Di saat Barat menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) untuk buat video scam tiru rupa dan suara lawan politik… sekumpulan saintis China membangunkan AI yang mampu meramal risiko kanser hati berulang dengan ketepatan 82.2 peratus.
Kanser hati merupakan punca ketiga utama kematian berkaitan kanser di dunia, dengan kadar berulang pasca pembedahan setinggi 70 peratus. Meramalkan berulangnya kanser ini, menjadi cabaran utama dalam bidang perubatan.
Diketuai Sun Cheng daripada Universiti Sains dan Teknologi China, pasukan penyelidik membangunkan sistem pemarkahan TIMES, yang mengukur corak pengagihan spatial sel imun dalam persekitaran mikro tumor bagi menilai kemungkinan kanser berulang. TIMES merupakan alat pertama di dunia yang mengintegrasikan data imun spatial untuk meramal kekerapan kanser hati berulang.
Kajian itu menunjukkan bahawa organisasi spatial sel imun, bukan sekadar bilangannya, menentukan hasil klinikal. Dengan menggabungkan transkriptomik spatial, proteomik, “multispectral immunohistochemistry” dan analisis spatial berasaskan AI, pasukan penyelidik membangunkan kaedah baharu untuk menilai persekitaran mikro tumor. Sistem itu dilatih menggunakan sampel tisu kanser hati daripada 61 pesakit.
Para penyelidik juga telah membuka akses kepada versi dalam talian TIMES secara percuma, membolehkan pengguna di seluruh dunia memuat naik imej pewarnaan patologi untuk mendapatkan penilaian risiko segera.
Sun berkata pasukannya berhasrat menjadikan TIMES sebagai alat perubatan inovatif yang membantu doktor mengoptimumkan rawatan secara peribadi, terutama di kawasan dengan sumber terhad. Mereka kini bekerjasama dengan rakan industri bagi menstandardkan aplikasi klinikal sistem itu.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan syarikat teknologi China, Baidu, mengumumkan pelancaran dua model AI baharu yang menawarkan prestasi setanding chatbot China, DeepSeek, tetapi pada separuh kos.
Menurut Baidu, model Ernie X1 direka untuk pemikiran logik, manakala Ernie 4.5 berfungsi sebagai model asas. Kedua-duanya boleh diakses secara percuma oleh pengguna individu menerusi platform ERNIE Bot.
Baidu merancang untuk mengintegrasikan model baharu ini secara berperingkat ke dalam ekosistem produknya, termasuk enjin carian Baidu, aplikasi Wenxiaoyan dan beberapa perkhidmatan lain.
Awal tahun ini, syarikat pemula DeepSeek menarik perhatian ramai apabila mendakwa chatbotnya mampu menyaingi ChatGPT keluaran OpenAI dari Amerika Syarikat dengan kos yang jauh lebih rendah.
Perkembangan itu menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran saham Amerika Syarikat, apabila para pelabur mula mempertikaikan kecekapan syarikat teknologi negara itu.
Berpangkalan di Beijing, Baidu mula dikenali di China sebagai penyedia enjin carian. Syarikat itu juga merupakan peneraju dalam teknologi pemanduan autonomi dan mengendalikan perkhidmatan teksi robot Apollo. Pada 2023, Baidu melancarkan versi pertama chatbot AI mereka, Ernie.-17/3/2025