Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 36 laporan berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai-kedai serbaneka KK Mart.
Satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan laporan bertarikh 14 Mac lalu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata walaupun permohonan maaf telah dikemukakan oleh pihak KK Mart dan vendor-vendor yang terlibat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan siasatan bagi menangani isu yang mencetuskan kegemparan serta kegusaran awam itu.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai isu berkenaan.
“KDN memandang serius isu ini dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan melaksanakan pemeriksaan di semua premis KK Mart di seluruh negara.
“Hasil pemeriksaan yang kita buat mendapati KK Mart telah menarik balik semua stoking berkenaan di semua cawangannya di seluruh negara,” katanya.
Shamsul berkata, siasatan lanjut dilaksanakan terhadap pengurusan dan vendor-vendor yang terlibat bagi memastikan stoking tersebut tidak lagi berada di pasaran dalam negara ini.
“Jika disabitkan kesalahan, pihak-pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kita sentiasa memantau supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” tegasnya.
Sementara itu dalam perkembangan isu berkaitan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi kata MCA sepatutnya menegur KK Mart, dan bukannya menjadi pembela membabi buta kepada kedai serbaneka itu.
Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, yang meminta Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh supaya tidak “memperbesar-besarkan” isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.
Menganggap Chong sebagai “memandai-mandai” bertindak mempertahankan KK Mart Mohd Puad berkata, isu tersebut bukannya tindakan yang semberono.
Sebaliknya, kata Mohd Puad, umat Islam rasa kecewa dan marah atas kejadian tersebut.
“Setiausaha Agung MCA cuba memandai-mandai jadi pembela kepada kedai serbaneka KK Super Mart.
“Ini bukan membesar besarkan isu. Ini soal agama. Ia menghina umat Islam. Umat Islam pelanggan utama KK Mart.
“Dakwaan Chong bahawa boikot terhadap KK Super Mart adalah membabi buta dan semborono menambah sakit hati pengguna umat Islam,” katanya dalam hantaran di Facebook, pada Isnin.
Semalam Chong dilaporkan berkata, Akmal tidak seharusnya membuat gesaan agar rangkaian kedai itu diboikot secara semberono.
“Saya juga ingatkan Ketua Pemuda Umno supaya tidak memperbesar-besarkan isu stoking KK Super Mart, dan jangan bermain taktik boikot membabi buta.
“Jika tidak, yang menjadi mangsa tetap negara kita sendiri,” kata Chong.
Mohd Puad juga bertanya, apa yang dimaksudkan Chong bahawa tindakan boikot itu menyebabkan negara menjadi mangsa.
“Mana lebih berat jika berlaku huru-hara berbanding boikot?
“Sekurang-kurangnya tidak ada kedai KK Super Mart dibakar seperti apa yang berlaku di negara lain jika sensitiviti agama tidak dijaga.
“Sepatutnya MCA menegur KK Mart dan bukannya jadi pembela membabi buta kepada KK Mart. Hormati kuasa pembeli umat Islam,” katanya.-18/3/2024
Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 26 Januari lalu untuk rawatan jangkitan dan untuk pemerhatian dibenarkan keluar pada jam 11.30 pagi Isnin.
Ini menjadikan beliau jalani rawatan di situ selama 53 hari.
Hal ini dimaklum oleh pejabat bekas Perdana Menteri itu menerusi satu kenyataan.- 18/3/2024
[GAMBAR SCOOP.MY] Bukan sehari atau dua tetapi lima hari dia hilang dari rumahnya yang terletak di pusat bandaraya Kuala Lumpur.
Bayangkan dalam usia 12 tahun merayau tidak tentu arah dan bermalam di beberapa surau sekitar 9 kilometer dari rumahnya…akhirnya ditemui selamat.
Kisah Siti Dhia Batrisyia cukup menegangkan walaupun ia berakhir dalam suasana amat melegakan.
Apa yang berlaku padanya boleh menimpa pada mana mana keluarga.
Mengenangkan beberapa kes ngeri melibatkan kanak kanak yang berlaku dari masa ke semasa kisah ini perlu dijadikan iktibar.
Siti Dhia ‘lari’ dari rumahnya di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng,tidak jauh dari Stadium Merdeka Kuala Lumpur petang Selasa lalu selepas berselisih faham dengan ibunya.
