azam-ismail

Kes dana publisiti RM700 juta…SPRM dah rakam keterangan Ismail Sabri

SPRM mengesahkan agensi itu telah merakam keterangan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam satu kenyataan pada Rabu agensi itu kata ia bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana RM700 juta yang dibelanjakan untuk tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

Kenyataan itu tidak menyebut bila dan dimana proses ambil keterangan dari Ismail dibuat.

Namun difahamkan ia dibuat di sebuah lokasi di Kuala Lumpur semalam.

Juga difahamkan ia berlangsung sekitar lima jam.

Selain Ismail SPRM dilaporkan turut menyiasat beberapa bekas pegawainya, termasuk pembantu Ismail yang dilantik secara politik ke jawatan kanan di Pejabat Perdana Menteri pada masa itu.

Pada November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sebanyak RM700 juta dibelanjakan antara 2020 dan 2022 untuk menunjukkan pencapaian kerajaan.

Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebanyak RM500 juta dibelanjakan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin dari 2020 ke 2021, manakala RM200 juta lagi ketika pentadbiran Ismail (2021-22).- 10/1/2024


BERITA SEBELUM INI : Kes dana publisiti RM700 juta…SPRM akan panggil seorang bekas PM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki enggan sebut siapa.

Namun begitu pada Isnin beliau mengesahkan seorang bekas Perdana Menteri dan bekas pegawainya akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan kes dana iklan dan publisiti RM700 juta.

Sebelum ini media melaporkan sebanyak RM700 juta dibelanjakan antara 2020 dan 2022 untuk menunjukkan pencapaian kerajaan.

Sebanyak RM500 juta dikatakan dibelanjakan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dari 2020 ke 2021, manakala RM200 juta lagi ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Yaakob (2021-22).

Azam yang ditemui wartawan selepas menghadiri program Simposium Tata Kelola Baik Nasional 2024, di Sepang kata siasatan lebih kepada bagaimana ia (dana kerajaan) dibelanjakan dan syarikat-syarikat yang mendapat dana. Itu penting.

Katanya SPRM telah pun panggil syarikat-syarikat berkaitan.

“(Mantan) PM dan juga mantan pegawai-pegawai yang terdekat dengan dia (akan dipanggil).

“Saya tak ada senarai jumlah yang akan dipanggil tapi tak kurang dari empat individu akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, buat masa ini hanya seorang bekas Perdana Menteri dipanggil.- 8/1/2024


hajiji-anwar

GRS Sabah tolak sebarang ‘langkah’…

Gerakan Langkah Dubai berdepan satu lagi halangan besar bila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan pendirian mereka terhadap cubaan untuk tebuk atap Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Nor dalam satu kenyataan Rabu malam berkata gabungan itu tidak akan sekali-kali mengambil bahagian dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berpendapat tindakan seumpama itu akan membawa kepada huru-hara dan menjejaskan kestabilan negara.

Hajiji mempersoalkan motif dan niat pelaku “Langkah Dubai”, adakah ia semata-mata untuk memenuhi agenda politik mereka sendiri tanpa mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat.

“Kita mempunyai Kerajaan Persekutuan yang berfungsi dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri kita, kenapa perlu rosakkan hubungan baik itu.

“Kami bekerja untuk kesejahteraan negara dan rakyat, kami tidak menyokong sebarang tindakan yang akan meruntuhkan negara,” tegasnya.

Menurutnya, Malaysia mengamalkan demokrasi, mereka yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri hanya perlu menunggu Pilihan Raya Umum untuk melihat sama ada rakyat menerimanya.

“GRS menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami yakin dengan kepimpinan beliau. Biarkan beliau memimpin negara kita yang berbilang kaum ke arah kesejahteraan,” katanya.- 10/1/2024

ngeh-fire4

PAS kutuk keras perbuatan khianat terhadap Ahli Parlimen DAP

PAS memandang serius dan mengutuk keras perbuatan khianat terhadap Ahli Parlimen Beruas, YB. Dato’ Ngeh Koo Ham di rumahnya awal pagi tadi mengakibatkan kerosakan harta benda milik beliau.

Menurut kenyataan polis berikutan insiden itu, yang kini disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai perbuatan “khianat dengan api”, beberapa buah kenderaan milik Ngeh telah terbakar dan rosak.

