TAHUKAH ANDA

Kewajaran semak semula penetapan jumlah pengguna media sosial diteliti

Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran untuk menyemak semula penetapan jumlah pengguna bagi setiap platform media sosial di Malaysia yang dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)].

Bermula 1 Januari lepas, semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai 8 juta atau lebih pengguna di Malaysia dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen [ASP(C)] melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu diambil susulan isu terkini melibatkan Kecerdasan Buatan (AI) Grok yang menjana kandungan mudarat berunsur lucah membabitkan wanita dan kanak-kanak yang menyalahi undang-undang.

“Kita sedang dalam proses untuk menilai kerana yang sangat popular di Malaysia adalah TikTok, Facebook dan beberapa yang lain…X mungkin kurang, tidak terlalu popular tetapi memandangkan masalah Grok ini berlaku maka pihak kementerian dan MCMC melihat ada kewajaran untuk meneliti semula keputusan jumlah pengguna di Malaysia. Saya serahkan kepada MCMC untuk mengkaji apa had yang sesuai, apa tindakan yang perlu diambil.”

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Peringkat Lembah Pantai di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya pada Khamis.

Pada 15 Disember lepas, MCMC memaklumkan langkah penetapan jumlah pengguna itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.-16/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button