New Big Picture template

Laungan azan iringi keberangkatan balik Sultan Abdullah, Tunku Azizah

Laungan azan yang syahdu bergema di Istana Negara pagi ini, mengiringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.

Azan yang dilaungkan oleh Pembantu Pegawai Agama di Istana Negara Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni itu menambahkan lagi sayu dan pilu warga Istana Negara, yang berkesempatan mengucapkan selamat berangkat kepada Al-Sutan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah buat kali terakhir.

Seri Paduka dan Tunku Azizah juga kelihatan sebak ketika azan berkumandang, sebelum menaiki kenderaan khas diraja.

Keberangkatan balik baginda berdua diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku menteri pengiring dan isteri, Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad.

Ketika meninggalkan Istana Negara, kenderaan khas yang membawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong melintasi Kawalan Kehormatan Darjat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Kem Wardieburn, Setapak, yang turut mempersembahkan “Hormat Diraja” di Dataran Istana Negara.

Seri Paduka berdua selepas itu berangkat ke Dataran Parlimen di sini untuk Istiadat Keberangkatan Balik bersempena dengan tamat tempoh pemerintahan sebelum menuju ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk menaiki pesawat pulang ke Pahang.

Al-Sultan Abdullah, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019 bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkenaan pada 6 Jan 2019.-30/1/2024

WAN-OK

KEMASKINI : Tun Dr Wan Junaidi angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan

TUN Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Isnin mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri kelapan pada Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Kuching.

Ketibaan Tun Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi disambut oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta Speaker DUN, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar.

Istiadat dimulakan dengan memeriksa Pasukan Kawalan Kehor­matan Utama oleh 102 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia diketuai oleh Deputi Superintendan Mohamad Zaini Ismail, seterusnya diikuti dengan Istiadat Angkat Sumpah Perlantikan di Dewan Lapau pada pukul 4 petang.

Wan Junaidi terlebih dahulu mengangkat sumpah sebelum menandatangani Surat Sumpah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Baca artikel lain: Wan Junaidi tiba di Kuching sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak baharu

Beliau kemudiannya menandatangani Surat Pengisytiharan sebagai Yang Dipertua Negeri disaksikan oleh Premier Sarawak.

Wan Junaidi, yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-78 pada 1 Februari ini telah menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Jumaat lepas di Istana Negara.

Pelantikan beliau mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 sehingga 26 Januari 2028, mengantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

— BERNAMA- 29/1/2024


BERITA SEBELUM INI : Wan Junaidi dilantik Yang Dipertua Negeri baru Sarawak ganti Taib Mahmud

Perlantikan ini tidak mengejutkan.Ini kerana ia sudah jadi bahan spekulasi sejak minggu lalu.

Lagipun orangnya dikira cukup layak memegang jawatan itu.

Ini berdasarkan latar belakang karier politiknya dan ciri ciri keperibadian beliau.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan berkuat kuasa hari ini,Jumaat

Wan Junaidi menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara di Kuala Lumpur.

Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Wan Junaidi, 77, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Jan 2024 hingga 26 Jan 2028.

Pelantikan Wan Junaidi adalah bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

Wan Junaidi antara paling lama jadi Ahli Parlimen.Beliau menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar dan kemudiannya Santubong selama 32 tahun.

Selain itu beliau pernah jadi Timbalan Menteri dan tiga jawatan Menteri .

Wan Junaidi tidak pernah terlibat dalam sebarang kontroversi politik.

Beliau tidak bertanding semula pada pilihanraya umum November 2022.

Dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya), Sarawak pada 1 Februari 1946, Wan Junaidi menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari tahun 1968 hingga 1973, dan dalam tempoh itu beliau juga pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom).

Beliau kemudiannya mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di University of Buckingham, England pada tahun 1978 sebelum menjadi pengamal undang-undang dari 1982 hingga 2008.

Permulaan perjalanannya sebagai seorang wakil rakyat bermula pada 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam Pilihan Raya Umum kelapan.

Beliau pertahankan kerusi itu selama dua penggal seterusnya, sebelum berpindah ke Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

Wan Junaidi berjaya mempertahankan kerusi parlimen itu untuk empat penggal berturut-turut sehingga pilihan raya umum pada 2022.

