polis-pdrm

Dewan Rakyat lulus RUU Polis (Pindaan) 2024…

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Polis (Pindaan) 2024, antara lain melantik Yang di-Pertuan Agong sebagai Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 16 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah ketika menggulung perbahasan RUU itu hari ini berkata pelantikan Yang di-Pertuan Agong sebagai Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM melibatkan pindaan terhadap Fasal 2 Akta Polis 1967 (Akta 344) dengan memasukkan seksyen baharu 6A.

Beliau berkata pindaan itu dibuat bagi memberi perkhidmatan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal adat istiadat PDRM selain mengiktiraf kedudukan sebagai ketua agama negara di bawah Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan penganugerahan pangkat Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM kepada Yang di-Pertuan Agong telah diperkenan dalam Majlis Mesyuarat Raja-Raja ke-265 yang berlangsung pada 21 dan 22 Feb 2024 di Istana Negara,” katanya.

Mengulas mengenai Statut Rom, beliau berkata tidak timbul isu Yang di-Pertuan Agong dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas kes yang berkaitan memandangkan kuasa perintah dan kawalan pasukan polis seperti diperuntukkan di dalam Akta 344 adalah di bawah kuasa Ketua Polis Negara.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata pindaan akta itu juga melibatkan Fasal 3 bagi meminda Seksyen 17 iaitu menaikkan denda maksimum daripada RM100 kepada RM5,000 bagi kesalahan berkaitan pegawai polis yang telah terhenti tugasnya tetapi tidak memulangkan kelengkapan keanggotaan seperti senjata, amunisi dan lain-lain.

Beliau berkata pindaan tersebut hanya terpakai kepada pegawai dan anggota polis yang bersara wajib atau berhenti daripada perkhidmatan sahaja.

“Sejak 1967, peruntukan denda di bawah seksyen ini tidak pernah dipinda. Kadar denda ditingkatkan daripada RM100 kepada RM5,000 adalah bersesuaian dengan peredaran masa walaupun statistik menunjukkan belum ada kes direkodkan sebagaimana kesalahan berkenaan, peningkatan perkara ini adalah satu kaedah pencegahan daripada perkara ini berlaku,” katanya.

Terdahulu, bacaan kali pertama pindaan itu dibentang di Dewan Rakyat oleh Shamsul Anuar Nasarah pada Isnin sebelum bacaan kali kedua semalam.-BERNAMA- 21/3/2024

saifulw12

Akhirnya…MP Tasek Gelugor Wan Saiful sebut nama dua MP yang didakwa pujuknya untuk ‘lompat’

Ingat balik…pada 28 Februari lalu, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Parti Bersatu kawasan Tasek Gelugor,Pulau Pinang Datuk Wan Saiful Wan Jan membuat dakwaan dalam perbahasannya di Dewan Rakyat beliau ditawarkan macam macam ganjaran untuk ‘lompat’ menyokong Perdana Menteri.

Dakwaan itu telah mencetuskan kekecohan akibat pertengkaran antara Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan hingga kemudian pihak SPRM meminta beliau tampil beri keterangan yang lengkap apa yang didakwanya.

Kekecohan dalam sidang Dewan Rakyat itu telah beberapa kali menganggu ucapan beliau ketika membahaskan titah Yang di Pertuan Agong menyebabkan Ahli Parlimen itu tidak dapat menyampaikan dakwaan itu sepenuhnya.

Dalam pada itu sehingga sekarang Wan Saiful belum lagi pergi beri keterangan kepada SPRM sekalipun sudah diundang berbuat demikian.

Beliau mengelak dengan membangkitkan soal kekebalan Ahli Parlimen dalam membuat sebarang kenyataan di Dewan Rakyat.

Hari ini Khamis 21 Mac Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu tampil ‘sambung cerita’ dalam sidang Dewan Rakyat dimana beliau menyebut nama orang yang didakwanya menjadi ‘ejen’ yang berusaha memujuknya untuk alih sokongan.

Beliau dakwa mereka yang berkenaan ialah Ahli Parlimen PN dari parti Bersatu kawasan Gua Musang,Kelantan Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen PN Tanjong Karang,juga dari Bersatu Dr Zulkafperi Hanapi.

Kedua Ahli Parlimen berkenaan adalah sebahagian dari enam orang Ahli Parlimen PN dari Bersatu yang sudah ‘ lompat’ isytihar sokong Perdana Menteri tanpa keluar dari parti baru baru ini.