PAS menyambut baik tindakan segera yang diambil oleh pihak berkuasa dalam mengawal keadaan dan menjalankan siasatan pantas bagi mengenal pasti dan menangkap pihak-pihak yang terbabit.

Jika dilihat dari sudut mana pun, perbuatan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali, bukan sahaja kerana bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga berlawanan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni.

PAS percaya perbezaan pandangan dan kepercayaan tidak mewajarkan apa-apa juga tindakan yang melampaui batas undang-undang serta akhlak, terutamanya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan harta benda.

Justeru semua usaha mesti diambil bagi menyuraikan ketegangan yang mungkin berlaku akibat perbezaan-perbezaan itu dengan segera, adil dan bijaksana.

Selain itu, semua pihak juga perlu lebih peka dan cermat terhadap penyuaraan apa-apa pandangan, pendirian atau cadangan yang boleh menyumbang kepada ketegangan serta suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan berkemungkinan menjadi percikan api yang memulakan kebakaran lebih besar.

Dalam pada itu, PAS juga berharap YB. Ngeh dan keluarga terus bertenang dan tidak terlalu terkesan dengan insiden tersebut atas kesedaran bahawa beliau sentiasa memperoleh simpati dan sokongan moral semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, selain mendapat perlindungan undang-undang yang berkuat kuasa di negara kita.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh : 10 Januari 2024

najib-penjara

Apa cerita isu pengampunan Najib ?

Menjelang peralihan Yang Dipertuan Agong dari Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada hujung bulan ini kedengaran berbagai desas desus disebar.

Antaranya ialah kemungkinan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini dipenjara itu akan didengar dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada minggu ketiga Januari.

Ia telah dilaporkan oleh saluran Channel News Asia (CNA) ,Singapura.

CNA memetik seorang dikatakan orang kepercayaan Najib berkata terdapat “suasana positif” mengenai petisyen pengampunan itu, sekiranya permohonan itu didengar dalam mesyuarat bulan ini.

Mesyuarat berkenaan adalah antara tugas akhir Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah sebelum baginda digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim pada 31 Januari.

Mengulas mengenainya pada sidang media di Putrajaya selepas mesyuarat mingguan kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim…Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang bertindak sebagai jurucakap kerajaan kata kabinet tak bincang isu pengampunan Najib.

Beliau menjelaskan terdapat proses sewajarnya yang perlu diikuti dan perkara itu akhirnya terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong.

“Biasanya kita tidak boleh mendahului proses itu. Jadi kita serahkan kepada Lembaga Pengampunan untuk berbincang.

“Itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan,” katanya.

Isu permohonan pengampunan Najib sebelum ini ditangguhkan daripada mesyuarat bulan lepas kerana lembaga yang terdiri daripada enam anggota itu memutuskan ia memerlukan lebih masa untuk membincangkan isu berkenaan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang kerana kes rasuah RM42 juta SRC International.-10/1/2024

nasikandar

Air tak ada: Restoran nasi kandar di Pulau Pinang ‘bercuti’….

INI bukan cubaan, tapi hal yang sebenarnya terjadi ekoran gangguan air di Pulau Pinang.

Kebanyakan restoran nasi kandar popular di bandar ini cenderung menutup perniagaan mereka atau hanya membenarkan pesanan bawa pulang sepanjang tempoh empat hari gangguan air berjadual di Pulau Pinang, bermula hari ini.

Pengurus Restoran Deen’s Maju Nasi Kandar, Mohamed Ismail Seeni Mohamed, berkata ini kali pertama pihaknya terpaksa ‘bercuti’ buat sementara waktu disebabkan masalah bekalan air dan menjangka kehilangan perolehan jualan mencecah RM50,000.

“Kami perlu banyak air misalnya untuk mencuci kira-kira 150 ayam dan 200 kilogram beras setiap hari tidak termasuk untuk mencuci peralatan dan kegunaan pelanggan.

“Kalau buka juga, kami takut timbul pelbagai masalah kerana kami sendiri tidak pasti berapa banyak air yang perlu disimpan dalam tempoh tersebut.

“Kepada semua peminat Deen’s Maju, kami minta maaf terpaksa tutup empat hari bermula jam 9.30 malam ini,” katanya.

