bagaimanapun, jumlah itu meningkat kepada 4,500 sehari pada Januari 2024 dengan kemungkinan meningkat lagi kepada 5,600 pada tarikh tertentu.

disel1

Dakwaan subsidi RON95, Diesel ditarik dan cukai baharu dilaksana, tidak benar: Fahmi

PUTRAJAYA – Dakwaan kononnya kerajaan akan menarik balik subsidi RON95 dan diesel pada tahun ini sepertimana yang tular di media sosial adalah tidak benar, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata perkara tersebut belum lagi dibincang di peringkat Jemaah Menteri.

Beliau turut menafikan dakwaan beberapa cukai baharu akan diperkenal tahun ini, yang juga tular dalam media sosial.

“Sekali lagi ini adalah sebaran yang tidak mempunyai maklumat yang tepat, menimbulkan kecurigaan dan kegusaran awam,” katanya pada sidang media di Putrajaya Rabu.

Justeru, Fahmi menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam menerima sebarang maklumat sebaliknya merujuk kepada Kementerian Kewangan jika terdapat sebarang keraguan.

Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai insiden seorang pempengaruh yang mendakwa tiga wakil Perikatan Nasional telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

“Hal ini terbukti palsu dan satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai Istana Negara terhadap individu tersebut dan kita serah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan ada menerima laporan berkaitan dakwaan Chegu Bard, atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shahrin, bahawa tiga wakil PN telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong dan kes itu akan disiasat dan dikendali oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Kenyataan Chegu Bard didakwa dibuat menerusi sebuah video berdurasi 52 saat yang disiarkan menerusi aplikasi TikTok atas akaun “Alias Official.”

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kekosongan jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) belum diisi kerana Kementerian Komunikasi dalam proses merombak agensi itu.

Beliau berkata proses itu akan mengambil sedikit masa namun pihaknya telah mengadakan perbincangan awal dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. – 24 Januari, 2024

SPRM-1

Ini jawapan SPRM pasal dakwaan Anwar ada RM3 billion…

Ingat balik…dalam sidang akhbarnya pada hari Isnin 22 Januari baru ini Tun Mahathir Mohamad antara lain dakwa tiada siasatan dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid beliau ada RM3 billion dalam 20 akaun berasingan.

Bekas Perdana Menteri itu adakan sidang akhbar sekitar sejam lamanya di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya untuk ulas isu siasatan SPRM terhadap anaknya Mirzan dan keluarga Tun Daim Zainuddin.

SPRM dalam satu kenyataan Rabu menegaskan ia memandang serius kenyataan bekas Perdana Menteri itu.

SPRM menjelaskan siasatan terhadap dakwaan itu telah dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri, tetapi ia tidak membuahkan hasil.

BPR ketika itu sudah membuka enam kertas siasatan untuk menyiasat Anwar susulan akuan bersumpah Murad yang dikeluarkan pada 26 Oktober 1999.

“Siasatan sudah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan Bank Negara Malaysia termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura.

“Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu,”katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, enam kertas siasatan berkenaan sudah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 dan Pejabat Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak.

“Justeru, SPRM ingin menekankan bahawa dakwaan BPR/SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Anwar berhubung akuan bersumpah Murad adalah tidak benar sama sekali malah perkara berkenaan berlaku ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri,”katanya.

Untuk rekod, Murad dilaporkan telah menarik balik akuan berkanun (SD) yang dibuatnya dan menuduh BPR memaksa dia menandatangani dokumen tersebut.- 24/1/2024

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH SPRM

BPR/SPRM JALANKAN SIASATAN TERHADAP AKUAN BERSUMPAH DATO’ ABDUL MURAD

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kenyataan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang media bertarikh 22 Januari 2024.

Tun Mahathir telah membuat tohmahan bahawa SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Abdul Murad bin Khalid terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan rekod SPRM, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, telah membuka sebanyak enam kertas siasatan untuk menyiasat Dato’ Seri Anwar susulan akuan bersumpah Dato’ Abdul Murad yang telah dikeluarkan pada 26 Oktober 1999.

Siasatan telah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan Bank Negara Malaysia termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura. Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Dato’ Seri Anwar.

Sehubungan itu, enam kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 dan Pejabat Peguam Negara telah memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak.

Justeru, SPRM ingin menekankan bahawa dakwaan BPR/SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Dato’ Seri Anwar berhubung akuan bersumpah Dato’ Abdul Murad adalah tidak benar sama sekali malah perkara tersebut berlaku semasa kepimpinan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

24 JANUARI 2024

mp1 (1)

Seorang lagi MP Perikatan umum sokong Anwar…jadi 6

Pada ketika orang asyik cakap pasal langkah itu ini…seorang lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional umum sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengumuman Ahli Parlimen PN kawasan Tanjong Karang,Selangor Zulkafperi Hanapi itu menjadikan setakat ini enam ambil langkah itu.

Menerusi satu kenyataan Rabu,Zulkafperi kata langkahnya bertujuan memastikan nasib dan pembangunan penduduk di parlimen yang diwakilinya terus terbela.

“Dan akan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur dan keperluan setempat,”katanya.

Menurut Zulkafperi beliau buat keputusan ini tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak.

“Saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjong Karang.”katanya.

Sebelum ini lima Ahli Parlimen PN yang umum sokong Anwar ialah Gua Musang,Jeli,Labuan,Kuala Kangsar dan Bukit Gantang.

Mereka umum sokong tetapi tidak keluar dari parti.- 24/1/2024

bella-dakwa-okkk

Kes Bella: Jeritan ‘pembunuh….pembunuh’ bergema di kawasan mahkamah

Suasana kawasan Mahkamah Majistret Batu Pahat gamat seketika pagi Rabu bila lelaki yang didakwa bunuh Bella atau nama sebenar Mila Sharmilah Samsusah hadapi pertuduhan di situ.

Ada antara yang hadir menjerit “pembunuh…pembunuh!” semasa lelaki berkenaan yakni teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, dibawa keluar dari mahkamah.

Mohammad Haikal seorang bekas posmen memakai baju Melayu hijau, diiringi dengan kawalan ketat anggota siasatan jenayah sebelum dibawa menaiki kenderaan polis.

Dia dituduh membunuh ibu tunggal dua anak yang berusia 32 tahun bulan lalu.

Bella dilaporkan hilang pada 14 Disember lalu selepas ahli keluarga gagal menghubunginya sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember lalu.

Dia dikatakan keluar dengan memakai baju kelawar untuk ke dobi mencuci pakaian sambil ditemani teman lelakinya dengan menaiki kereta berwarna putih.

Selepas 38 hari misteri kehilangan itu rangka milik Bella ditemui dalam rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah pada jam 2 petang Jumaat lalu.

Kes ini telah mencuri perhatian orangramai seluruh negara.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Haikal didakwa membunuh Bella pada pukul 11 malam, 14 Disember hingga 5.30 pagi, 15 Disember 2023.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Kelapa Bali, Taman Soga hingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di Batu Pahat.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid, manakala tertuduh diwakili peguam Syahril Anuar.

Tertuduh, Mohammad Haikal hanya mengangkuk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah A. Rahman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan,Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang ditemui wartawan di Johor Bharu mendedahkan kematian Bella disebabkan keretakan di kepala mangsa akibat objek tumpul.

Manakala dan motif pembunuhannya kerana cemburu dan sakit hati.

Beliau berkata, perkara itu dikenal pasti hasil siasatan menyeluruh dilakukan polis. – 24/1/2024