Empat yang lain ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Serentak dengan itu Wan Saiful turut menggesa Speaker Dewan Rakyat menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas bagi mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya ingin mencadangkan Yang di-Pertua supaya Dewan Rakyat ini membuat satu ketetapan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas mengambil tindakan berdasarkan peraturan 80 (A) yang dibaca bersama Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) bagi mengenal pasti, membicara, memutuskan menghukum beberapa individu yang membuat penawaran bagi mempengaruhi kelakuan saya dalam dewan ini,” katanya.

“Ini adalah usaha kacau ganggu, penawaran dan tindakan yang berbaur ancaman yang salah untuk mempengaruhi kelakuan saya sebagai seorang ahli parlimen.

“Berdasarkan butiran di atas tersebut telah berlaku kesalahan menghina majlis di bawah Seksyen 9 (d) dan Seksyen 9 (e) Akta Majlis Parlimen Keistimewaan dan Kuasa,” katanya.

Kata Wan Saiful, pada 17 Jan 2024, Mohd Azizi bersama dua individu yang dikenali sebagai ‘Datuk Azman’ dan ‘Hasnan’ berjumpa dalam usaha menyakinkan dia menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Antara tawaran yang dibuat ialah mengenai peruntukan parlimen, peruntukan projek RM2 juta, bayaran untuk kos perubatan isteri saya dan kos guaman untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah,” dakwanya.

Menurut Wan Saiful lagi, pada 26 Jan 2024 pula Dr Zulkafperi bersama seorang lagi individu dikenali ‘Datuk Rahim’ berjumpa dengannya.

“Ahli parlimen Tanjong Karang telah menghantar cadangan kepada saya ialah mengandungi ucapan yang mereka mahu saya ucapkan dalam parlimen pada 28 Februari semasa saya membahaskan titah Yang di Pertuan Agong ini.

“(Ini) usaha untuk mempengaruhi kelakuan saya,” dakwanya. – 21/3/2024

Dakwaan cuba disogok…apa game Wan Saiful ?

Sepatutnya jalan cerita isu ini mudah dan straightfoward saja.Namun kini ia jadi berbelit belit semacam hingga agak membingungkan.

Ketika ini ramai yang tertunggu tunggu untuk mendapat gambar lebih jelas apa sebenar kisahnya.

Dikira pada hari ini Sabtu,16 Mac sudah 18 hari berlalu sejak Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kawasan Tasek Gelugor,Pulau Pinang Datuk Wan Saiful Wan Jan bikin hangat sidang Dewan Rakyat dengan dakwaan beliau
cuba disogok untuk alih sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Soalnya kenapa hingga sekarang Wan Saiful yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) parti Bersatu masih belum pergi ke ibupejabat SPRM di Putrajaya untuk beri keterangan yang lengkap mengenai dakwaan itu.

Siapa saja yang dengar dakwaan yang beliau buat semasa ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari sudah tentu ada persepsi ia satu hal yang cukup serius.

Bunyinya macam wujud gerakan terancang ala-James Bond 007 untuk ‘beli’ kalangan Ahli Parlimen PN.

Beliau juga dakwa Perdana Menteri sebagai pemimpin korup.

Atas sebab itu tidak menghairankan bila sidang Dewan Rakyat ketika itu kecoh dengan pertengkaran antara Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.

Wan Saiful berkata, antara habuan yang ditawarkan adalah peruntukan Parlimen bagi kawasannya sebanyak RM1.7 juta.

Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu antara lain mendakwa menghadiri beberapa perjumpaan tertutup dengan individu-individu tertentu selepas mereka beberapa kali cuba menghubungi beliau melalui panggilan telefon.

“Dalam semua pertemuan, mesej yang ada adalah supaya saya mesti menyokong Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri dan sebagai balasan ada habuan yang akan diberikan kepada saya.

“Antara yang disebut kepada saya adalah peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta, sebahagian daripada itu adalah untuk operasi pusat khidmat.

“Peruntukan projek yang katanya boleh diagihkan kepada kroni-kroni saya. Mereka tahu saya susah sekarang ini dan isteri saya (mempunyai) kanser,” katanya.

Wan Saiful yang tidak mendedahkan nama-nama individu berkenaan, juga mendakwa mempunyai rekod berhubung perjumpaan-perjumpaan tersebut.

Situasi Dewan Rakyat bertambah panas apabila beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan bangkit mempersoalkan dakwaan Wan Saiful yang disifatkan sebagai sangkaan jahat.

Mereka menyifatkan dakwaan Wan Saiful sekadar menjaja khabar angin dan desaknya buat laporan kepada SPRM.

RSN Rayer (PH-Jelutong) yang menyifatkan dakwaan Wan Saiful itu sebagai satu tuduhan yang serius kata “kalau anak jantan, buat laporan kepada SPRM.”