Dia ditemui selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai,Wangsa Maju pada jam 2.28 pagi Ahad.
Sebelum kejadian ibunya Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili telah menegur Siti Dhia selepas diberitahu oleh seorang guru dia tidak pergi sekolah sedangkan pagi itu lengkap berpakaian sukan.
Siti Dhia dakwa dia tidak ke sekolah kerana pergi beli hadiah sebagai kejutan untuk ibunya.
Dia merungut semua orang tidak percaya padanya dan dipercayai bimbang dimarahi oleh bapanya Mohd Chairil Anuar apabila diberitahu tidak ke sekolah oleh ibunya nanti.
Syarifah Rosfazila kata kemudian dia keluar sekejap untuk beli barang dapur dan sekembalinya ke rumah Siti Dhia sudah tiada.
Katanya dia mula bimbang bila anaknya itu tidak pulang menjelang buka puasa.
Dia juga pergi ke rumah jiran jiran dan kawan kawan kawan anaknya hingga ke sekolah tetapi tidak dapat sebarang khabar.
Menurutnya ini kali pertama anaknya berkelakuan begitu.
Semasa kehilangan Siti Dhia berlegar desas desus mungkin dia ikut seorang lelaki dewasa yang dikenalinya.
Walaupun berusia baru 12 tahun namun dia kelihatan lebih matang dari itu seperti berusia 15 tahun.
Serentak dengan itu kehilangan murid perempuan Sekolah Kebangsaan Pudu 1 itu mula tersebar di media dan facebook.
Setelah keluarganya melalui hari hari yang meresahkan mereka akhirnya mendapat khabar gembira pada awal pagi Ahad.
Siti Dhia ditemui selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai pada 2.28 pagi.
Penemuanya oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi dimaklumkan kepada keluarganya oleh Unit Rondaan Kawasan Rukun Tetangga Sri Rampai.
Setelah diserahkan kepada ibubapanya mereka langsung bawa Siti Dhia ke Hospital Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan kesihatan keatasnya.
Hasil pemeriksaan, doktor memaklumkan tiada sebarang perkara mencurigakan berlaku terhadap kanak kanak itu.
Menurut Siti Dhia sepanjang keluar rumah dia tidur di surau-surau di sekitar Ampang, Setiawangsa dan Taman Sri Rampai dengan bawa duit sebanyak RM25 sahaja.
Pada waktu itu lepas subuh, dia akan keluar surau dan berjalan di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya masa keluar dari rumah petang Selasa lalu dia terus keluar macam itu sahaja tanpa fikir dan rancang pun.
“Masa tu saya takut, saya buat benda baik (tidak pergi sekolah tapi pergi beli hadiah ulang tahun) tapi mama dan babah macam tak percaya.”
Apapun Siti Dhia akui kesilapannya.“Saya minta maaf sebab lari, janji saya tak buat lagi,’’ itu kata-kata yang diluahkan olehnya selepas kembali ke pangkuan keluarganya.- 17/3/2024
Isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart masih panas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut tampil bersuara.
Katanya “Perkara sensitif membabitkan umat Islam sukar untuk dimaafkan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.”
Beliau berkata, Allah adalah pencipta dan meletakkan Allah di kaki adalah satu penghinaan dan isu itu juga tidak boleh diremehkan.
Ditemui wartawan selepas satu majlis di Putrajaya Ahad beliau berkata terdapat pihak yang menyatakan jangan terlalu sensitif berkenaan isu itu, namun disebabkan kalimah Allah ia sesuatu yang sangat tinggi di mata umat Islam.
Menurut Dr Mohd Nai’im syarikat yang bertanggungjawab sudah menghantar permohonan maaf mereka atas apa yang terjadi dan kemaafan itu diharap tidak akan berulang lagi pada masa depan.
“syarikat terbabit serta pemborong perlu mengambil iktibar atas apa yang berlaku,”katanya.
Dr Mohd Na’im berkata, isu terbabit sangat sensitif dan perlu diberi ruang kepada umat Islam yang masih dalam keadaan marah, selain laporan polis turut dibuat.
“Saya sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memanggil pihak pengurusan KK Mart untuk berbincang dan jalankan siasatan.
