Sudah 47 hari Dr Mahathir jalani rawatan di IJN

Mungkin ramai yang tidak sedar hingga hari ini Selasa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah berada di Institut Jantung Negara (IJN) selama 47 hari menjalani rawatan akibat jangkitan dialami sejak Januari lalu.

Beliau dimasukan ke IJN pada 26 Januari.

Dalam satu kenyataan pada Isnin malam Dr Mahathir memaklumkan beliau kini masih menjalani rawatan di IJN.

Bagaimanapun katanya, tahap kesihatannya semakin pulih berkat doa yang diberikan serta usaha gigih para doktor, jururawat, serta staff di IJN.

“Saya harap dalam masa terdekat dapatlah saya pulih semula seperti biasa dan dibenar pulang ke rumah.

“Setakat ini adakala saya dibenarkan pulang sekejap atau home leave oleh pakar di sini, tapi tetap perlu bermalam di IJN,” katanya.

Beliau dan isteri, Siti Hasmah Mohd Ali turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut bulan Ramadan kepada semua umat Islam.

“Alhamdulillah dapat kita bertemu dan diberi peluang melakukan ibadah dan amalan sempena bulan yang amat istimewa bagi umat Islam.

“Saya ingin ambil peluang ini untuk ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan saya serta Hasmah, dan kesejahteraan kami berdua.

“Selamat berpuasa. Saya berdoa semoga amal ibadat dan usaha kita di bulan yang istimewa ini akan dirahmati dan diberkati Allah SWT insya-Allah,” kata Mahathir yang menjadi perdana menteri Malaysia keempat dan ketujuh.

Pada 20 Feb lalu, pentaddir media sosial Mahathir menyangkal khabar angin mengatakan bekas perdana menteri berusia hampir 100 tahun itu sedang tenat dan berkongsi gambar dia sedang membaca akhbar dan menulis.

Mahathir dimasukkan ke IJN pada 26 Jan akibat jangkitan, menyebabkan perbicaraan kes saman fitnahnya terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada 13 Feb untuk ditangguhkan kepada 19 Julai.

Saman fitnah itu adalah berhubung kenyataan berhubung isu “kutty”.- 12/3/2024

fahmi-mediaxxx

Media: Harap harap begitu…

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Selasa beri jaminan ini di dalam Dewan Rakyat.

Ini sebagai menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memintanya memberi jaminan bahawa Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancar pada 20 Februari lalu tidak akan mengekang pemberita atau sebarang laporan berbentuk pembongkaran skandal.

“Saya beri jaminan, Alhamdulillah sejak saya memegang portfolio ini, tidak ada seorang pun wartawan yang ditangkap, diheret ke mahkamah atau disoalsiasat setakat ini kerana membuat pelaporan atau menerbitkan berita yang menceritakan mengenai skandal, tidak,” katanya.

Beliau berkata, kebebasan media itu menjadi teras utama yang bukan sahaja disokong tetapi dimakmurkan lagi kerajaan ketika ini.

Fahmi juga menjelaskan mengenai isu kad perakuan media.

“Maka, sekali lagi saya sebutkan, kad perakuan media tidak halang daripada membuat pelaporan, menulis berita.

“Clare Rewcastle-Brown (Editor Sarawak Report) tidak mempunyai kad perakuan media tapi beliau boleh menulis. Sesiapa sahaja di luar sana, boleh menulis,” katanya.

Tegasnya lagi, kad perakuan media bukan kad akreditasi sebaliknya dokumen untuk memudah cara kehadiran wartawan untuk menghadiri majlis rasmi kerajaan.

“Kad perakuan media bukan seperti ‘being called to the bar’ atau mendapat perakuan. Ia bukan akreditasi… bukan. Ia dokumen memudahcara kehadiran wartawan untuk datang ke acara rasmi khususnya bagi kerajaan,” katanya.

Pada 7 Mac lalu, tempoh sah laku Kad Perakuan Media (KPM) Jabatan Penerangan (JaPen) bagi pengamal media antarabangsa dinaikkan kepada dua tahun berkuat kuasa serta-merta.