Turut bangkit mempersoalkan dakwaan tersebut adalah Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), Ahli Parlime Kampar, Chong Zhemin (PH-Kampar) dan Mohammed Taufiq Johari (PH)-Sungai Petani.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) pula membidas tindakan Rayer yang mendakwa Wan Saiful cuba menimbulkan sangkaan jahat.

“Apa sangkaan jahat… kamu tak tahu ugutan kita kena. Jangan buat tak tahu.

“Kita dijanjikan peruntukan kalau sokong perdana menteri. Apa yang salah,” katanya.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengawal situasi berkenaan dengan mengarahkan Wan Saiful untuk menghentikan dakwaan yang dibuat olehnya itu.

Ingat balik tidak lama selepas itu Wan Saiful tulis dalam facebooknya “Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej dari pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuhi.”

Namun esoknya ketika ditemui wartawan ,Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menafikan pegawainya yang menghubungi Wan Saiful.

Azam Baki yang ditemui wartawan selepas satu majlis di Seremban telah beri tempoh sehingga hujung minggu ini kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu untuk tampil ke SPRM bagi membuat laporan berhubung dakwaan beliau disogok untuk menyokong Perdana Menteri.

Katanya sekiranya Wan Saiful tidak berbuat demikian, pihaknya akan mengambil satu tindakan terhadapnya namun tidak mendedahkan tindakan itu.

“Setakat sekarang yang saya rujuk kepada Ibu Pejabat SPRM dan pegawai saya, beliau (Wan Saiful) belum lagi datang ke SPRM untuk buat aduan atau laporan seperti mana yang beliau timbulkan di Dewan Rakyat.

“Jadi kita akan panggil beliau dalam tempoh minggu hadapan sekiranya dalam minggu ini beliau masih belum datang ke SPRM untuk buat laporan. Saya akan bagi arahan kepada pegawai saya untuk satu tindakan,” katanya.

Jelas Azam Baki, seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, Ahli Parlimen itu sepatutnya membuat laporan ke SPRM berikutan kenyataan itu mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan bukannya menunggu SPRM memanggilnya.

“Ini bukan masalah kami kena pergi cari beliau. Beliaulah kena datang ke pejabat SPRM atau mana-mana balai polis terdekat (buat aduan).

“Tak kanlah saya nak pergi jumpa beliau pula atau nak ambil beliau di rumah dan nak bawanya ke pejabat. Begitulah kaedah dan analoginya,” katanya.

Pada 5 Mac gara gara kontroversi ucapan perbahasan di Dewan Rakyat pada 28 Februari yang antara lain dakwa Perdana Menteri pemimpin korup,Wan Saiful nyaris kena gantung hadiri sidang selama enam bulan.

Ini setelah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik usul gantung hadiri sidang Dewan Rakyat enam bulan selepas Wan Saiful membuat pernyataannya semula di Dewan Rakyat termasuk memohon maaf atas kenyataannya pada minggu lalu.

Beliau yang diberi ruang memberi penjelasan sebelum usul itu dibacakan Zahid, turut mengakui kekhilafannya dan memohon maaf jika kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini juga menyentuh Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan menarik usul itu kemudiannya dipersetujui Speaker Dewan Rakyat sambil menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya ‘move on’.

“Ini bermaksud Yang Berhormat (Tasek Gelugor) sudah memohon maaf kepada Tambun (Anwar) dan menarik balik kenyataan itu. Yang Berhormat juga memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada Jumaat 15 Mac SPRM telah jemput Wan Saiful beri keterangan pada jam 3 petang di ibupejabatnya di Putrajaya.

Namun Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu tidak hadir.

Dilaporkan bahawa Wan Saiful tidak datang kerana dakwa tarikh yang ditetapkannya SPRM tidak sesuai,selain membangkitkan soal kekebalan Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

Keputusan wakil rakyat Bersatu itu diberitahu oleh peguamnya Chetan Jethwani menerusi surat bertarikh 14 Mac.

Jethwani dilaporkan berkata bahawa pihaknya menghantar surat tersebut sebagai jawapan kepada notis Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM (perintah hadir membantu siasatan).

“Dalam surat itu anak guam kami menegaskan keistimewaan parlimennya dan menjemput SPRM untuk mempertimbangkan semula kedudukannya memandangkan keistimewaan yang diberikan kepada ahli parlimen bawah undang-undang,” katanya.

Dia juga berkata telah mendapat surat balas daripada SPRM petang ini tetapi tidak mendedahkan kandungannya.

“Anak guam saya sedang menyemak perkara itu dan kami akan bertindak balas dengan sewajarnya.