“Beri kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan dan mengenal pasti punca sebenar dan diharap kepada pihak yang terbabit selepas minta maaf jangan ulang perkara sama termasuk membabitkan isu 3R,” katanya.
Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak KK Mart supaya menaikkan kain rentang memohon maaf di setiap 881 cawangan mereka dalam tempoh masa dua hari.
Beliau beri amaran kegagalan pihak berkenaan berbuat sedemikian, Pemuda UMNO tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas ke atas kedai rangkaian serbaneka tersebut.
“Sebelum ini tak dapat disiasat disebabkan tiada laporan polis, pada malam ini pemuda UMNO seluruh Malaysia telah digerakkan untuk buat laporan polis,” katanya menerusi hantaran di Facebook Ahad.
Sebelum ini, KK Mart tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah SWT di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
KK Mart dalam satu kenyataan berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.
“Kami kesal dan memandang serius akan perkara ini, untuk makluman, produk ini adalah konsainan daripada pihak vendor.
“Kami juga sudah berhubung dengan mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini,” katanya.- 17/3/2024
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak pasti berhubung data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit mencecah RM4.98 seperti yang dipaparkan oleh Google.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi pada Sabtu, Fahmi memaklumkan kadar terkini ringgit berbanding AS$1 ialah RM4.70.
“Tak pasti, jangan kongsi! Maklumat yang dipaparkan malam tadi tidak tepat. Hakikatnya kadar terkini ringgit berbanding AS$1 adalah RM4.70,” menurut hantaran itu.
Hari ini Bank Negara Malaysia (BNM) dengan tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran AS$/RM yang salah diterbitkan oleh Google semalam.
Menurut BNM, maklumat itu adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar.
Bank pusat itu menjelaskan bahawa pada 15 Mac 2024, kadar pertukaran AS$/RM berada di paras 4.7015 pada 9 pagi dan 4.7045 pada 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM. – 16 Mac, 2024
HAMBURG – Kerajaan akan membincangkan dengan terperinci dan mendapatkan pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan muktamad berhubung tawaran untuk Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah meminta maklumat daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak lain yang berkaitan.
“Kita kena lihat dulu secara terperinci. Lihat keseluruhannya sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya dalam sidang media pada akhir lawatan enam hari ke Jerman.
Anwar berkata, beliau juga telah meminta Kabinet membincangkan tawaran itu pada mesyuaratnya semalam dan keputusan mengenainya dijangka dibuat minggu depan.
“Kita tidak boleh tangguh keputusan,” tambahnya ketika diminta mengulas tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah temasya itu bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri tahun lepas.
CGF juga menawarkan suntikan dana 100 juta pound (RM602 juta) kepada Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah pada tahun 1998.
Victoria menarik diri kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal A$2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada A$7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).
Anwar berkata, beliau sedar terdapat pelbagai pandangan mengenai tawaran itu, namun ia perlu dilihat dari pelbagai sudut.
“Namun sepertimana kita tahu, sukan olahraga tak boleh dilihat daripada kepentingan ekonomi dan pelaburan sahaja. Kita nak bagi juga ruang, galakan dan dorongan kepada atlet olahragawan olahragawati untuk bersaing,” katanya.
“Umpamanya kalau kita terima tawaran ini, akan ada program untuk persediaan atlet,” katanya.
Bagaimanapun signifikan Sukan Komanwel itu sendiri juga perlu dilihat sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Apakah signifikannya, berapa belanja yang diperlukan. Walaupun ada ratusan juta yang disediakan oleh CGF, tapi kalau kita kena belanja sampai billion ringgit lagi, itu mungkin keupayaan kita terbatas,” tambah beliau.
Anwar berkata, kerajaan akan berbincang secara terbuka mengenai isu tawaran berkenaan dan menerima sebarang pandangan daripada semua pihak.
“Kita akan ambil kira semua pro dan kontra sebelum membuat keputusan,” tambah beliau. – 16 Mac, 2024
Datuk Anthony Kevin Morais yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara tidak dikenali ramai sehingga berlaku kes pembunuhan keatasnya.
Kes itu berlaku selepas dia dilaporkan hilang setelah keluar dari pangsapurinya di Jalan Dutamas,Kuala Lumpur untuk pergi ke tempat kerja di Putrajaya pada pagi 4 September 2015.
