Monday - 21, April 2025

Malaysia perlu lebih gigih jadi negara bebas rasuah

Share

Secara teorinya, Malaysia perlu meningkatkan skor sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk mencapai sasaran tangga 25 teratas dunia pada 2033.

Ini bermakna selepas negara itu mengekalkan skor dan kedudukan dalam penilaian pada 2024 seperti diumumkan pada 11 Februari, ia tidak ada pilihan kecuali konsisten melakukan penambahbaikan secara menyeluruh dan berterusan.

Di sinilah cabaran sebenar sekiranya negara itu mahu berada bersama kumpulan negara ‘bersih daripada ancaman rasuah’ yang kini diungguli Denmark, Finland dan Singapura.

Apatah lagi, penilaian CPI berdasarkan sembilan kaji selidik daripada pakar perniagaan dan negara, sekali gus boleh dikategorikan elit ekonomi serta politik antarabangsa. Ia bukan sekadar meningkatkan indeks, bahkan memastikan keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem tadbir urus telus dan berintegriti.

Untuk rekod, pelbagai penambahbaikan dilakukan kerajaan sudah membuahkan hasil seperti menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023, melancarkan Strategi Antirasuah Nasional 2024-2028 (NACS 2024-2028) dan Pasukan Petugas Khas CPI diterajui Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta meminda Akta Audit 1957 untuk memperkasa kuasa Ketua Audit Negara.

Bagaimanapun, masih banyak perlu disegerakan seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Akta Kebebasan Maklumat, Akta Pembiayaan Politik dan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

Sebahagian reformasi institusi dan undang-undang ini sebenarnya akan dibentangkan pada 2025, manakala yang lain pula akan dibawa kepada Kabinet atau masih dalam penelitian.

Penyelesaian segera terhadap isu ketelusan perolehan kerajaan, ketirisan dana awam dan reformasi Parlimen juga perlu menjadi keutamaan.

Ini bermakna bukan hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menggalas tanggungjawab itu, bahkan ia perlu merentasi kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil serta madani, selain tentunya setiap rakyat di negara ini.

Justeru, Malaysia tidak ada pilihan kecuali bergerak secara ‘rentak sedegam, langkah sepijak’ kerana peningkatan CPI bukan hanya membabitkan penambahbaikan dari aspek tatakelola dan tadbir urus kerajaan, malah berkait dengan aspek ekonomi negara.

Penekanan CPI kepada produktiviti dan daya saing ekonomi dengan melihat bagaimana kecekapan sistem ekonomi dan keupayaan entiti perniagaan untuk bersaing itu boleh menjadi faktor mempengaruhi syarikat luar untuk melabur di negara ini.

Pada masa sama, usaha membanteras rasuah perlu diperhebat melalui pemantauan ketat dalam sektor berisiko tinggi seperti perolehan awam, pembinaan infrastruktur dan pertahanan.

Kewujudan mekanisme audit lebih telus serta hukuman lebih berat terhadap pesalah rasuah perlu dipertimbang bagi memberi kesan pencegahan lebih berkesan. Ini termasuk memastikan tiada kompromi terhadap individu berkepentingan menyalahgunakan kuasa, tanpa mengira kedudukan atau latar belakang politik.

Kita juga mengingatkan kerajaan untuk memastikan tidak tersilap langkah dalam isu kritikal terutama membabitkan tatakelola kerana kita tidak mahu negara ‘naik membilang anak tangga, tetapi turun selangkah jejaklah ke bumi’.

Pada masa sama, kita mahu pembangkang turut melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang secara kritis, bukan hanya bermain politik hingga menjejaskan kestabilan negara.-16/2/2025

Read more

khabar terbaru