Kemas kini tempoh sah laku itu antara penyelarasan dilaksanakan JaPen berbanding setahun bagi pengamal media antarabangsa warga tempatan.

Bagi pengamal media antarabangsa bukan rakyat Malaysia dan dalam lawatan jangka panjang pula, tempoh sah laku KPM ditetapkan setahun.

Sementara itu, bagi pengamal media rasmi kerajaan, media tempatan termasuk media dalam talian, tempoh sah laku KPM adalah dua tahun.

Bagaimanapun, tempoh sah laku KPM bagi pengamal media yang mempunyai kontrak secara tahunan dengan organisasi media, ditetapkan selama setahun.

“Selain itu, pengamal media dalam talian yang baru mendaftar dengan JaPen, tempoh sah laku KPM ditetapkan selama enam bulan,” katanya.– 12 Mac, 2024

puasa-yes

90,000 tan makanan ‘masuk longkang’ sepanjang Ramadhan tahun lalu

Isu pembaziran makanan semasa bulan Ramadhan bukanlah satu cerita baru.Sudah berkali kali teguran mengenainya dibuat.Namun ia terus menerus berlaku seolah tiada titik noktah dalam bab ini.

Sempena Ramadhan kali ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang tampil untuk mewujudkan kesedaran mengenainya.

Bayangkan bukan sedikit jumlahnya yang ‘masuk longkang’.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader memberitahu sepanjang Ramadhan tahun lalu sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara.

Dalam pada itu,katanya kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata pada bulan-bulan lain.

Menerusi satu kenyataan Mohideen Mohideen juga nasihat orangramai supaya mengelakkan berbuka puasa di hotel sebaliknya memilih di rumah atau di masjid.

“Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadan ini lebih bermakna dan mengayakan lagi kerohanian. Elakkan daripada berbuka puasa di hotel sebaliknya di rumah dan masjid dengan ahli keluarga serta rakan-rakan.

“Jemputlah jiran bukan Islam anda untuk berbuka puasa bersama. Dengan cara ini, kita dapat membina hubungan baik dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau mengingatkan Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat bagi umat Islam tetapi bagi sesetengah orang, ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan.

“Islam menyuruh umatnya untuk mengelakkan bersikap rakus, membazir dan boros. CAP menggesa orang ramai tidak membazirkan makanan ketika Ramadan kerana kajian menunjukkan, berlaku peningkatan peratusan dalam pembaziran makanan ketika Ramadan.

“Ada sesetengah orang makan dan minum begitu banyak sehingga menjadi malas dan mengabaikan untuk melakukan kewajipan solat mereka,” katanya.

Tambah Mohideen, kerakusan atau bersikap lahap juga boleh memberi kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi.

“Berbuka puasa secara tradisinya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dalam suasana kerohanian. Bagaimanapun, ia telah bertukar kepada pesta makanan dengan lebih 100 jenis hidangan di hotel dan restoran.

“Membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan dan generasi masa depan.

“Perbuatan itu juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai dengan melepaskan karbon dioksida yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global,” ujar beliau lagi.

Mohideen berkata, salah satu tujuan berpuasa ialah menahan kelaparan seperti yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir.

“Ia akan mengajar kita untuk insaf dan simpati kepada mereka yang miskin dan tidak mempunyai makanan. Kini lebih dua juta rakyat Palestin menghadapi kebuluran, oleh itu, kita tidak sepatutnya membuang banyak makanan pada bulan yang suci ini.

“Golongan kaya seharusnya berkongsi kekayaan dengan mereka yang miskin dan memerlukan, bukannya bersikap rakus dan bermegah-megah dalam cara hidup. Gunakan kekayaan anda untuk membantu golongan miskin dan terpinggir keluar daripada kemiskinan serta penindasan dengan menyokong program-program amal jariah,” katanya.- 12/3/2024

hasan-k9

Siapa sebenarnya yang menekan demokrasi ?

