
KEMASKINI : Amirudin tegaskan akan kekal MB Selangor hingga habis penggal
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi menegaskan beliau akan kekal menerajui kepimpinan negeri itu sehingga penggal pentadbiran tamat.
Beliau berkata tiada rombakan kabinet akan dilaksanakan dalam tempoh tersebut.
“Tinggal setahun (untuk habis penggal) dan kalau nak rombak barisan exco, kita perlukan masa lagi. Setakat ini tidak ada lagi idea atau sebarang bayangan untuk itu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di Shah Alam hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata nama Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang disebut sebagai calon Menteri Besar hanyalah sebagai cadangan dan masih perlu dibincangkan, selain perlu mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Sekarang ini kita lontarkan sebagai satu pilihan. Jadi kalau pilihan itu diterima, Alhamdullillah. Kalau tidak mungkin kita perlu kenal pasti alternatif lain.
“Selain itu, semua exco kita layak antaranya Najwan (Mohd Najwan Halimi, Fahmi (Dr Mohamad Fahmi Ngah), Borhan (Datuk Borhan Aman Shah) dan Izham (Datuk Izham Hashim) pun layak untuk (menjadi Menteri Besar),” katanya.
Amirudin berkata perancangan bagi perubahan jawatan penting dibuat secara terancang dan bukan secara tergempar.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Selangor pada masa ini perlu mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menjadi syarat utama sebelum sebarang perbincangan mengenai jawatan untuk mentadbir pada penggal seterusnya dibuat.
Amirudin sebelum ini dilaporkan mengakui telah mencadangkan Nurul Izzah dilantik bagi menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Beliau dalam program audio siar “Keluar Sekejap” yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan baru-baru ini berkata cadangan itu pernah disuarakan kepada Nurul Izzah dan terpulang kepadanya untuk menerima atau sebaliknya.
- Bernama – 24/11/2025
Nurul Izzah jadi MB: Tiada perbincangan dibuat, kata PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan mengenai kemungkinan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor.
“Itu pandangan beliau (Amirudin Shari). Dia tidak berbincang dengan saya pun,” katanya ketika diminta mengulas saranan Menteri Besar Selangor itu supaya Nurul Izzah menggantikan tempatnya.
Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata dia telah menyampaikan cadangan tersebut kepada Nurul Izzah dan terpulang kepadanya untuk membuat keputusan.
Mengenai kesediaan Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak menerima tanggungjawab di peringkat Persekutuan, Anwar menjawab: “Pilihan raya bila? Masih lama lagi… kita bincang kemudian.”
Anwar juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai kemungkinan rombakan kabinet.
“Rombakan itu bagi mengisi kekosongan. Boleh cadangkan beberapa nama? Saya akan pertimbangkan,” katanya secara berseloroh ketika ditanya mengenai perkara itu selepas menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Johannesburg.
Mengulas pandangan bahawa Amirudin bersedia menyertai pentadbiran Persekutuan, Anwar berkata: “Itu satu jawatan sahaja. Sekurang-kurangnya ada tiga kekosongan.”
Sementara itu, dalam sesi soal jawab, Anwar yang juga Presiden PKR menyambut baik cadangan supaya kerajaan menubuhkan Pusat Pengajian Afrika bagi memperluas pemahaman terhadap 54 negara di benua tersebut.
“Saya akan pertimbangkan. Cadangan yang baik.
“Kita ada Pengajian Eropah, kita memahami sejarah Amerika, dan kita biasa dengan tamadun India, tetapi kita kurang memahami Afrika secara keseluruhan, termasuk Amerika Latin,” kata Anwar yang berada di Johannesburg bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.
Mengenai gesaan supaya lebih banyak pelaburan Malaysia dibawa ke benua Afrika, Anwar berkata komuniti perniagaan merupakan pihak terbaik untuk meneroka peluang dan membuat keputusan komersial.
“Peranan kerajaan adalah menggalakkan dan memudah cara,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menggesa rakyat Malaysia di luar negara untuk sentiasa memberikan yang terbaik dan tidak cepat berpuas hati.
“Lakukan yang terbaik. Kita perlu menimba ilmu, tetapi bukan sekadar memperoleh atau menyerap ilmu. Kita juga mesti komited menyebarkan perkara yang benar, yang betul dan yang adil,” katanya.
– Bernama- 22/11/2025


