
Kementerian Pertahanan rombak pelan antirasuah…segala proses tender dan perolehan akan disemak semula
“Rasuah, atau persepsi rasuah, dalam apa juga bentuk di MINDEF (Kementerian Pertahanan) ini harus berakhir! Tidak akan ada toleransi terhadap apa juga kecurangan. Bersedialah untuk kehilangan segalanya jika anda adalah penyebab sektor keselamatan kita dikompromi.
Ini ditegaskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang serentak beritahu pada tahun ini, pelan antirasuah MINDEF ini akan dirombak secara besar-besaran serta segala proses tender dan perolehan akan disemak semula dan perbaiki selari dengan amalan terbaik.
Dalam perutusan tahun baru ketika Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekarang sedang berdepan dengan pelbagai pendedahan dan dakwaan penyelewengan dalam perolehan tender…beliau mengajak seluruh warga MINDEF membersihkan segala bentuk ketirisan dan kecurangan.
“Seruan saya adalah untuk anda semua turut serta bersama-sama saya bagi membersihkan segala bentuk ketirisan dan kecurangan, walau siapa pun yang melakukannya. Rasuah adalah ancaman dari dalam yang akan menewaskan kita tanpa perlu ke medan peperangan sebenar,” katanya.
Khaled meningatkan, rasuah menafikan Malaysia daripada memiliki aset yang bermutu dan mengancam keselamatan anggota tentera.
“Rasuah menyebabkan pembaziran dan ketidakcekapan serta mengurangkan keberkesanan kita sebagai agensi pertahanan nasional yang utama. Ia merosakkan keperibadian anggota kita yang terdidik dengan disiplin.
“Rasuah adalah barah yang menyebabkan kita tidak mampu bersaing sebagai sebuah negara kuasa pertengahan dan kerana rasuah, berlaku ketirisan dan akhirnya kita tidak mampu memberikan yang terbaik kepada tanah air dan anggota kita,” katanya dalam perutusan itu di Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Khaled berkata, MINDEF akan terus memoden dan memperkasa kesiapsiagaan aset pertahanan negara, selaras dengan aspirasi pembangunan Angkatan Masa Hadapan.
Menurutnya beberapa aset pertahanan baharu dijangka akan diterima pada tahun ini dalam memperkuatkan dan memperkukuhkan lagi kedaulatan negara
“Antara aset yang besar bakal diterima adalah empat unit pesawat Fighter Lead-In Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT-LCA); tiga unit Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial
System (MALE-UAS) dan lima bot Fast Interceptor Craft (FIC).
“Pada tahun ini juga, kita akan mula melaksanakan perolehan aset -aset strategik baharu. Antaranya adalah Perolehan sistem Very Short Range Air Defence (VSHORAD); Perolehan sistem Short Range Air Defence (SHORAD); Perolehan Multi Role Support Ship (MRSS); dan Perolehan Medium Range Air Defence (MERAD),” katanya.
Khaled berkata, MINDEF juga akan memberi perhatian serius terhadap pembangunan industri pertahanan negara demi merealisasikan hasrat menjadikan negara ini memiliki keupayaan pertahanan tempatan serta kedaulatan teknologi pertahanan yang berdaya tahan dam sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.- 12/1/2026
Isu dakwaan seleweng perolehan tentera…Menteri Pertahanan bagi penjelasan Isnin
Ini bukan isu kecil .Ia melibatkan keselamatan dan pertahanan negara…juga maruah dan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia ( ATM).
Maka pelbagai persoalan berlegar dikalangan rakyat ekoran pendedahan demi pendedahan tentang dakwaan penyelewengan mengenai perolehan tender ATM.

Sudah lebih seminggu berlalu sejak aktivis masyarakat Badrul Hsham Shahrin atau dikenali sebagai ‘Chegu Bard’ ligat buat pendedahan tentang isu ini.
Chegu Bard mendakwa ini adalah pendedahan yang didokong oleh rakyat dan beliau mendapat maklumat mengenainya yang disalurkan oleh pelbagai pihak termasuk tukang jaga pintu.
Rakyat pertama kali dalam sejarah melihat seorang bekas Penglima Tentera Darat dibawa ke mahkamah untuk reman dengan berpakaian baju oren lokap SPRM serta bergari.
Juga timbul dakwaan mengenai ratusan ribu wang masuk akaun dan penemuan 23 jam Rolex disimpan di rumah isteri kedua dan sebagainya.
Siapa yang tak bimbang hal seperti ini termasuk dakwaan wujudnya kartel yang menguasainya segala penyelewengan ini.
Penyelewengan ini bukan sahaja menyebabkan kerajaan kerugian besar tetapi juga mendedahkan anggota tentera pada segala macam risiko kerana pembelian peralatan pertahanan yang kurang berkualiti dan tidak memenuhi speksifikasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzi beritahu media Jemaah Menteri telah diberikan penjelasan berhubung isu perolehan projek Tentera Darat melibatkan pegawai tertinggi ATM pada sesi Permukiman Kerajaan Madani 2026 pada Ahad.
Katanya satu kenyataan akan dikeluarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung perkembangan lanjut isu tersebut pada Isnin.
“Berkait dengan isu perolehan sebentar tadi ada dimaklumkan bahawa Menteri Pertahanan akan membuat kenyataan esok, katanya ringkas dalam sidang akhbar di KWSP Learning Campus di Bangi pada Ahad.
Program permukiman itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.
Turut hadir dalam pemukiman itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Kerajaan Perpaduan, kecuali Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.- 11/1/2026