Dia berusia 55 tahun waktu kejadian.
5 September 2015…yakni esoknya kereta Proton Perdana miliknya ditemui dalam keadaan sudah dirosakkan dan hangus terbakar di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak.
Pada 16 September 2015…mayatnya ditemui dalam sebuah tong berisi konkrit di Jalan Subang 3, Taman Subang Mewah, USJ 1.
Pada 10 Julai 2020… Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas enam lelaki terbabit atas tuduhan membunuh Kevin Morais.
Kes ini menjadi super sensasi antara lain kerana salah seorang tertuduh cuba mengaitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat.
Najib telah menyifatkan dakwaan beliau menawarkan RM3.5 juta kepadanya untuk mengaku melakukan pembunuhan itu sebagai mengarut.
“Sebelum menuduh saya, OKT7 ( orang tertuduh dalam kes berkenaan) ini pernah menuduh adik kepada Kevin menawar RM2 juta kepadanya untuk mengaku membunuh Kevin.
“Sebulan sebelum itu, OKT7 turut mendakwa Dr Kunaseegaran yang turut didakwa dalam kes ini telah menawarkan RM1.5 juta bagi mengaku membunuh Kevin,”katanya.
Najib berkata, sebenarnya pertama kali nama beliau dikaitkan dengan pembunuhan Kevin Morais dibuat portal Sarawak Report yang mendakwa kononnya dia dibunuh kerana terbabit dalam penyiasatan kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad) ataupun SRC.
Beliau berkata, pada masa itu, beliau menganggap tohmahan Sarawak Report itu amat mengarut kerana ramai yang terbabit dalam siasatan untuk setiap kes.
Katanya, tidak logik bahawa Kevin Morais seorang yang dijadikan mangsa, tetapi ramai lagi yang menyiasat masih hidup, bukan?
“Untuk makluman orang ramai, pada akhir Mei lalu selepas PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14), Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull telah menafikan tanggapan umum bahawa pembunuhan Kevin mempunyai kaitan dengan kes dana RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd mahupun 1MDB.
“Ini secara sangat jelas telah mematahkan fitnah dan tohmahan Sarawak Report,”katanya.
Enam lelaki yang didapati bersalah bunuh Kevin Morais oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai 2020 dan dikenakan hukuman mati ialah bekas pakar patologi Dr R Kunaseegaran ,61, S Ravi Chandaran, 53, R Dinishwaran, 32, AK Thinesh Kumar, 31, M Vishwanath, 34 dan S Nimalan, 31.
Hari ini 14 Mac 2024…Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan sabitan terhadap Dr R Kunaseegaran dan lima lelaki lain dalam kes itu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail sebulat suara mengekalkan keputusan bersalah terhadap mereka.
Hadhariah berkata, pembelaan enam lelaki itu yang mendakwa tidak mengenali Morais, tidak mempunyai motif, dan mereka semua orang baik, hanyalah sesuatu yang difikirkan kemudian.
Hakim kanan itu juga memutuskan bahawa jenayah berkenaan sebagai luar biasa justeru enam lelaki terbabit patut dihukum mati.
Semasa membaca keputusan secara sebulat suara, Hadhariah berkata, mahkamah mendapati kejadian pembunuhan itu sebagai suatu yang dirancang dengan rapi.
Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin berkata, ia berdasarkan keadaan mayat Kevin semasa dijumpai, menunjukkan kekejaman enam lelaki itu.
“Mereka bukan sahaja membunuh mangsa, malah kereta Kevin dibakar dan barang miliknya dibuang.
“Oleh itu pada hemah kami, hukuman yang sepadan dengan kesalahan yang dilakukan semua lelaki itu ialah gantung sampai mati,” katanya.
Hadhariah berkata, kejadian bermula apabila, saksi pendakwaan ke-54 (pemandu, G Gunasekaran) bersama tertuduh ketiga hingga tujuh, mengekori Kevin yang memandu kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur.
Setibanya di lampu isyarat, beliau berkata, tertuduh ketujuh turun daripada kenderaan yang dipandu Gunasekaran selepas kereta mangsa dilanggar oleh sebuah lagi kereta Mitsubishi Triton, pada jam 7.38 pagi, 4 September 2015.
