
Anwar bimbang ketegangan Amerika – Iran jadi konflik terbuka
Malaysia menggesa dua pihak bertelagah iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Iran mengutamakan pertimbangan keamanan dalam sebarang tindakan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggesa semua pihak untuk berundur daripada ambang kehancuran dan komited semula kepada usaha diplomasi dengan serius serta segera.
“Saya memandang dengan penuh kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin meningkat antara AS dan Iran, dan risiko yang semakin meningkat bahawa situasi tidak menentu boleh membawa kepada konflik terbuka.
“Saluran komunikasi mesti digunakan sepenuhnya. Sebarang konfrontasi antara Washington dan Tehran akan membawa kesan di seluruh Timur Tengah yang sedia rapuh.
“Risiko peningkatan proksi, ketidakamanan maritim dan kejutan ekonomi boleh melangkaui rantau terdekat.
“Tiada kepentingan strategik yang dapat mewajarkan kemusnahan manusia dan material sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Dalam hal ini, Anwar menegaskan, Malaysia memuji usaha Oman untuk memudahkan dialog dan mengurangkan ketegangan di antara kedua-dua buah negara.
“Kami menggesa semua negara yang berpengaruh untuk menggunakan setiap cara yang ada untuk menggalakkan penurunan ketegangan dan mengamalkan kawalan diri sepenuhnya demi kepentingan kestabilan serantau dan antarabangsa,” katanya lagi.
Media menyatakan kapal pengangkut pesawat, USS Abraham Lincoln bersama tiga kapal perang tentera AS tiba di perairan Asia Barat.
Kehadiran armada terbabit mencetuskan kebimbangan Presiden AS, Donald Trump mungkin menggunakan taktik serupa sebagai persediaan untuk menyerang.
Dua minggu lalu, Arab Saudi, Qatar dan Oman mengetuai usaha diplomasi bagi memujuk Trump supaya membatalkan serangan terhadap Iran kerana bimbang akan berlakunya tindak balas yang serius di rantau berkenaan.-28/1/2026