Di peringkat Persekutuan pula menyaksikan beliau dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari tahun 2008 hingga 2013.

Beliau memegang pelbagai portfolio penting seperti Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2015, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2015 hingga 2018) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2020 hingga 2021).

Sepanjang perkhidmatannya di peringkat Persekutuan, jawatan yang paling memberi impak dan meninggalkan legasi beliau adalah semasa dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada 2021 hingga 2022.

Tidak lama selepas tidak bertanding semula pilihanraya umum November 2022,beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara mengantikan tempat Tan Sri Rais Yatim.-26/1/2024

daim-garang2222

Nampak uzur tetapi kenyataan Daim ‘garang’

Walaupun kelihatan agak uzur waktu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi Isnin,Tun Daim Zainuddin tampil ‘garang’ menerusi kenyataan media yang dikeluarkan mengenai dakwaan tidak isytihar harta terhadapnya.

Bekas Menteri Kewangan itu yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan antara lain kata dalam kenyataan itu ,“Dalam usia yang lanjut, di mana saya tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan saya tetap tidak goyah. Saya tidak peduli sangat nasib saya, biarlah Anwar melemparkan segala-galanya terhadap saya.

Asalnya kenyataan itu cuba dibacakan Daim kepada para wartawan di luar mahkamah sebelum pulang setelah selesai didakwa.

Namun kerana suaranya tidak berdaya terlalu perlahan,isterinya Naimah telah bertindak hentikan.

Katannya beliau nak bawa Daim balik ke rumah.

Naimah kemudian serah kenyataan itu kepada peguamnya untuk diedarkan kepada para wartawan.

Sambil menyifatkan dakwaan terhadap dirinya itu bermotifkan politik Daim dalam kenyataan itu bertanya,“Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?”

Beliau mendakwa Malaysia kini dibayangi sebuah pentadbiran yang menyalahguna kuasa.

Kata Daim, pada tahun 2018, beliau turut menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika negara dihantui bayang-bayang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan sebaliknya.

“Demi mencapai jawatan Perdana Menteri, Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri itu digugurkan.

“Kejujuran, integriti, tadbir urus baik semuanya ke laut. Institusi bebas seperti SPRM, Peguam Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diperalatkan dengan mudah dalam mengejar musuh politik,”dakwanya.

Daim memetik firman Allah SWT dalam Surah an Nur dengan mengingatkan Anwar tentang balasan pedih di dunia dan akhirat mengenai fitnah keji dalam kalangan orang-orang mukmin.- 29/1/2024

daim1

Akaun ASN dan ASB antara 71 harta Daim didakwa tak isytihar…

Jangan ingat seorang billionaire yang hartanya melimpah ruah tidak ada simpanan dalam Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB).

Pemilikan simpanan dalam dua tabung amanah yang popular dikalangan rakyat Malaysia adalah diantara 71 harta yang didakwa tidak diisytihar oleh bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Namun jumlah simpanan dalam ASN dan ASB itu tidak disebut.

Beliau yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi Isnin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Daim,85 yang kelihatan uzur dan berkerusi roda tiba di mahkamah ditemani isteri Toh Puan Naimah Khalid serta anak.

Beliau hanya menjawab, “faham” dan “minta bicara” selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Daim yang memegang jawatan dari tahun 1984 hingga 1991 didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepadanya oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan harta.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.

Peguam bela bekas Menteri Kewangan itu M Puravalen beritahu Daim telah menjalani pembedahan di bahagian mata akibat jangkitan, mengalami masalah pendengaran berkaitan perubatan, dan strok ringan sejak beberapa tahun lalu.

Beliau merayu agar ikat jamin ditetapkan sebanyak RM250,000.

Peguam itu menegaskan Daim tidak berisiko melarikan diri memandangkan dia berkerusi roda dan menghadapi pelbagai masalah kesihatan.

Azura kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM280,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia, namun tidak mengenakan syarat tambahan seperti menyerahkan pasport dan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM.

Hakim kemudian menasihatkan pihak-pihak terlibat supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mungkin menjadi subjudis kepada kes jenayah yang sedang berjalan, serta menetapkan 22 Mac untuk sebutan kes.