Bagaimanapun, kereta mangsa telah dijumpai terbakar 100 peratus di ladang kelapa sawit di Hutan Melintang, Perak.
“Di akhir kes pendakwaan hakim mahkamah tinggi menilai, bahawa semua lelaki itu kecuali perayu pertama, dilihat kali terakhir berada bersama mangsa, maka mereka mempunyai peluang untuk mengenakan timbalan pendakwa raya itu.
“Berdasarkan hakim bicara sebab kematian Kevin ialah lemas kerana tidak boleh bernafas, yang mana ia boleh disimpulkan kesemua lelaki itu mempunyai niat bersama semasa melanggar, menculik dan membunuh mangsa,” katanya.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, berdasarkan dapatan pakar forensik kecederaan dan keadaan mayat mangsa ketika ditemui, menunjukkan kejadian itu tidak boleh dilakukan seorang suspek sahaja.
Berbeza dengan hujahan daripada pembelaan, beliau berkata, enam lelaki ini menyatakan mereka tidak mengenali mangsa, tiada niat atau motif untuk membunuh Kevin.
Beliau berkata, mahkamah mendapati semua isu itu tidak bermerit untuk dipertimbangkan dan pembelaan yang dibangkitkan semua lelaki ini adalah suatu yang difikirkan kemudian.
“Perayu pertama, Kunaseegaran didapati memang mempunyai motif (bunuh) dengan mangsa manakala lima lagi perayu, merupakan orang suruhannya.
“Setelah meneliti semua alasan penghakiman bicara, keterangan yang dikemukakan mahkamah ini, kami dapati hakim itu tidak melakukan apa-apa kekhilafan dari segi undang-undang atau fakta, maka sabitan hukuman yang dikenakan adalah betul,” katanya.
Beliau juga berkata, Kunaseegaran memiliki motif untuk membunuh Morais, manakala lima tertuduh lain bersubahat dalam jenayah tersebut.
“Pembunuhan itu dirancang dengan teliti. Mayat mangsa menunjukkan kekejaman dilakukan oleh semua tertuduh,” katanya.
Susulan itu beliau berkata, rayuan enam lelaki terhadap sabitan dan hukuman dalam kedua-dua rayuan, ditolak.
Katanya, sabitan dan hukuman oleh hakim Mahkamah Tinggi, dalam kedua-dua rayuan dikekalkan.
Seramai 84 saksi termasuk 14 saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 6 April 2016.
Keenam-enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang ketika itu membawa hukuman mati mandatori.
Kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori tahun lepas, menjadikannya hukuman pilihan bagi membunuh dan kesalahan tertentu yang lain.
Seorang lelaki lain, G Gunasekaran, pada mulanya didakwa bersama enam tertuduh terbabit sebelum mahkamah membenarkan pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan ke atasnya pada 20 Dis 2016.
Dia sebaliknya menghadapi pertuduhan alternatif iaitu mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan mayat Morais. Gunasekaran mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut.
Semasa menjalani hukuman penjara dua tahun atas sabitan berkenaan, Gunasekaran memberi keterangan bagi pihak pendakwaan terhadap enam lelaki terbabit.
Dia dibebaskan dari penjara pada Jan 2017.- 14/3/2024
“Mungkin ada pihak yang akan memilih untuk tidak percaya kepada kenyataan saya. Namun, saya tak boleh memaksa sesiapa untuk percaya.
“Saya cuma ingin menjelaskan situasi yang berlaku dan kenyataan rasmi daripada saya.”
Itu antara kata pelakon Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas atau lebih dikenali sebagai Ruhainies menerusi laman Instagram berhubung dakwaan terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Aliff Aziz di sebuah kondominium mewah di ibu negara Jumaat lalu.
Dalam penjelasan Khamis malam yakni hyampir seminggu selepas kejadian dia menafikan dakwaan khalwat dengan Aliff.
Bagaimanapun, Ruhanies mengakui kekhilafannya di sisi agama kerana berada dalam situasi yang boleh menimbulkan syak wasangka yang seharusnya dielakkan.
“Pada hari itu, saya baru selesai menjalani penggambaran dan konvoi bersama PA (Pembantu Peribadi) pulang ke rumah. Hari itu juga, adik-beradik memang merancang tidur di rumah.
“Jadi, kami rancang makan bersama adik-beradik dan beberapa rakan lain.
