Institusi perbankan menyekat transaksi berjumlah RM399 juta sepanjang 2024, membabitkan aktiviti jenayah kewangan termasuk penipuan dan akaun keldai.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata kes penipuan secara phishing dan malware yang dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) turut menunjukkan penurunan sebanyak 60 peratus bagi sembilan bulan pertama 2024.
Phishing ialah kaedah penipuan bagi mendapatkan maklumat peribadi seperti perbankan orang lain melalui laman web palsu.
Manakala malware atau malicious software ialah kategori umum bagi virus, spyware, worm dan trojan house yang boleh mengganggu pengendalian komputer, mengumpul maklumat atau mendapat capaian kepada sistem rahsia seperti mencuri identiti serta log kekunci.
“Ia menunjukkan peraturan dan piawaian yang sedia ada ke atas institusi kewangan termasuk bagi pengesanan penipuan adalah berkesan dalam mengurangkan kes penipuan dan meningkatkan keselamatan perbankan dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Lim berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, berhubung jenayah akaun keldai yang masih berleluasa walaupun BNM menetapkan peraturan dan piawaian ke atas institusi kewangan bagi mengelakkan institusi terbabit disalah guna bagi jenayah kewangan.
Pada masa sama, Lim berkata Portal Fraud Kebangsaan (NFP) yang dilancarkan pada 2024 juga berjaya membekukan 34 peratus dana, berbanding purata bulanan sebelum pelaksanaan portal terbabit, sejak April hingga September 2024.
Beliau berkata NFP berperanan dalam mengukuhkan penguatkuasaan keupayaan dalam membekukan dana berkaitan jenayah kewangan.
Katanya, perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa 95 peratus daripada kes penipuan kewangan di Malaysia terjadi akibat mangsa secara sukarela melakukan dan meluluskan transaksi pembayaran.
“Contohnya ia membabitkan kes penipuan cinta dan penipuan pelaburan yang tidak wujud. Jadi dalam kes penipuan dengan kebenaran (authorised fraud) ini, pembayaran ganti rugi dengan sewenang-wenangnya boleh membawa kepada bahaya moral.
“Berikutan corak penipuan dengan kebenaran membabitkan transaksi tulen, institusi kewangan menghadapi cabaran untuk mengatasi dan menyekat tanpa menimbulkan risiko yang mengganggu gugat kelancaran fungsi sistem pembayaran,” katanya.
Beliau berkata tindakan kawal selia dan penguatkuasaan boleh diambil terhadap bank termasuk pendakwaan, denda, penalti pentadbiran mahupun surat amaran sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap peraturan terutama yang mengakibatkan kes penipuan berlaku.-17/2/2025