BERIKUT ADALAH HARTA DAIM

BANK AKAUN

  1. Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) (No Ahli: 000005940980)

KENDERAAN

  1. Mercedes Benz 600 SEL (No. Pendaftaran: KV8989)
  2. Jaguar XJS HE (No. Pendaftaran: MP11)
  3. Mercedes Benz 450SEL (No. Pendaftaran: WU11)
  4. Mercedes Benz 450 SLC (No. Pendaftaran: KL11)
  5. Rolls Royce Royce 2 Axle Rigid Body (No. Pendaftaran: WY11) 6. Austin Morris Austin (No. Pendaftaran: BG9290)
  6. Austin Morris Austin (No. Pendaftaran: BG9290)
  7. Ford Prefect (No. Pendaftaran: KX988)

SYARIKAT

  1. Ibu Kota Developments Sdn Bhd (No. Syarikat: 6054-A)
  2. Maya Seni Holdings Sdn Bhd (No. Syarikat: 165408-K)
  3. Menara Ampang Sdn Bhd (No. Syarikat: 99711-P)
  4. Dream Cruiser Sdn Bhd (No. Syarikat: 604345-X)
  5. Landbelt Corporation Sdn Bhd (No. Syarikat: 392821-H)
  6. Kenari Teliti Sdn Bhd (No. Syarikat: 506999-U)
  7. Fnq Advanced Materials Sdn Bhd (No. Syarikat: 925087-T)
  8. Kota Tandop Development Sendirian Berhad (No. Syarikat: 975462-U)
  9. Alun-Alun Resort (M) Sdn Bhd (No. Syarikat: 220337-T)
  10. Dasar Seroja Sdn Bhd (No. Syarikat: 539533-K)
  11. Gigantic Promotions Sdn Bhd (No. Syarikat: 687985-X)
  12. Jupiter Alliance Sdn Bhd (No. Syarikat: 403150-D)
  13. Inayat Realty Sdn Bhd (No. Syarikat: 165082-X)
  14. Suasa Urus Sdn Bhd (No. Syarikat: 208069-M)
  15. Avillion Berhad (No. Syarikat: 244521-A)
  16. Meridian Haven Sdn Bhd (No. Syarikat: 910242-V)
  17. Avillion Vista Hotel Sdn Bhd (No. Syarikat: 671941-D)
  18. Vast Access Sdn Bhd (No. Syarikat: 713641-A)
  19. Fortune Valley Sdn Bhd (No. Syarikat: 225318-V)
  20. Reliance E-Com Sdn Bhd (No. Syarikat: 506259-D)
  21. Admiral Marina Berhad (No. Syarikat: 117203-D)
  22. Golden Envoy (M) Sdn Bhd (No. Syarikat: 311284-T)
  23. Mela Lifestyle Sdn Bhd (No. Syarikat: 671940-V)
  24. AVI SPA Sdn Bhd (No. Syarikat: 638454-D)
  25. Avillion Hotel Group Sdn Bhd (No. Syarikat: 302950-V)
  26. RPB Capital Holdings Sdn Bhd (No. Syarikat: 430774-H)
  27. Genius Field Sdn Bhd (No. Syarikat: 641309-M)
  28. Festive Place Sdn Bhd (No. Syarikat: 675416-X)
  29. Avillion Suite Hotel (PD) Sdn Bhd (No. Syarikat: 624724-T)
  30. Taman Unik Sdn Bhd (No. Syarikat: 818314-H)
  31. Admiral Cove Development Sdn Bhd (No. Syarikat: 265421-P)
  32. Nesline Sdn Bhd (No. Syarikat: 572449-K)
  33. RPB Development Sdn Bhd (No. Syarikat: 192993-X)
  34. OS Resources Sdn Bhd (No. Syarikat: 480977-H)
  35. Avillion Hotel (Kl) Sdn Bhd (No. Syarikat: 638456-P)
  36. Avillion Hotels International Sdn Bhd (No. Syarikat: 302949-A)
  37. Admiral Hill Hotel Sdn Bhd (No. Syarikat: 287200-T)
  38. Reliance Shipping & Travel Agencies (Perak) Sdn Berhad (No. Syarikat: 74671-W)