“Memandangkan Aliff baru selesai menjalani penggambaran, saya jemput untuk turut serta kerana dia juga mengenali keluarga serta adik-beradik saya sejak 10 tahun lalu.
“Aliff bersetuju sebab sudah lama tak berjumpa dengan mereka. Risteena ( kakak Ruhainies) maklumkan kepada saya, dia dalam perjalanan ke rumah, namun, tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.
“Jadi, saya buat keputusan untuk naik ke rumah dan letakkan barang keperluan shooting saya,” katanya.
Berkongsi lanjut, Ruhainies memberitahu, dia dan Aliff sempat berborak sementara menunggu dan tidak lama kemudian, pintu rumahnya diketuk.
“Saya ingatkan, itu kakak saya sebab dia cakap sudah nak sampai. Tapi, apabila mendengar suara lelaki, semestinya saya takut untuk membuka pintu atas faktor keselamatan.
“Kemudian, saya hubungi semula kakak supaya datang secepat mungkin dan periksa siapa di depan pintu. Apabila sampai, dia sahkan itu adalah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan polis.
“Dia maklumkan kepada mereka, dia memang sepatutnya sudah sampai dan berada bersama dalam rumah kerana berjanji untuk turut serta. Tapi, disebabkan kesesakan lalu lintas terpaksa ambil masa lebih lama memandangkan keesokan hari adalah hujung minggu,” tulisnya.
Tambah Ruhanies, kakaknya juga maklumkan bahawa Bella dan pihak media turut berada di depan pintu.
“Jadi, atas faktor keselamatan dan mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku, kakak minta saya tidak membuka pintu dahulu.
“Selepas berbincang dan ada budi bicara agar pihak berwajib sahaja yang ada di depan pintu, barulah saya buka.
“Selepas dijalankan pemeriksaan, tidak ada apa-apa berlaku. Tetapi, hanya mengikut prosedur yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, saya hanya perlu memberi keterangan sahaja.
“Selepas selesai, saya kembali ke rumah,” katanya.
Bagaimanapun, Ruhanies mengakui kekhilafannya di sisi agama kerana berada dalam situasi yang boleh menimbulkan syak wasangka yang seharusnya dielakkan.
“Siasatan dijalankan oleh JAWI dan saya berikan kepercayaan penuh terhadap mereka. Saya juga ingin berterima kasih kepada JAWI atas kerjasama, penjagaan penuh diberikan kepada saya ketika kejadian.
“Siasatan telus juga telah dibuat oleh JAWI.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa saya dan Aliff hanyalah kawan biasa dan bekerjasama dalam drama yang sedang kami bintangi.
“Aliff adalah rakan dan kenalan keluarga saya termasuk adik-beradik sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Justeru, Ruhainies memohon maaf kerana membiarkan perkara ini berlarutan tanpa kenyataan dan menyebabkan beberapa pihak memanipulasikan pelbagai fakta yang tidak benar dan tidak tepat.
“Saya sayangkan persahabatan saya dengan Bella dan berharap agar dia dan Aliff tidak akan berpisah.
“Saya juga bersedia untuk berbincang apabila Bella sudah bersedia.
“Saya berharap kenyataan saya ini tidak akan dijadikan bahan provokasi kerana saya tidak ada niat ke arah itu, sebaliknya bersedia menjernihkan keadaan antara kami bertiga.
“Mungkin ada pihak yang akan memilih untuk tidak percaya kepada kenyataan saya. Namun, saya tak boleh memaksa sesiapa untuk percaya.
“Saya cuma ingin menjelaskan situasi yang berlaku dan kenyataan rasmi daripada saya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di sini.
Sumber berkata, tangkapan dibuat JAWI berdasarkan maklumat orang awam. Menurutnya, pasangan selebriti yang sedang sibuk menjalani penggambaran drama, ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.
Renteten insiden itu, Aliff dan Ruhainies masing-masing dilapor berjanji memberi penjelasan lanjut berhubung kontroversi terbabit.
Sebelum ini, melalui hantaran Instagram Story (IGs), Aliff atau nama sebenar, Mohammad Aliff Aziz mendakwa laporan ditahan anggota penguat kuasa JAWI ditokok tambah dan terlalu banyak spekulasi berbanding cerita sebenar.