Harian Metro melaporkan Pengurus Restoran Nasi Kandar Pokok Ketapang, Mohammad Uvas Mohammad Jamil, berkata pihaknya awal-awal lagi membuat keputusan untuk menghentikan operasi sejak pengumuman isu gangguan air oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), 8 Disember lalu.

“Kami fikir punya fikir, rasa macam susah nak simpan air. Jadi kami bagi semua 15 pekerja cuti bermula esok sampai Ahad ini. Jadi tak perlu pening kepala macam mana nak buat kalau tiada air nanti.

“Tak apalah nak buat macam mana walaupun kami jangka hilang pendapatan cecah RM30,000. Hari biasa, kalau tiada masalah, kami buka setiap hari dari jam 6 pagi hingga 8 malam kecuali hari raya,” katanya.

Sementara itu, wakil pengurusan Restoran Hameediyah, Shazwani Abdul Rahim berkata pihaknya sanggup membelanjakan RM18,000 untuk menyewa 30 tangki air dengan kos RM600 setiap satu daripada syarikat swasta untuk kegunaan restoran cawangan di Lebuh Campbell, di sini.

“Ketika ini, kesemua tangki dengan kapasiti 300 liter setiap satu sudah penuh diisi air. Kami telah merancang selama kira-kira dua minggu dan buat masa ini memutuskan hanya menerima pesanan untuk bawa pulang,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik kafe Tea Kadai di Lebuh Queen, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan, berkata pihaknya akan menggunakan bekas minuman dan makanan pakai buang dan akan menggunakan air mineral sepanjang tempoh tersebut.

“Kami mendapati harga sekotak air mineral yang biasanya dibeli pada harga RM9.50 naik kepada RM10.50 minggu ini disebabkan permintaan tinggi.

“Kami juga sudah mula mengedarkan 2,000 botol air berisipadu 1,500 milliter setiap satu secara percuma bukan sahaja kepada pelanggan malah kepada orang ramai khas sempena peristiwa gangguan air ini,” katanya.

timahtasoh

Memancing di lubuk ikan Tasik Timah Tasoh

SANTUARI Ikan Air Tawar Timah Tasoh di sini menawarkan pengalaman menarik kepada kaki pancing yang menginginkan cabaran memancing di tasik sambil menikmati panorama indah alam semula jadi Tasik Timah Tasoh.

Tasik berkeluasan 20 kilometer persegi itu, yang terletak di Empangan Timah Tasoh, Beseri, juga menjadi antara destinasi wajib bagi pelancong yang berkunjung ke Perlis kerana mempunyai pelbagai aktiviti rekreasi air yang santai dan menenangkan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Perlis Abd Azhar Abd Aziz, yang juga pengurus santuari berkenaan berkata selain memancing, pelbagai aktiviti lain ditawarkan kepada pengunjung seperti berkayak, menaiki bot ronda tasik, bot memancing dan jual beli ikan air tawar termasuk ikan pekasam.

“Pelancong yang menggemari aktiviti memancing boleh memilih santuari ikan air tawar ini sebagai destinasi pilihan mereka untuk bercuti bersama rakan mahupun keluarga kerana ia dibuka setiap hari bermula 8 pagi hingga 7.30 malam.

“Untuk aktiviti perkhemahan pula, pengunjung boleh ke laman media sosial kami untuk tempahan tapak perkhemahan yang berdekatan dengan tasik dan melihat pemandangan matahari terbenam yang indah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abd Azhar berkata terdapat beberapa jenis ikan air tawar seperti lampam, talapia, belida, sepat, dan baung, selain spesies ikan asing seperti paecock bass dan toman di tasik itu yang menjadi antara tarikan kaki pancing.

Selain itu, katanya pengunjung juga berpeluang menaiki bot ronda menyusuri tasik sambil menyaksikan sendiri keindahan Bukit Chabang yang menjadi mercu tanda Perlis.

“Bagi bot ronda tasik bayaran dikenakan hanya RM50 untuk lapan orang dan RM60 untuk 10 orang, manakala bot sewa memancing pula bayarannya RM50 untuk tiga orang selain masing-masing RM10 dan RM15 untuk sewa kayak seorang dan berdua. Tapak perkhemahan pula dikenakan bayaran RM50.

