Sunday - 20, April 2025

57 wakil pembangkang tidak mengundi lulus RUU martabat Parlimen

Share

Kegagalan pembangkang untuk mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini menonjolkan sikap mereka yang tidak mahu menyokong usaha untuk memperkukuh dan memartabatkan institusi Parlimen.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meluahkan rasa kesal terhadap tindakan 57 wakil rakyat pembangkang yang tidak mengundi semasa proses undian bagi meluluskan RUU tersebut.

“Seharusnya, kita melihat soal keberadaan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen ini sebagai langkah pertama untuk mengangkat martabat Parlimen itu sendiri. Usaha ini seharusnya disambut oleh pihak pembangkang,” katanya.

“Namun, kita lihat mereka gagal. Bukan hanya apabila kita mendengar perbahasan mereka yang jauh menyimpang daripada apa yang dibentangkan, malah mereka sendiri menunjukkan sikap tidak mahu membantu dalam proses memastikan Parlimen itu bebas,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang bertujuan untuk mereformasi institusi serta penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara, iaitu Parlimen.

RUU tersebut mendapat sokongan 148 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan ketiga semasa undi belah bahagian dilakukan, manakala 17 Ahli Parlimen tidak hadir dan 57 wakil rakyat tidak mengundi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Malaysia terus mengorak langkah memperkukuh sistem demokrasi berperlembagaan dengan memperkenalkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025.

Menurutnya Akta Perkhidmatan Parlimen 1966 yang telah dimansuhkan pada 1992 perlu dikembalikan bagi memastikan Parlimen berfungsi secara bebas daripada cabang eksekutif serta melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan amalan negara maju.

“Demokrasi Malaysia kini dan masa hadapan memerlukan pemerkasaan institusi Parlimen. Justeru, RUU ini merupakan satu langkah penting dengan menetapkan satu perkhidmatan awam yang khusus iaitu menerusi Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP),” katanya.

Beliau berkata MPP akan bertindak sebagai badan yang berkuasa penuh ke atas seluruh perkhidmatan Parlimen termasuk menyusun semula organisasi dengan menambah baik fungsi dan struktur perjawatan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran Parlimen berdasarkan Fasal 4 dan 5.

“Peruntukan dalam RUU ini turut menetapkan bahawa pengurusan perkhidmatan Parlimen akan merangkumi bantuan profesional seperti khidmat penggubalan undang-undang serta penyediaan penyelidik bagi ahli Parlimen, merangkumi kedua-dua barisan kerajaan dan pembangkang,” katanya.

Selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966, Parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan seorang menteri mengawasi atau menyelia pentadbiran institusi itu.

RUU itu membuka lembaran baharu dalam memperkukuh institusi Parlimen serta membuktikan komitmen Kerajaan MADANI terhadap reformasi institusi melalui pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.-5/3/2025

Read more

khabar terbaru