Benarkah kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin dulu lebih bebas dan demokratik berbanding kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim yang didakwanya menekan kebebasan demokrasi?

Saya tidak berhasrat untuk mempertahankan rekod kerajaan Madani dalam soal kebebasan demokrasi.

Pun begitu izinkan saya untuk menyatakan satu fakta mengenai apa yang sesungguhnya berlaku semasa pemerintahan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Pada satu hari selepas Subuh saya berlepas dari Johor untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Sesampainya saya di bulatan Jalan Parlimen, pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang lengkap dengan senapang dan perisai menghalang saya masuk.

Saya dapati kemudian semua ahli parlimen juga disekat masuk, termasuklah Anwar Ibrahim – yang ketika itu menjadi Ahli Parlimen Port Dickson – serta dan Dr Mahathir Mohamad (Langkawi).

Kami diberitahu bahawa parlimen telah digantung dan perdana menteri kelapan – Muhyiddin Yassin – telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

Saya selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang yang telah dipilih oleh rakyat, tindakan Muhyiddin ketika itu adalah tidak demokratik dan menekan kebebasan parlimen.

Sebagai tanda bantahan terhadap tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin itu yang darurat dan menggantung parlimen, maka saya telah mencabar tindakan presiden Bersatu itu dan kerajaannya.

Saya telah memfailkan tindakan semakan kehakiman (judicial review) ke atas keputusan kerajaan PN mengisytiharkan darurat dan menggantung parlimen.

Saya memohon supaya Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengisytiharkan bahawa proklamasi darurat itu tidak sah.

Permohonan saya itu telah ditolak oleh mahkamah. Saya yang dilatih sebagai seorang peguam tidak mudah menyerah kalah.

Saya ingin membuktikan bahawa tindakan Muhyiddin yang antidemokrasi itu adalah salah.

Kalah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, saya kemudian merayu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Sekali lagi saya kalah.

Selepas itu saya teruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Kes tersebut kini masih berada di situ dan belum selesai.

Jadi apabila dalam Konvensyen Wakil-wakil Rakyat PN hari ini Muhyiddin menuduh kerajaan Madani pimpinan Anwar sebagai menekan kebebasan dan tidak demokratik, maka saya fikir ada moleknya pengerusi PN itu melihat rekod lampaunya sendiri.

HASSAN ABDUL KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang.9/3/2024

pn-mp1

Anwar kata terpulang kepada wakil rakyat BERSATU yang sokongnya nak kosongkan kerusi atau tidak

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu campur dalam krisis BERSATU dimana enam orang Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang sokong kerajaan pimpinan beliau dicabar mengosongkan kerusi mereka.

‘Kenapa tanya saya,” katanya ketika diminta ulas cabaran Muhyiddin pada mereka di Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional 2024.

Ditemui wartawan pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah Sabtu,Anwar soal itu terserah kepada
wakil rakyat BERSATU yang berkenaan.

“Dia (Muhyiddin) yang pakar pergi lompat dan ‘scheme of things’, itu dia patut jawab mengapa orang sudah hilang keyakinan kepada Bersatu,” katanya.

“Kepala parti lompat hendak cadang (pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu DUN), terpulang kepada Ahli Parlimen itu, kenapa tanya saya?.

Presiden BERSATU itu ketika berucap merasmikan Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional 2024 berkata langkah mengosongkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN itu berkata ia bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim selain Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Sementara ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Meskipun menyokong kepimpinan Amirudin, Rashid menyatakan beliau akan terus kekal sebagai ahli Bersatu. – 9 Mac, 2024

kpn1

Pejabat Peguam Negara kini penentu kes Haji Hadi…

Pejabat Peguam Negara (AGC) kini menjadi penentu kes kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menghina Raja Raja Melayu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada Jumaat mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung hal itu sudah dihantar kepada AGC.

Katanya polis sudah melengkapkan kertas siasatan dan kini menunggu arahan daripada AGC.

Selasa lalu, polis telah ambil masa sejam merakam kenyataan ahli Parlimen Marang itu.