HARTANAH / TANAH DI BAWAH SYARIKAT

  1. No. Hak Milik 79053, Lot 265, Seksyen 89, No. 325 Ritchie Condo, 55000 Kuala Lumpur
  2. No. Hak Milik 27692, Lot 12, Seksyen 89, No. 327 Persiaran Ritchie, 55000 Kuala Lumpur
  3. Unit 1D, NO 16, Jalan Taman U-Thant, 55000 Kuala Lumpur
  4. No. Hak Milik 102428 PT 2533 Mukim Ampang beralamat di No. 10 Jalan Wirawati, Taman Maluri, 55100 Kuala Lumpur
  5. No. Hak Milik 3754 Lot 2490 Mukim Teras,Raub beralamat di Rompin House, Bukit Fraser, 49000 Fraser’s Hill, Pahang
  6. No. Hak Milik 10627 Lot 157, No. Hak Milik 10628 Lot 158, No. Hak Milik 10629 Lot 159 di Mukim Kuala Lumpur beralamat di Lot 63-67 (1-3) Jalan Kampung Pandan, Kampung Pandan, 55100 Kuala Lumpur
  7. No. Hak Milik 1317, PT4061, No. 333, Jalan Kolam Air, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur
  8. No. Hak Milik Geran 42420, 316 Seksyen 63, Mukim Kuala Lumpur beralamat di No.204 Desa Kuda Lari, TK 1-A150 3, 50450 Kuala Lumpur
  9. No Hak Milik CT 9452, Lot 13, No. 333, Persiaran Ritchie, Desa Pahlawan, 55000 Kuala Lumpur
  10. No Hak Milik 79488 Lot 20001 dan No Hak Milik 119785 di Mukim Kuala Lumpur beralamat di No. 333 (Socfin House-White Palace Kuala Lumpur)
  11. No. Hak Milik 37663 PT 377, No Hak Milik 37665 PT 379, No. Hak Milik 37666 PT 380, No. Hak Milik 37670 PT 384, No. Hak Milik 15540 PT 1095, No. Hak Milik 15541 PT 1096 di Mukim Ampang beralamat di No.57 & 59, Taman Maluri, 55100 Cheras, Kuala Lumpur
  12. No. Hak Milik 34959 Lot 215 Seksyen 89, No. Hak Milik 34960 Lot 216 Seksyen 89 dan No. Hak Milik 36150 Lot 84 Seksyen 89 di Mukim Kuala Lumpur beralamat di Cinta Condominium, Jalan Madge Off Jalan U-Thant, 55000 Kuala Lumpur
  13. No. Hak Milik HS(D) 5782 Lot 14001, No. Hak Milik HS(D) 5783 Lot 14002, No. Hak Milik HS(D) 5784 Lot 14003 di Mukim Bentong beralamat di Lot 12 & 13 Puncak Dani & Dani Lodge Gohtong Jaya Genting Highlands, 69000, Pahang
  14. No. Hak Milik 33753 Lot 3989, No. Hak Milik 33739 Lot 3975 Di Mukim Ulu Kelang beralamat di Unit No. W4DC-075 & 061, Phase 4D, Wangsa Melawati 53300 Kuala Lumpur
  15. No. Hak Milik 16013 PT 371, No. Hak Milik 16014 PT 372 dan No. Hak Milik 16015 PT 373 di Mukim Kuala Lumpur beralamat di Wisma Dani, 1, Jalan Jejaka 4, Maluri, 55100 Kuala Lumpur
  16. No. Hak Milik 11199, PT 15752, Mukim Ampang beralamat, beralamat di AG-01, A1-01, A-2-01, A2-01, A3-01, A3-02, A4-01, A4-02 Taman Dagang Ampang, 68000 Ampang, Selangor
  17. No. Hak Milik 33555, Lot 129 Seksyen 58, Menara Ampang, No. 149, Jalan Ampang, Selangor
  18. No. Hak Milik 129258 dan 36280, Lot No 1680 dan 1681, Mukim Bujang Daerah Kuala Muda, Negeri Kedah
  19. No. Hak Milik 287336, PT 35082, Double Storey Semi D, Phase 5B, Bukit Saujana, Ijok, Selangor
  20. Suite # 8-13-6, Menara Mutiara Bangsar 8, Jalan Liku Off Jalan Bangsar, 59100, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  21. Avillion Port Dickson, 3rd Mile, Jalan Pantai, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan
  22. Avillion Admiral Cove, 51⁄2 Mile, Jalan Pantai, Port Dickson, 71050 Negeri Sembilan
  23. Avillion Cameron Highlands, C-3-1 Jalan Camelia, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang
  24. Admiral Marina & Leisure Club, 5 1/2 Miles Jalan Pantai, 71050, Si Rusa, 71050 Negeri Sembilan
  25. AVI Pangkor Beach Resort, PT1130, Jalan Pasir Bogak, 32300 Pangkor, Perak
bersatu1

Bersatu nak ambil tindakan undang undang kosongkan kerusi MP yang khianat…

Setelah melalui enam Ahli Parlimennya yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional berpaling tadah sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim…parti Bersatu akan bertindak menghalang ia terus berulang.