Bagaimanapun, Aliff dilapor mengaku dirinya faham tanggapan yang timbul disebabkan apa yang berlaku menimbulkan syak wasangka yang boleh mendatangkan fitnah.
Aliff juga dilapor menafikan penjelasan yang bakal dibuat sebagai cuba menegakkan benang basah.
Sementara itu, Ruhainies atau nama penuh, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, dalam reaksi balas dilapor menjelaskan hubungannya dengan Aliff sekadar rakan artis dan mereka sedang menjalani penggambaran drama.
Ruhainies mendakwa berkawan dengan Aliff sejak lebih 10 tahun lalu dan mereka sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Jerat. Ruhainies juga dilapor meminta semua pihak menghentikan spekulasi berhubung kejadian itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Bella memfailkan perceraian daripada Aliff di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada pada 11 Mac lalu.
Bella mohon cerai dari Aliff Aziz…
Bella Astillah, 29, isteri kepada pelakon dan penyanyi Aliff Aziz,33 yang didakwa terlibat kes khalwat dengan pelakon Ruhanies,32 telah memfailkan permohonan perceraian daripada suami di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Permohonan itu difailkan pada Isnin dan sebutan kali pertama berlangsung hari ini,Rabu.
Bella atau nama sebenar, Dayang Nabellah Awang Astillah, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 12.40 tengah hari ditemani ibu Zarinah Astillah dan adiknya, Didi Astillah bagaimanapun Aliff tidak kelihatan.
Bella yang sebelum ini pernah rujuk dengan Aliff beritahu wartawan diketika ditemui dia nekad untuk bercerai.
“Sebenarnya, saya fikir ini jalan terbaik untuk saya. Seperti mana semua tahu, kami pernah rujuk sebelum ini. Jadi, saya fikir, dengan memilih jalan masing-masing, ini mungkin yang terbaik untuk diri Aliff dan saya.
“Pada awalnya, dia bersetuju dan lagi-lagi pada Ramadan ini, saya mahu semuanya lancar…Itu sahaja,” katanya.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Bella, iaitu Azmi Mohd Rais berkata, Aliff tidak hadir atas urusan penggambaran dan prosiding diteruskan, bulan depan.
“Hari ini adalah sebutan pertama bagi kes tuntutan cerai dengan kebenaran mahkamah. Kami sudah failkan kes ini, kelmarin, iaitu perceraian secara ekspres sebab kami dapat berita sebelum ini Aliff bersetuju.
“Tetapi hari ini Alif cakap dia tidak bersedia kerana ada penggambaran. Jadi, saya sudah mohon tarikh sebutan seterusnya untuk menyempurnakan serahan saman secara kendiri dan berbincang untuk menyelesaikan kes secara baik,” katanya.
Sejak minggu lalu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies di sebuah kondominium mewah di ibu negara, Jumaat lalu.
Tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berdasarkan maklumat orang awam.- 13/3/2024
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad telah dirujuk ke jabatan kecemasan pada awal pagi Rabu kerana disyaki mengalami gejala renal colic ( batu karang).
Satu kenyataan kementerian itu beritahu menteri itu berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan.
Ia bagaimanapun tidak beritahu hospital mana Dzulkefly dirawat.
“Sama-sama kita doakan agar beliau diberikan kesihatan yang baik dan kembali pulih untuk bertugas,” kata kenyataan itu.
Renal colic adalah satu bentuk sakit pinggang yang teramat sangat daripada belakang hingga ke kemaluan dengan rasa mual dan muntah.-13/3/2024
Sempena lawatan ke Jerman,Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah adakan pertemuan dan perbincangan dengan komuniti Islam di Masjid Şehitlik, Berlin.
Dalam pertemuan itu mereka antara lain sempat membincangkan soal pembangunan umat Islam di Jerman serta situasi yang menimpa warga Palestin.
Mereka juga sependirian bahawa penderitaan warga Palestin ini mesti dihentikan serta-merta.
Perdana Menteri turut sampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di situ bagi kegunaan sempena bulan Ramadan selain menyerahkan 12 naskah Al-Quran cetakan khas dan terjemahan.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Duta Besar Türkiye ke Jerman, Ahmet Başar Şen serta delegasi Malaysia yang lain.- 13/3/2024