Sebelum ini, Razarudin turut mengesahkan bahawa siasatan adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 berhubung kenyataan Haji Hadi yang disiarkan pada 20 Feb lalu.

Kenyataan HajiHadi itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan kesahihan 16 peruntukan jenayah syariah Kelantan.

Dalam tulisannya yang bertajuk “Ketinggian Islam wajib dipertahankan” itu, Haji Hadi memberi peringatan kepada semua umat Islam bertujuan supaya mereka menjaga akidah masing-masing.

Ini, katanya termasuk Raja-Raja Melayu yang mesti berwawasan akhirat.

Susulan itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertitah meminta semua pihak bertenang.

Baginda juga mengingatkan Haji Hadi supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.

Pada 29 Februrai lalu, dalam kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook Selangor Royal Office, baginda melahirkan rasa kecewa dan berkata teguran presiden PAS itu tidak beradab serta tidak sesuai dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan menjaga adab ketika menyuarakan pandangan dan menasihati raja-raja Melayu.

Haji Hadi kemudian mengutus warkah “menjunjung kasih” kepada Sultan Selangor sebelum disoal siasat polis pada Selasa (5 Mac).- 8/3/2024

FELDA-ltat

Kita perlu ‘stop the rot’ dalam Felda dan LTAT…- PM

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menghadapi rizab negatif berjumlah RM0.388 bilion pada 2022.

Dua kepincangan ini yang terkandong dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 telah mencuri perhatian ramai.

Kerajaan nampaknya tidak akan peluk tubuh menghadapi hal ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu FELDA dan LTAT menyerahkan laporan penuh berhubung kerugian itu dalam masa dua minggu susulan LKAN 2022 baru-baru ini.

Beliau ditemui selepas solat Jumaat di Surau Amaniah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya, berkata, notis mengenai perkara itu sudah diserahkan kepada agensi berkenaan.

“Kemudian Kabinet akan membincangkan perkara itu,” katanya.

“Walaupun perkara ini daripada (laporan) audit 2022, tetapi kita nak tentukan ada laporan lengkap supaya beberapa kelemahan diperbaiki dan ada apa-apa yang terlibat, yang agak kurang baik, terpaksa kita ambil tindakan,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu berkenaan, Perdana Menteri berkata, biarlah kerajaan meneliti terlebih dahulu laporan berkenaan.

“Kemudian beri peluang kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk mengemukakan penjelasan. Apa yang penting ialah kita perlu stop the rot (hentikan kerosakan), kekurangan dan kelemahan,” katanya. – 8 /3/2024

New Big Picture template

Nota amaran ditabur luar rumah ibubapa Menteri Nga Kor Ming

Pada awal pagi 10 Januari lalu kediaman Ahli Parlimen DAP kawasan Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar,Perak telah dilontar bom petrol.

Dalam kejadian itu kereta Mercedes E300 milik beliau terbakar kira-kira 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux terbakar 5 peratus serta bumbung anjung rumah.

Pada hari ini Khamis salinan nota bertulis tangan memberi amaran Menteri Perumahan dan Tempatan Nga Kor Ming telah ditabur diluar kediaman ibu bapanya di Ayer Tawar, Perak.

Nota berkenaan bertulis guna warna merah ” Nga Kor Ming jangan cabar Islam”.

Ibunya, yang menemui nota itu telah membuat laporan polis.

Nga yang juga Ahli Parlimen DAP kawasan Teluk Intan kini berada di Hong Kong atas urusan rasmi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya telah menerima laporan di mana pengadu iaitu ibu Kor Ming, berusia 76 tahun, menyatakan pada jam 7.30 pagi, semasa keluar dari rumah menemukan banyak kertas bertaburan di depan rumahnya.

Kertas itu tertera nota bertulis ‘Nga Kor Ming jangan cabar Islam’.

“Pengadu percaya perkataan tersebut mempunyai niat yang tidak baik.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama,” katanya dalam kenyataan. – 7/3/2024