Parti itu telah membuat keputusan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat agar kerusi mereka dikosongkan.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin kata parti itu sedia berdepan pilihanraya kecil.

Untuk tujuan itu Bersatu juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan BERSATU menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan.

Beliau beritahu demikian menerusi satu kenyataan Isnin ekoran mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Ahad malam.

Enam orang Ahli Parlimen dari Bersatu yang sudah umum sokong Anwar ialah Tanjung Karang Zulkaferi Hanapi ,Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Jumaat lalu Syed Abu Hussin mendakwa ada sembilan lagi wakil rakyat PN akan umum sokongan kepada kerajaan perpaduan menjelang sidang Dewan Rakyat 26 Februari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan nama atau kawasan yang terlibat.

BERKUT IALAH KENYATAAN MEDIA HAMZAH ZAINUDDIN

  1. Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 28 Januari 2024, yang dipengerusikan YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin telah membincangkan banyak perkara terutamanya mengenai situasi terkini ekonomi negara yang suram dan beban sara hidup rakyat yang mendesak, ekoran masalah harga barang melambung tinggi, nilai ringgit berterusan merudum serta ditambah dengan kenaikan bil utiliti.
  2. Mesyuarat juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan BERSATU bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil. Selaras dengan ketegasan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan BERSATU menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan.
  3. Dalam menyusun langkah-langkah konkrit ke hadapan, Majlis Pimpinan Tinggi juga sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin selaku Presiden, bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tetapi untuk tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.
  4. Pada masa yang sama, beberapa langkah bagi membugarkan BERSATU juga telah diambil antaranya dengan melantik 3 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi baharu iaitu YB Dato’ Azman Nasrudin, Ahli Parlimen Padang Serai, YB Dr. Afif Bahardin, ADUN Taman Medan dan YBhg. Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Penolong Setiausaha Srikandi Malaysia.
  5. Perubahan kepimpinan BERSATU di peringkat negeri juga turut dilaksanakan di mana YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor baharu manakala YB Mohamad Hanifah Abu Bakar pula dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan baharu. Parti mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan YB Datuk Abdul Rashid Asari yang memimpin kedua-dua negeri tersebut sebelum ini.
  6. Selain itu, beberapa lantikan Pegerusi Biro baharu juga telah dilunaskan iaitu YB Datuk Dr. Radzi Jidin (Biro Ekonomi); YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (Biro Antarabangsa); YB Dato’ Azman Nasrudin (Biro Pendidikan) dan YB Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Biro Latihan) serta YBhg. Fadzillah Mohd Pilus dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu.

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
SETIAUSAHA AGUNG
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
29 Januari 2024, Kuala Lumpur

daim-buta-777

KEMASKINI : Buta sebelah mata…ramai terkejut lihat keadaan Daim

Ramai yang tertunggu tunggu untuk melihat kelibat Tun Daim Zainuddin bila beliau muncul di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pagi Isnin.

Bekas Menteri Kewangan yang terkenal dengan gelaran ‘Daim yang diam’ sudah lama tidak kelihatan dikhalayak ramai.

Tandatanya timbul baru baru ini bila isterinya Toh Puan Naimah Khalid beritahu wartawan suaminya sedang dirawat di sebuah hospital.

Beliau bagaimanapun enggan beritahu Daim sakit apa.Cuma katanya ia ‘isu personal’.

Sebelum ini tiada sebarang laporan media mengenai kesihatan Daim.

Oleh kerana berada di hospital SPRM tidak dapat dakwa Daim di mahkamah minggu lalu sekalipun sudah dapat lampu hijau dari pejabat Peguam Negara.