“Anak guam kami sentiasa menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan SPRM, dengan syarat SPRM bertindak dalam batas undang-undang,” katanya.

Katanya Wan Saiful tidak dapat hadir hari ini kerana perlu ke Pulau Pinang untuk melaksanakan “tugas dan aktiviti rutin mingguan” yang dirancang lebih awal.

Wan Saiful akan berlepas hari ini dan hanya akan kembali ke Kuala Lumpur pada 17 Mac.

Tambahnya, Wan Saiful sedia mempertimbangkan untuk menghadiri ke pejabat SPRM pada minggu hadapan.

“Seperti yang telah dimaklumkan kepada pihak SPRM sebelum ini, anak guam kami sedia memberikan kerjasama sekiranya pihak SPRM dapat menunjukkan kenapa Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan Dan Kuasa) 1952 boleh dilanggar dalam kes ini sedangkan ucapan yang diberikan oleh anak guam kami adalah di Parlimen.

“Sekiranya persoalan-persoalan ini dapat ditangani oleh pihak SPRM, anak guam kami sedia mempertimbangkan untuk hadir pada minggu hadapan,” katanya lagi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini berkata menjadi tanggungjawab bagi mana-mana individu yang mendakwa ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang untuk tindakan selanjutnya.

Namun, Wan Saiful membangkitkan mengenai kekebalan anggota parlimen yang dijamin dalam Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Katanya, tiada mana-mana pihak boleh menyentuh perkara yang telah dimuktamadkan oleh speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Jethwani juga berkata tindakan SPRM itu mencampuri dan melangkaui bidang kuasa parlimen.

“Ia boleh dianggap sebagai tindakan yang menghina majlis serta mengugut ahli parlimen yang membuat apa-apa ucapan untuk kepentingan rakyat dan demokrasi berparlimen di Malaysia.

“Tindakan ini melangkaui dan melanggar prinsip pengasingan kuasa dan konsep demokrasi berparlimen di Malaysia yang mana ia membuka pintu kepada pegawai-pegawai penguatkuasa untuk menggunakan sebarang alasan bagi campur tangan atau mencabuli hak dan keistimewaan serta kekebalan ahli parlimen.

“Oleh itu, dengan hormatnya kami berpandangan wajarlah pihak SPRM menyelidik had bidang kuasa SPRM untuk membuat pemeriksaan terhadap ahli-ahli Parlimen yang bercakap dalam sidang Dewan Rakyat,” katanya.

Jethwani juga dalam surat itu memberitahu bahawa Wan Saiful akan memberi salinan surat itu kepada Johari kerana ia mempunyai kesan terhadap institusi parlimen.

“Kami merezabkan segala hak anak guam kami dan kami akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap pihak SPRM sekiranya perlu,” katanya.

Samada betul atau tidak dakwaan Wan Saiful memang mencuri perhatian.

Ini setelah enam orang Ahli Parlimen PN dari parti Bersatu ‘lompat’ umum sokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Dalam pada itu Syed Abu Hussin Hafiz mendakwa ada lebih 10 lagi ahli parlimen PN dari Bersatu yang akan berbuat demikian.

Kalau ikut cakap Wan Saiful masa buat dakwaan dalam sidang Dewan Rakyat beliau mempunyai bukti mengenai gerakan untuk tarik sokonganya.

Jangan lupa Wan Saiful juga ada kes di mahkamah.

Pada 25 Oktober 2023 beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM6 juta.

Bagaimanapun Ahli Parlimen yang berusia 48 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan.

Sebelum itu pada 21 Februari 2023, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Tandatanya dikalangan ramai pihak ialah kenapa beliau tidak segera mengadap SPRM untuk lapor segalanya seperti didakwanya dalam sidang Dewan Rakyat.

Apakah ini game yang ada strategi politik tertentu ? – 16/3/2024

samsuri-ANWARXX

Kerajaan tidak pernah ‘tahan’ peruntukan kepada negeri termasuk Terengganu – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan tidak pernah ‘menahan’ sebarang pemberian Persekutuan kepada mana-mana negeri termasuk Terengganu, malah agihan peruntukan ke negeri itu ditingkatkan tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, agihan peruntukan Belanja Pembangunan bagi Terengganu ditingkatkan kepada RM1.59 bilion tahun ini berbanding RM1.55 bilion pada 2023.

“Belanjawan pemberian Persekutuan kepada Terengganu di bawah Kerajaan Perpaduan lebih daripada kerajaan terdahulu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya Khamis.

