FOKUS

Ibu pelajar dakwa anaknya ditikam 200 kali…

Bayangkan betapa peritnya ibu kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun sekolah menengah dekat Damansara Utama hendak cerita peristiwa ngeri yang bawa maut menimpa anaknya dalam kejadian pagi Selasa lalu.

Pada sidang media di rumah pengebumian Nirwana, petang Khamis Wong Lee Ping dakwa anak perempuannya ditikam lebih 200 kali oleh suspek yakni pelajar tingkatan dua dari sekolah sama.

Katanya kebanyakan kecederaan pada anaknya tertumpu pada sebelah kanan badan.

Dia juga mendakwa anaknya dan suspek seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun tidak mengenali di antara satu sama lain sebelum ini.

Lee Ping juga merayu orang ramai berhenti menyebarkan maklumat salah mengenai kes itu, terutamanya dakwaan bahawa anaknya diserang secara seksual sebelum kematiannya.

“Hentikan penyebaran maklumat palsu, anak saya sudah menjadi mangsa,” katanya dalam siding media yang turut dihadiri ayah tiri mangsa, How Boon Chin; bapa saudara mangsa, Wong Yoon Kim; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Menurutnya polis memaklumkan yang suspek memanjat ruang tandas di mana anak perempuanya berkurung sebelum menikamnya.

“Anak perempuan saya menjerit meminta tolong dan suspek melompat keluar dari situ (tetapi) segala-galanya sudah terlambat ketika guru memecah pintu tandas.

Lee Peng menyifatkan mendiang anaknya juga seorang yang penyayang dan sentiasa mengambil berat terhadap ibu bapa.

“Dia selalu fikir tentang kami, sentiasa hormat ibu bapa. Dia seorang anak yang baik dan bertanggungjawab,” katanya sambil berharap masyarakat berhenti menularkan maklumat palsu mengenai kejadian itu dan memberi ruang kepada keluarganya untuk meratapi kehilangan.

“Anak saya mangsa sebenar. Kami cuma mahu keadilan dan kebenaran,” katanya.- 16/10/2025

KPM tubuh jawatankuasa khas siasat kes pelajar perempuan maut ditikam di sekolah

Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan semua aspek berkaitan kes kematian seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang disyaki ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya hari ini, dapat disiasat secara tuntas, telus dan adil.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kes berkenaan dalam siasatan pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama penuh dalam proses siasatan yang sedang berjalan.

“Suspek telah ditahan polis. KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga murid yang meninggal dunia kerana ditikam di sebuah sekolah di Selangor pada hari ini.

“Semoga keluarga diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah terbabit.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail berkata seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut disyaki ditikam seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya pagi tadi.

Khalid berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah manakala suspek berumur 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah sama telah ditahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata polis menemukan dua senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tikam itu.

  • BERNAMA

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button