Pagi Isnin beliau tiba di komplek mahkamah dengan menaiki sebuah MPV berwarna putuh.

Beberapa pembantu angkat beliau keatas kerusi roda untuk dibawa ke Mahkamah Sesyen dimana beliau didakwa tidak isytihar harta.

Di situ jelas kelihatan Daim begitu uzur.

Paling ketara kelihatan sebelah mata kirinya ‘agak teruk’.

Keadaan kesihatannya diperjelaskan oleh peguamnya M Puravalen sewaktu persoalan tentang ikat jamin.

Malah katanya sebelah mata Daim sudah dikeluarkan kerana dijangkiti kuman.

Sebelum itu Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mencadangkan Daim diikat jamin di antara RM250,000 dan RM500,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan juga memohon beliau dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM, Putrajaya sebulan sekali, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

M Purvalen kata mahkamah tidak perlu mengenakan syarat tambahan berdasarkan keadaan kesihatan anak guamnya yang mustahil mengunakan pasport bagi membuat perjalanan jauh.

“Yang Arif boleh lihat sendiri keadaannya yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda.

“Dia adalah pesakit buah pinggang dan pernah diserang angin ahmar, malah sebelah matanya sudah dikeluarkan kerana dijangkiti kuman,” katanya.

Sementara itu semasa hendak membacakan kenyataan kepada para wartawan di luar mahkamah suara Daim terlalu perlahan hingga tidak jelas kedengaran.

Ini mendorong isterinya Naimah menghentikan sidang akhbar di situ.

Kata Naimah beliau hendak bawa pulang Daim ke rumah kerana sudah letih dari pagi lagi datang ke mahkamah.

Beliau menyerahkan kenyataan Daim kepada peguamnya untuk diedarkan kepada para wartawan.- 29/1/2024


KEMASKINI : Daim akan didakwa di mahkamah Isnin ini…

Tun Daim Zainuddin yang keluar dari menjalani rawatan sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur Khamis lalu akan didakwa di mahkamah Isnin ini.

SPRM telah rekod keterangan dari bekas Menteri Kewangan itu semalam,Jumaat.

“Peguam saya telah dimaklumkan bahawa saya akan didakwa pada Isnin (29 Jan) atas kesalahan di bawah Seksyen 36 (2) Akta SPRM 2009, yang merupakan kesalahan yang berkaitan dengan pendedahan aset,” kata Daim menerusi satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh peguamnya Rajesh Nagaran hari ini,Sabtu. – 27/1/2024

BERITA SEBELUM INI : Daim sudah keluar hospital…mungkin didakwa minggu depan

Ding dong mengenai bila Tun Daim Zainuddin akan didakwa di mahkamah kerana menjalani rawatan di hospital berakhir.

Bekas Menteri Kewangan itu sudah dibenarkan keluar hospital hari ini, Khamis.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu beliau mungkin akan dituduh mengikut Akta SPRM minggu hadapan.

Katanya peguam Daim sendiri memberitahu SPRM mengenai perkembangan terkini itu.

“Peguamnya telah berkomunikasi dengan IO (pegawai penyiasat) saya memberitahu Daim sudah keluar dari hospital.

“Apa yang saya faham, dia dibenarkan keluar awal hari ini.

“Kini IO sedang berkomunikasi dengan peguam Daim untuk menetapkan tarikh untuk dia ke mahkamah.

“Kemungkinan besar minggu depan,” katanya.

Menurutnya SPRM akan memaklumkan kepada media sebaik sahaja mereka mempunyai tarikh untuk pendakwaan Daim di mahkamah.

Beliau juga menjelaskan pihak SPRM tidak diberitahu sebab Daim dimasukan ke hospital.

Kata Azam ketika ini apa yang lebih penting ialah SPRM sudah boleh menetapkan tarikh untuk kes tersebut

Kelmarin, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid didakwa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Na’imah, 67, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.- 25/1/2024

anwar-syed1

Tengok siapa dengan Anwar…

Nampak macam biasa saja.Namun dalam konteks politik semasa…gambar ini ada cerita.Apa tidaknya.Cuba lihat siapa yang cukup mesra di sebelah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Orangnya tidak lain tidak bukan ialah Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Bukit Gantang,Perak Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Namanya agak hot kebelakangan ini kerana menjadi semacam jurucakap tidak rasmi bagi geng Ahli Parlimen PN yang ‘lompat’ umum sokong kepimpinan Perdana Menteri.