“Di santuari ini juga terdapat kolam ikan yang pengunjung boleh santai bersama keluarga memberi makan ikan,” katanya sambil menambah terdapat kemudahan seperti gerai makanan, tandas dan surau untuk keselesaan pengunjung.

Sementara itu, pengunjung santuari ikan air tawar dari Kuala Lumpur, Mohamad Shakhir Saidy Ridzah, 23, berkata Tasik Timah Tasoh berbeza berbanding tempat lain selain mempunyai keunikan tersendiri untuk dinikmati pengunjung.

“Ini pertama kali saya datang ke sini dengan rakan-rakan, saya tahu kawasan ini memiliki pemandangan indah dan tenang yang tidak terdapat di tempat lain. Kawasan tasik juga bersih dan terjaga, selain terdapat pelbagai aktiviti menarik di sediakan,” katanya. -Bernama

daim-isteri

Isteri Daim beri keterangan SPRM…dakwa suami difitnah

Ibupejabat SPRM di Putrajaya jadi tumpuan petugas media pagi Rabu bila isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Naimah Khalid bersama dua anak lelakinya datang untuk beri keterangan.

Mereka tiba pada jam 10.05 pagi menaiki kenderaan MPV dan ditemani peguam, Rajesh Nagarajan.

SPRM baru baru ini sita bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai,Kuala Lumpur milik keluarga bekas Menteri Kewangan itu.

Bercakap kepada wartawan di situ Naimah mendakwa tindakan keatas Daim sesuatu yang tidak munasabah dan tidak masuk akal.

Dakwanya kejayaan suaminya dijadikan alasan untuk memfitnah nama baiknya dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.

“Kini, sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa beliau seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya,”ujarnya

Naimah berkata kerajaan tidak boleh cuba mencemarkan reputasi individu untuk “menyelesaikan pertelingkahan politik lampau”.

“Umum mengetahui Daim merupakan ahli perniagaan yang sangat berjaya sebelum menyertai kerajaan pada 1984. Malah media secara meluas merujuk beliau hartawan dan jutawan sebelum memegang jawatan awam 40 tahun lalu,”katanya.

Sementara itu SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan ia telah memanggil Naimah serta dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin bin Daim dan Muhammad Amir Zainuddin bin Daim di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan, hari ini.

Katanya ketiga-tiga individu ini dipanggil memberi keterangan bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Daim.

“SPRM ingin menjelaskan bahawa satu Notis telah diserahkan kepada Tun Abdul Daim bin Zainuddin di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun 2023 manakala Notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga telah diserahkan kepada ahli keluarga beliau.

“Sebagaimana yang telah dinyatakan pada Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023 yang lalu, siasatan terhadap Tun Abdul Daim bin Zainuddin ini telah bermula pada Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora. Siasatan terhadap aset milik Tun Abdul Daim bin Zainuddin ini juga masih terus berjalan,”katanya. – 10/1/2024

kwsp1

1.4 juta ahli KWSP terima RM500 caruman tambahan kerajaan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Rabu mengumumkan telah mengkreditkan Insentif Caruman Tambahan Kerajaan berjumlah RM708 juta kepada 1.4 juta ahlinya yang berusia 40 tahun hingga bawah 55 tahun.

Dalam kenyataannya, dana persaraan itu berkata, insentif berkenaan diperuntukkan kepada kalangan individu yang mempunyai simpanan KWSP berjumlah RM10,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 masing-masing setakat 24 Februari 2023.

“Insentif caruman RM500 sekali bayaran ini yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023, bertujuan menggalakkan ahli KWSP yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri umur persaraan untuk terus menyimpan dan mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan mereka.

“Ini sejajar dengan matlamat KWSP untuk meningkatkan kecukupan simpanan dan menyumbang secara signifikan kepada matlamat lebih luas bagi membina masa depan kewangan yang berdaya tahan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai Insentif Caruman Tambahan Kerajaan itu boleh diperoleh menerusi rujukan soalan lazim di laman sesawang rasmi www.kwsp.gov.my atau Pusat Pengurusan Pelanggan di talian 03-8922 6000. – Bernama-10/1/2024

kpn3

Langkah Dubai: Polis akan panggil Papagomo, Che’Gu Bard dan Salim Iskandar – KPN

Polis akan memanggil tiga pempengaruh media sosial untuk memberi keterangan berhubung gerakan “Langkah Dubai” yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tiga individu berkenaan adalah Badrul Hisham Shaharin atau dikenali di media sosial sebagai Che’Gu Bard, Wan Muhammad Azri (papagomo) dan Salim Iskandar.