Beliau berkata, tidak wujud istilah bahawa kerajaan pimpinannya bersifat zalim terhadap Terengganu memandangkan kerajaan telah melunaskan pemberian wang ihsan untuk negeri itu berdasarkan hasil petroleum tahun 2023, iaitu sebanyak RM786 juta.

“(Selain wang ihsan), bayaran pemberian Persekutuan kepada Terengganu pada 2022 ialah RM399 juta, 2023 kita tambah menjadi RM413.64 juta, dan 2024 ada tambahan lagi… (jadi) zalim macam mana?” katanya.

Perdana Menteri berkata, Terengganu mencatatkan jumlah rakyat miskin yang ramai, justeru kerajaan mengambil pendekatan menyalurkan terus peruntukan kepada mereka yang memerlukan (di negeri itu) tanpa melalui mana-mana Ahli Parlimen (MP).

“Belanja Pembangunan lebih daripada jumlah yang disebut wang ihsan itu, tetapi salurannya terus kepada projek rakyat.

“Kalau ada kecemasan atau yang mendesak, contoh hakisan di Tasik Kenyir, kita terus beri peruntukan untuk segerakan projek itu,” katanya.

Katanya beliau juga telah mengingatkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan peruntukan setiap kawasan tidak kira Pas atau Bersatu, harus diberikan kepada semua.

“Cuma kita tak bagi melalui ahli Parlimen, kita beri pada rakyat. Kita tumpu pada miskin, kalau miskin tegar, tak kira dia ahli parti mana, di kawasan mana, kita bantu tanpa pilihan sama ada kaum, agama, kawasan atau parti,” kata perdana menteri. – Bernama 21/3/2024

anwar-kk-ok

Ini pendirian PM mengenai isu jualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart…

Sejak meletupnya isu jualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart yang heboh kebelakangan ini ramai yang menunggu untuk dengar reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Para wartawan telah bersua dengannya semasa Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama Petugas Media di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya petang Rabu.

Anwar nampaknya jelas berpendirian mahu meredakan segara isu yang berlarutan sejak 13 Mac lalu bila tular dalam media sosial pasal stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway,Selangor.

“Pandangan saya jelas. Ada laporan, ada keterlanjuran, mesti ada tindakan segera. Kemudian keputusan ikut jalur hukum dan maju terus.

“Kenapa kita perlu terperangkap dalam isu yang berpanjangan. Ada laporan, ambil tindakan. Jangan ada penghinaan terhadap agama, apatah lagi Islam,” katanya.

Apapun Perdana Menteri menegaskan hukuman terhadap pihak terbabit tidak seharusnya berlebihan.

“Jangan kita terus dengan perbincangan ini seolah-olah ada malapetaka besar dalam negara ini. Ambil tindakan tegas, segera. Dan kita kemudian harus maju dalam lapangan yang nak kita terokai.

“Hukuman pun jangan hukuman yang melampau. Ada orang lakukan kesalahan sebagaimana kita juga lakukan kesalahan. Janganlah seolah-olah macam mendera orang lebih dari yang sepatutnya,” kata Anwar.

Mengenai ahli politik dalam kerajaan yang dilihat bertikam lidah mengenai perkara itu, beliau berkata kerajaan adalah demokratik dan percaya kepada kebebasan untuk bersuara secara kritis.

“Dalam kerangka badan politik yang bebas dan demokratik, tak boleh diikut sistem walak. Dalam parti yang mengekang pemikiran bebas, ia tidak mengizinkan. Kita membolehkan,” katanya.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang ditemui wartawan di Maktab Rendah Sains Mara Trolak di Slim River,Selasa juga mahu isu ini diselesaikan segara agar ia tidak disalah tafsir dan tidak ditunggangi oleh mereka yang berkepentingan.

Katanya isu tersebut memang dianggap melibatkan 3R (agama, kaum, dan raja-raja Melayu) justeru ia tidak boleh dipandang ringan sekalipun KK Mart sudah memohon maaf.

Pada masa sama, Presiden UMNO itu berkata, pihaknya meminta Dr Akmal Saleh selaku ketua sayap pemuda parti terbabit menyantuni perkara tersebut.

“Dan kita berharap pandangan Tuanku Yang di-Pertuan Agong kita jadikan sebagai asas,” katanya.- 20 /3/2024

sprm-penjawatxx

Disiasat ‘gotong royong’ makan rasuah…

Ini ibaratnya ‘gotong royong’ makan rasuah.Asalnya seramai 15 orang penjawat awam ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah lebih RM3 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara.

Namun 10 dari mereka telah ditahan reman dan lima lagi dibebaskan.

Perintah reman selama empat hari bermula 20 sehingga 23 Mac 2024 terhadap mereka dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.