Setakat ini semua orang tahu sudah rasmi ada enam orang termasuk dirinya dan terbaru Ahli Parlimen PN Tanjong Karang,Zulkafperi Hanapi pada 24 Januari.

Empat lain ialah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Syed Abu Hussin juga bikin gempar bila baru ini dakwa ada sembilan lagi Ahli Parlimen PN akan ‘lompat’ menjelang sidang Dewan Rakyat pada 26 Februari ini.

Beliau dulunya Ahli Parlimen UMNO kemudian masuk Bebas sekejap dan selepas itu PN.

Pada Ahad…Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mencuri perhatian bila hadir bersama Anwar di Program Jualan Ikan, Udang dan Sotong Murah Parlimen Tambun.

Tambun yang terletak di Ipoh ialah kawasan Parlimen Perdana Menteri.

Program berkenaan ialah jualan barangan keperluan ikan, ayam, beras dan sebagainya pada harga murah dicelah peningkatan kos sara hidup.

Pada satu majlis di Ipoh juga Anwar telah umum Syed Abu Hussin dilantik mengetuai jawatankuasa menangani isu kenaikan harga makanan dan kos sara hidup yakni kluster di bawah Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (Naccol)

Naccol terdiri daripada 11 kementerian ditugaskan untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

“Saya nanti tugaskan Syed Abu Hussin bantu dalam mesyuarat penyelarasan harga barang makanan, Naccol ini, saya mengesahkan supaya dia akan mengepalai kluster yang akan tambah ikhtiar supaya Jualan Madani ini dapat kita tingkatkan di seluruh negara dan kena perluaskan dan kerapkan lagi,” kata Anwar.

Syed Abu Hussin turut hadir pada majlis itu memberitahu media bahawa beliau bersedia menerima tanggungjawab itu, dan berkata terdapat beberapa kaedah untuk menstabilkan harga barangan keperluan termasuk beras.

“Sukatan terawal ialah beras, diikuti barangan lain kerana beras kini menjadi isu kritikal.

“Jadi, jika saya diberi kuasa untuk menguruskan ini, Insya-Allah kita akan tunjukkan kepada rakyat dan kerajaan ada kaedah untuk menstabilkan harga barangan makanan utama,” katanya.

Sementara itu dalam ucapan perasmian penutup di Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak juga di Ipoh,Anwar percaya lebih ramai ahli parlimen pembangkang akan menyokong Kerajaan Perpaduan.

Ini katanya kerana hilang keyakinan terhadap parti mereka apabila perubahan kerajaan yang dijanjikan tidak berlaku.

Anwar berkata mereka hanya dijanjikan dengan janji-janji palsu dengan pelbagai langkah “tebuk atap” yang nyata tidak menjadi kenyataan dan memainkan persepsi negatif termasuk isu-isu perkauman.

“Mereka diberikan harapan, walaupun saya katakan atap ini bukan atap rumbia tetapi atap konkrit, mereka berpindah dari Dubai ke London dan mereka lupa atap konkrit jauh lebih tebal.

“Dan apabila terhakis harapan, orang-orang, Ahli Parlimen yang dijanjikan perubahan akan berlaku ini, seorang demi seorang akan meninggalkan parti mereka,” katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak, Pengerusi Pakatan Harapan Perak Datuk Seri Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata kestabilan Kerajaan Perpaduan termasuk gabungan dari Sabah dan Sarawak adalah kukuh dan pihak yang sentiasa cuba menggugatnya perlu menerima kenyataan gabungan itu akan kekal sehingga ke akhir penggal.

“Yang di-Pertuan Agong pada malam tadi juga menasihatkan agar pimpinan politik memelihara perpaduan dan kepimpinan perlu menumpukan untuk memacu pertumbuhan dan biar bicara soal merancang setelah lima tahun (akhir penggal).

“Saya yakin juga Tuanku Sultan Johor yang akan menjadi Agong akan mempertahan pendirian yang sama,” kata Presiden PKR itu.

Anwar dalam masa sama berkata Kerajaan Perpaduan perlu menumpu usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara kerana mereka masih mempunyai empat tahun untuk membuktikan kejayaan mereka.