Bercakap dalam sidang media khas di Bukit Aman Selasa beliau berkata kesemua mereka akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Menurutnya mereka didapati menggunakan media sosial sebagai platform untuk berbicara mengenai isu berkenaan.

“Selain mereka, beberapa pemimpin parti politik juga akan dipanggil untuk beri keterangan,” katanya.

Razarudin berkata polis sehingga kini menerima 43 laporan polis daripada wakil pelbagai parti politik berhubung gerakan Langkah Dubai, di seluruh negara.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan.

Berikutan itu, katanya polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

“Selain itu, ia boleh disimpulkan sebagai aktiviti yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan menimbulkan keresahan.

“Saya boleh beri jaminan bahawa situasi negara ketika ini stabil dan polis telah pun membuat persediaan sekiranya ia (Langkah Dubai) menjejaskan ketenteraman awam negara,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia sangat prihatin akan keamanan dan polis akan memastikan keselamatan mereka semua terpelihara.

Selain itu, Razarudin berkata polis turut mengesan video blogger Raja Petra Kamaruddin yang bercakap berkaitan perkara itu (Langkah Dubai) lebih daripada 10 hari.

“Polis sedang menyiasat video tular yang menyaksikan tiga atau empat individu bercakap tentang gerakan menukar kerajaan. Salah seorang daripadanya ialah Raja Petra Kamarudin,”katanya.

Pada 30 Dis lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa “Langkah Dubai” timbul sewaktu percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). – BERNAMA-9/1/2024

anwar-agong

Kenyataan PM bikin pembangkang gigit jari…

Apakah ayat “Cukup sudah semua, tunggu hari sahaja” boleh dimainkan lagi selepas ini oleh blok pembangkang yang didakwa nak tabuk atap kerajaan perpaduan?

Pada ketika wujud debaran penantian konon Yang Dipertuan Agong hendak interbiu seorang demi seorang lebih 120 Ahli Parlimen yang didakwa sudah buat surat akuan bersumpah…Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul dengan satu kenyataan ringkas.

Kenyataan pada lewat petang Selasa sudah tentunya boleh bikin mereka yang berkenaan gigit jari.

Ia ibarat paku di keranda pada isu Langkah Dubai yang hangat di gembar gembur kebelakangan ini.

Menerusi kenyataan itu Anwar beritahu Yang Dipertuan Agong bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

“Baginda juga bertitah supaya saya selaku Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk meneruskan kerja mengurus negara,”katanya.

Anwar menjelaskan beliau mengadap baginda untuk menyembah maklum urusan kertas-kertas kabinet esok (Rabu).

Selain itu baginda turut mengulas beberapa perkembangan semasa.

Perdana Menteri menyertakan gambar arkib beliau bersama Yang Dipertuan Agong.

Pada Ahad lalu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

“Cukup sudah (jumlah SD) semua, tunggu hari sahaja,” katanya ketika ditemui wartawan selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra di Kuala Nerang.

Blogger Raja Petra Kamaruddin menerusi saluran you tube dakwa blok pembangkang sudah serah senarai lebih 120 Ahli Parlimen kepada Istana Negara.

Dakwanya mereka sedang menanti Istana Negara panggil dalam masa terdekat seorang demi seorang Ahli Parlimen berkenaan mengadap.

Dakwanya Yang Dipertuan Agong hendak dengar sendiri pengakuan pendirian setiap Ahli parlimen berkenaan.

BERIKUT KENYATAAN PENUH PERDANA MENTERI

Kenyataan Media
Perdana Menteri
9 Januari 2024

Hari ini seperti kelazimannya saya menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas kabinet esok dan turut mengulas beberapa perkembangan semasa.

Baginda juga bertitah supaya saya selaku Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk meneruskan kerja mengurus negara.

Baginda juga bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

Saya juga menambah seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.

Daulat Tuanku!

ANWAR IBRAHIM

Foto: Arkib