PM anggap Teresa Kok cetuskan kontroversi yang tidak relevan mengenai isu sijil halal

Apa pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kontroversi mengenai isu sijil halal yang dicetuskan oleh kenyataan Ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh kerana dilihat mencampuri urusan agama Islam?
Perdana Menteri tanpa berselindung tidak bersetuju dengan cara Naib Pengerusi DAP dan bekas menteri itu kerana ia mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat.
Malah beliau menegaskan kenyataan Teresa Kok dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan dan ia tidak membantu menjernihkan keadaan.
Bercakap kepada wartawan ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) pada Ahad beliau berkata,”Tak payah jadi begini kerana ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita.
“Ada masalah… peraturan perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was. Namun kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara elok.”
Anwar juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.
Teresa Kok mengundangan kemarahan kalangan pimpinan Islam bila berkata cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Ahli Parlimen kerajaan dari DAP itu berkata, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Menurut Teresa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela dan membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran.
Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, Khamis lalu yang memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Kenyataan Teresa bagaimanapun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, Teresa tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.
“Kalau dia mahu mewakili beberapa pihak, tidak mengapa… tetapi tidak perlu (buat kenyataan sedemikian secara terbuka) kerana ia tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.
“Kita kena jaga sentimen muslim dan bukan Islam. Cara dia (adalah) runding secara elok dahulu. Bukan tunjuk kehebatan masing-masing.
“Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil, penghargaan dunia baik, ekonomi naik (justeru) perlu apa perkara ini nak merosakkan (keharmonian dan kesejahteraan negara),” katanya.- 8/9/2024