FOKUS

Perlembagaan Persekutuan, sejarah Malaysia diperkenal di semua universiti tahun ini

Pembelajaran Perlembagaan Persekutuan dan sejarah Malaysia akan diperkenal menerusi mata pelajaran umum di semua universiti termasuk swasta kepada seluruh pelajar tempatan mulai tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua bidang itu akan diajar dalam bahasa Melayu dan dimasukkan dalam kurikulum mata pelajaran umum yang sudah dirombak semula.

“Di peringkat pendidikan tinggi, kita tak wajib bahasa Melayu dan sejarah tapi mulai tahun ini kita akan perkenalkan mata pelajaran umum yang dirombak semula dan diajar dalam bahasa Melayu di seluruh universiti awam (UA) dan swasta bagi pelajar Malaysia.

“Isu Perlembagaan (Persekutuan), isu sejarah Malaysia itu dimasukkan dalam kurikulum, ia tidak terlalu menekan dan kita tetap mahu anak-anak dalam pelbagai bidang dan disiplin yang memerlukan tumpuan yang lebih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini, hari ini.

Hadir sama, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tidak wajar bagi seorang anak Malaysia tidak mengerti mengenai sejarah negara.

“Kalau mahu selamatkan negara ini, biarkan semua anak kita menguasai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan dan sejarah,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan universiti untuk membangunkan kawasan serta memberikan keutamaan kemudahan penginapan kepada mahasiswa mulai tahun ini.

Bagi tujuan itu, sebagai permulaan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diarah bekerjasama dengan universiti dikenal pasti untuk menyediakan 5,000 tempat penginapan tambahan kepada mahasiswa.

“Mahasiswa terus mengeluh kerana tempat penginapan sukar dicari, kalau ada di sekitar dan pinggir kota terlalu mahal, maka kita memberikan arahan kepada semua GLIC bekerjasama dengan universiti membangunkan kawasan dan kemudahan penginapan kepada mahasiswa kita.

“Pada tahun ini kita mulakan dengan universiti tertentu dengan sasaran menyediakan 5,000 tempat penginapan tambahan kepada mahasiswa,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan memahami kebimbangan yang timbul setiap tahun berhubung peluang kemasukan ke universiti susulan kekangan tempat bagi kursus pilihan, termasuk rungutan dalam kalangan pelajar kaum minoriti yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi berdepan kesukaran mendapatkan tawaran.

Beliau berkata, mengambil kira isu berkenaan, kerajaan mengarahkan universiti menambah 1,500 tempat bagi kursus pilihan utama, sekali gus menjadikan keseluruhan 3,000 tempat tambahan ditawarkan pada tahun ini.

Katanya, penambahan itu membabitkan kursus undang-undang, perakaunan, kewangan dan perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI), ekonomi, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, komunikasi, pengajian media, sains data, analitik data serta sains komputer.

Anwar berkata, bagi mengurangkan kebimbangan pelajar, keutamaan kemasukan terus diberikan kepada lepasan matrikulasi dan asasi, namun kerajaan turut memberi jaminan bahawa pelajar Tingkatan Enam dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak akan dipinggirkan.

“Bagi pelajar yang memperoleh PNGK 4.0, sedaya upaya universiti akan memberikan tempat, walaupun pilihan kursus tertakluk kepada keupayaan universiti,” tambahnya.-20/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button