Mereka berusia sekitar 30 hingga 50an telah ditahan bersama lima lagi individu ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan, petang Selasa.

Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan Op Samba 2.0 dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak Isnin minggu lalu.

Modus operandi sindiket ini termasuk menggunakan khidmat ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa untuk melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Sindiket ini juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Malah mereka dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.- 20/3/2024

adun-dap

ADUN tiga penggal kawasan Kuala Kubu Baharu,Selangor meninggal dunia…

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Kubu Baharu,Selangor Lee Kee Hiong meninggal dunia akibat kanser pagi Khamis.

Mendiang yang berusia 58 tahun sudah jadi ADUN kawasan itu selama tiga penggal.

Beliau mula menang kerusi itu pada pilihanraya 2013 selepas menewaskan calon MCA Ooi Hui Wen dengan majoriti 1,702-undi dan mempertahankan pada pilihanraya 2018 dengan majoriti 7,134 undi
dalam persaingan dengan calon MCA Wong Koon Mun.

Pada pilihanraya negeri 2023 Lee kalahkan calon Gerakan Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Mendiang dikatakan telah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.- 21/3/2024

rentang1xxx

KEMASKINI: Syarikat edar stokin tetera kalimah Allah dakwa lesen masih sah…MPBP cuma bagi notis 30 hari

KEMASKINI : Xin Jian Chang Sdn. Bhd yakni syarikat di Batu Pahat yang dikaitkan sebagai pengedar stoking tetera kalimah Allah menafikan lesen perniagaan mereka telah dibatalkan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP).

Syarikat berkenaan telah keluarkan satu kenyataan pada Khamis ekoran laporan media mengatakan MPBP telah batalkan lesennya.

Kenyataan itu menjelaskan mereka dijemput secara tidak rasmi untuk bertemu dengan Yang Dipertua MPBP, Ezahar Abu Sairin pada Rabu.

Pada waktu itu MPBP memberikan tempoh 30 hari bermula Rabu untuk mereka mengemukakan pernyataan bertulis sebelum keputusan dibuat.

“Semasa pertemuan tersebut, kami telah diberikan notis yang mendakwa kami kononnya tidak mematuhi syarat-syarat lesen perniagaan kami, khususnya berkaitan dengan aktiviti pembungkusan stoking.

“Dengan notis yang sama, MPBP memberi kami tempoh 30 hari dari 20 Mac untuk mengemukakan pernyataan bertulis sebelum sebarang keputusan dibuat berkenaan dengan lesen kami.

“Oleh itu, lesen perniagaan kami masih sah sehingga majlis mempertimbangkan pernyataan bertulis itu.

“Laporan media yang menyatakan bahawa lesen perniagaan kami telah dibatalkan adalah tidak tepat,” katanya.

MPBP menerusi facebook berkata mereka telah menyerahkan notis pembatalan lesen berkenaan kepada pengarah urusan syarikat terbabit Xin Jian Chang, Soh Hui San,

Mesyuarat tersebut berlangsung di Menara MPBP, Jalan Rugayah, semalam,Rabu.

“Kilang itu telah diserahkan notis di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Perdagangan, Perniagaan dan Perindustrian MPBP 2016,” kata MPBP.

Notis itu diserahkan di hadapan Yang Dipertua MPBP, Ezahar Abu Sairin, disaksikan ahli majlis yang lain.

Sebelum ini pengurusan Xin Jian Chang mengumumkan bahawa operasi mereka ditutup sehingga Ahad ini untuk memastikan keselamatan kakitangannya.

Syarikat terbabit telah mengunci pintunya dan turut mempamerkan sepanduk di pintu pagar kilang mereka untuk menyatakan kekesalan atas kejadian itu dan berjanji akan mengekalkan komitmennya untuk memelihara sensitiviti masyarakat berbilang agama.

Ia juga berjanji untuk mengekalkan keharmonian dan meningkatkan usaha kawalan kualiti.- 21/3/2024

Kilang edar stokin kalimah Allah tutup operasi dan pasang kain rentang mohon maaf…

Perhatian pada Rabu bertumpu ke kilang yang terbabit dengan kontroversi pengedaran stoking tertera kalimah Allah terletak di kawasan perindustrian Sri Gading di Batu Pahat.

Kilang berkenaan menutup operasinya bermula hari ini tanpa menyatakan bila ia akan kembali beroperasi.

Penutupan operasi itu dipercayai bertujuan meredakan keadaan dan melindungi keselamatan pekerja susulan tekanan serta desakan supaya membuat permohonan maaf terbuka atas tindakannya.

Selain itu kilang berkenaan gantung kain rentang di pagar utama yang tertera permohonan maaf kepada rakyat Malaysia.

“Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kejadian itu hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat”

Pada kain rentang itu pihak pengurusan turut menyenaraikan tiga perkara utama iaitu berjanji atas komitmen untuk sentiasa menjaga sensitiviti masyarakat berbilang agama, memelihara keharmonian dan meningkatkan usaha kawalan kualiti.

Suasana sekitar kilang yang terbabit dalam aktiviti bungkusan dan pengedaran itu didapati sepi tanpa aktiviti hari ini.

Semalam, polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan serbuan dan pemeriksaan sebelum menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kelima-lima stoking itu adalah yang dipulangkan tiga kedai KK Mart ketika kontroversi bermula.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya menerima sembilan laporan yang dibuat di daerah itu, setakat ini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan termasuk mengambil keterangan mereka yang terbabit mengendalikan operasi kilang terbabit.

“Kita dalam proses mengambil keterangan pemilik dan pekerja yang berurusan mendapat bekalan stoking berkenaan.

“Pagi ini kita buat tiga rakaman percakapan untuk melengkapkan siasatan berhubung kontroversi itu,” katanya.- 20/3/2024

ydp-ok

‘Saya bukan patong untuk disembah… – YDP Agong

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah bahawa Baginda memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Saya bukan patung untuk disembah atau dijadikan perhiasan dalam majlis atau dipaksa mengikut segala kata dan kehendak Menteri.

“Kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan saya memegang tampuk Ketua Negara. Apabila habis tempoh “bulan madu” ini…, saya akan mulakan cara pemerintahan saya yang sebenar,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2024 di Istana Negara, Selasa.

Berangkat sama, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka Baginda, bertitah pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada individu yang telah berjasa, mencurahkan khidmat bakti atau menyumbang kepada Wilayah Persekutuan.

“Saya sendiri telah meneliti setiap calon yang disediakan Jawatankuasa Pemilihan dan tahun ini saya membuat keputusan hanya 36 orang penerima sahaja benar-benar layak untuk dianugerahkan,” titah Seri Paduka Baginda.

nga-akmal2

Akmal tidak berganjak sekalipun ‘ditegur’ orang kuat DAP Nga Kor Ming

Sekalipun berdepan dengan ‘ teguran’ orang kuat DAP yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming…Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menegaskan, pihaknya tidak akan berganjak
dalam pendiriannya gesa umat Islam untuk terus memboikot KK Mart.

Malah tindakan memboikot itu akan lebih giat dilakukan apabila terdapat pihak yang menyokong supaya ia tidak dikenakan atas premis berkenaan.

Katanya, tindakan itu sebagai pengajaran keras kepada semua pihak yang dengan senang memperlekehkan isu agama dan bangsa.

“Kekal tenang dan teruskan memboikot! Lagi kuat kamu minta kawan kamu back up (sokong) untuk tidak diboikot, lagi kuat umat Islam akan boikot kamu!

“Teruskan memboikot, kita bagi pengajaran keras kepada semua pihak yang suka-suka nak memperlekehkan isu agama dan bangsa. Ini masa kita semua bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Akmal memberi amaran kepada Ketua Whip DAP Parlimen, Nga Kor Ming bahawa beliau tidak gentar dengan kenyataan pemimpin itu yang mendakwa, tindakannya mempertahankan kalimah Allah dengan memboikot KK Mart adalah hasutan.

“Jika kamu kata mempertahankan kalimah Allah ini dengan memboikot KK Mart adalah hasutan… bring it on bro.

“Sedikit pun tidak gentar,” katanya.

Akmal berkata, prinsip Umno adalah mempertahankan Islam, Bumiputera dan Raja Melayu.

“Prinsip ini tidak pernah berubah dari dulu kini dan insya-Allah selamanya. Itulah yang Pemuda UMNO pegang sampai mati,” katanya.

Dalam pada itu Pemuda Amanah senada dengan Pemuda Umno yang mahukan KK Mart menaikkan kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 cawangannya.

Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda berkata pihaknya setakat ini belum berpuas hati dengan penjelasan KK Mart berhubung penjualan stoking yang memaparkan kalimah Allah yang mencetuskan kontroversi.

“Pemuda Amanah tidak berpuas hati penjelasan KK Mart…sekarang KK Mart, selepas ini tak tahu lagi. Pemuda Amanah mahu tindakan yang lebih besar oleh KK Mart.

“Kami senada dengan Pemuda Umno yang kain rentang di 881 premis KK Mart bagi permohonan maaf adalah munasabah,” katanya dalam sidang media di Parlimen, Selasa.