Katanya Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahankan prinsip sedia ada termasuk menjaga hak majoriti Melayu dan Bumiputera.- 28/1/2024

joh1

Tunku Mahkota Johor dilantik Pemangku Sultan

Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor pada Ahad dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor.

Majlis Istiadat Pemangku Sultan berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru dihadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda Tuanku Sultan turut berkenan gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan ialah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atau DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.


Pelantikan Pemangku Sultan Johor ini berterusan selama Tuanku Sultan Ibrahim menjalankan kerja-kerja Yang di-Pertuan Agong.

Tunku Mahkota Ismail dilantik sebagai Raja Muda Johor pada April 2006, sebelum dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada Januari 2010.

Berangkat sama, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.

Turut berangkat, Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.

Hadir sama, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, Tan Sri Dato’ Dr Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Dato’ Dr Abdul Rahim Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor.

Sultan Johor akan berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, minggu depan. – 28/1/2024

shahrir1

Kesian Bersatu…

Dah 6 ahli parlimen parti itu mengistiharkan sokongan kepada PMX dan Kerajaan Perpaduan.

Sokongan ini diistihar tanpa perlu mereka tinggalkan parti pula kerana akta anti-lompat parti (yang mereka sokong) tidak akan mengakibatkan kekosongan kerusi seorang ahli parlimen kiranya dipecat olih partinya.

Jadi parti tidak dapat ambil sebarang tindakan terhadap mereka yang nyatakan sokongan kepada PMX dan Kerajaan Perpaduan.

Tidak pula mereka ini takut kepada DAP!

Kan heboh kempen PN di pilihanraya negeri dan pilihanraya kecil bagaimana tidak bermaruahnya UMNO kerana bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan! Kini, dah 6 ahli parlimen PN dari Bersatu istihar sokongan kepada PMX dan Kerajaan Perpaduan (dalam mana ada DAP).

Patut pecat je yang 6 ini. Kenalah jaga maruah parti.

Rupanya, antara sebab berlaku keadaan ‘menyeberang’ ke sebelah kerajaan adalah kerana TSMY ( Tan Sri Muhyiddin Yassin) buat ‘u-turn’ atas nasihat Puan Sri isteri.

Takkanlah.

Kecoh juga PN ni.

Patutnya PAS pula yang ambilalih kepimpinan PN dan bukan Bersatu marah-marah sama sendiri termasuk libatkan isteri Presiden.

No fear, Sam is here.

Tan Sri Shahir Samad
27/1/2024

WAN-PN

Kaji semula rancangan pemansuhan skim pencen untuk kakitangan kerajaan

Pemuda Perikatan Nasional menyedari kepentingan rombakan dan penyusunan semula berkaitan pengurusan perbelanjaan pencen untuk pesara bagi memastikan kestabilan kewangan negara. Namun begitu, Pemuda PN menggesa kerajaan agar menimbang semula tindakan yang telah diputuskan.

Keputusan semasa yang diputuskan oleh Kabinet untuk menamatkan skim pencen bagi kakitangan kerajaan baru yang diambil secara tetap memerlukan penilaian yang lebih teliti, mengambil kira hak pencen yang jelas dinyatakan dalam Artikel 147 Perlembagaan Malaysia dan Akta Pencen 1980 (Akta 227).

Bahkan, YAB PMX Dato Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menegaskan pada awal 2023 bahwa kerajaan persekutuan tidak akan menarik balik skim pencen, memandangkan peruntukanya yang jelas dalam Perlembagaan. Keputusan ini harus dipertimbangkan kembali dengan melibatkan semua pihak terkait.

Dalam konteks ini, terdapat keperluan mendesak untuk pihak kerajaan untuk menimbang kembali keputusan pemansuhan skim pencen dan mencari solusi alternatif yang tidak hanya menguntungkan rakyat, tetapi juga membantu mengurangkan beban kewangan negara, selaras dengan janji sebelumnya oleh YAB Perdana Menteri.

Pemuda Perikatan Nasional menggesa agar kajian mendalam dan teliti dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kerajaan tergesa-gesa cuba mengumumkan sesuatu keputusan besar sebegini yang bakal memberikan kesan jangka masa panjang kepada rakyat dan negara.

YB Wan Ahmad Fayhsal
Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional,
Ahli Parlimen Machang

26/1/2024