Pada Isnin Nga yang juga Ketua Whip Parlimen DAP menggesa Akmal Nasir supaya berhenti menghasut sentimen perkauman dan agama berhubung kemelut stoking bercetak “Allah” yang ditemui di KK Mart.

Dia berkata reaksi Akmal adalah memudaratkan dan mungkin akan memberi kesan kepada Umno.

“Ketua Pemuda Umno Akmal dan netizen tidak seharusnya terus mencetuskan sentimen perkauman dan agama dengan sikap angkuh dan provokatif. Ini adalah tingkah laku yang berbahaya dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Sekiranya Akmal tidak mahu melihat Umno terus kehilangan sokongan rakyat, beliau mesti bermuhasabah diri terlebih dahulu, dengan rendah hati menerima nasihat ikhlas, atau beliau akan dikenang sebagai punca kekalahan Umno dalam pilihan raya,” kata Nga pada satu kenyataan.

Katanya, manipulasi sentimen perkauman dan agama yang digunakan Akmal adalah strategi lapuk yang tidak sesuai dengan usia mudanya dan era globalisasi pada hari ini.

Akmal dengan keras membidas KK Mart selepas kejadian stoking tertera perkataan “Allah” ditemui di kedai tersebut, menggesa boikot jika rantaian itu tidak menyiarkan sepanduk memohon maaf atas kejadian itu.

Ini walaupun rangkaian kedai serbaneka memohon maaf mengenai perkara itu di media sosial, mengatakan mereka telah terlepas pandang stoking yang dihantar kepada mereka daripada pembekal.

Bagi Nga, permohonan maaf KK Mart melalui saluran dalam talian dan notis yang disiarkan di cawangannya sepatutnya sudah memadai.

“KK Mart telah memohon maaf secara terbuka dan mengambil langkah untuk menamatkan kontrak pembekal stokin yang tertera perkataan “Allah,” justeru tidak perlu memburukkan lagi kesilapan mereka.

“Sebaliknya, kita harus memahami, menyokong antara satu sama lain dan bergerak maju ke hadapan dengan bersatu padu,” katanya.

Nga berkata reaksi negatif yang melampau terhadap isu boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing.

“Merendah diri membawa kebaikan, kesombongan mengundang kerugian.

“Saya harap Akmal selaku ketua Pemuda Umno memahami kebenaran yang tidak lapuk ini,” katanya.- 19/3/2024

Isu stokin kalimah Allah di KK Mart : Kita ajar kepada yang kurang ajar…

Pemuda Umno tidak dapat terima sekadar permohonan maaf penjualan stoking tertera kalimah Allah oleh KK Super Mart.

Sebaliknya ia akan membuat laporan polis dan menggesa pihak lain yang terkesan mengambil langkah sama.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata “buat dulu lepas tu minta maaf. Semudah itu sahaja. Kalau Starbucks kita boleh boikot sampai tutup, apatah lagi pasaraya ni.

“Hormat ini bukan hanya sekadar minta maaf, tetapi perlu tahu apa nilai dan sensitiviti orang lain. Kita ajar kepada yang kurang ajar,” tulisnya di Facebooknya.

“Ayuh semua rakyat Malaysia, kita tunjukkan kepada mereka yang kurang ajar ini, bahawa negara ini masih lagi ada orang yang boleh mengajar mereka yang kurang ajar,” tambahnya dalam sebuah klip video.

Rabu lalu, pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf susulan video tular penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Syarikat itu juga berkata pihak mereka sudah memberhentikan penjualan stoking tersebut dan meminta penjelasan lanjut daripada vendor yang membekalkan produk berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan sebelum ini berkata pihaknya tidak membuka kertas siasatan berhubung isu berkenaan kerana tidak menerima sebarang laporan.- 16/3/2024

ydp-tmj

Isu KK Mart: YDP Agong dan TMJ bersuara mahu tindakan tegas…

Isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di KK Mart masuk episod baru pada Selasa bila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut tampil bersuara.

Baginda berdua mahu tindakan tegas didambil dalam hal berkenaan.

Titah YDP Agong “Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah YDP Agong dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebook HRH Crown Prince of Johor…TMJ menegaskan isu berkenaan tidak boleh dipandang remeh kerana kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam.

Baginda mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap hal berkenaan.

“Saya memandang serius isu ini dan berharap perkara ini tidak mengganggu gugat keharmonian negara,” titah baginda.

Baginda pada masa sama berharap, isu yang menguris hati dan perasaan umat Islam itu tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

Setakat ini polis membuka dua kertas siasatan berhubung isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart Sunway.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sebanyak 42 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berkaitan isu terbabit.- 19/3/2024