Debaran kes tujuh wakil rakyat Bersatu…hari penentuan makin hampir

Mesyuarat kedua Dewan Rakyat bagi tahun ini akan berlangsung selama 15 hari mulai 24 Jun hingga 18 Julai.
Namun menjelang sidang kali ini ada isu kontrovesi panas yang perlu dibereskan.
Soalnya apakah akan ada tanda noktah pada isu ini atau akan terus berlarutan ibarat kapal yang tidak ada haluan.
Semua orang sudah sedia maklum mengenai ding dong kontroversi kisah enam Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari parti Bersatu dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang paling tadah sokong kerajaan.
Enam Ahli Parlimen berkenaan adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
ADUN tunggal pula ialah Datuk Rashid Asari wakil rakyat Selat Kelang.
Kalangan Ahli Parlimen itu umum sokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala ADUN Selangor umum sokong Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shaari.
Kalau ikut pindaan perlembagaan parti Bersatu yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 1 April lalu keahliannya mereka dalam parti telah dilucutkan, maka kerusi disandang juga dikosongkan untuk beri laluan pada pilihanraya kecil.
Jika begitu halnya maka besar kemungkinan wajah enam mereka tidak dapat dilihat masa sidang Dewwn Rakyat kali ini.
Hal ini diperkuatkan lagi dengan surat rasmi dari Bersatu kepada mereka meminta pendirian muktamad samaada setia atau tidak kepada parti.
Bagaimanapun surat bertempoh 14 hari itu yang dihantar pada 17 Mei tidak dijawab hingga tarikh akhir pada 31 Mei.
Nampaknya bagi mereka surat kata dua dari parti itu seolah tidak laku.
Syed Abu Hussin Hafiz mislanya berulangkali tegaskan beliau tidak akan menjawab surat rasmi yang dihantar oleh Bersatu itu.
Beliau menyifatkan surat itu tidak membawa apa-apa makna kepadanya.
Serentak itu beliau juga menyatakan kesediaan untuk menghadapi apa sahaja tindakan yang akan diambil terhadapnya.
Suhaili pula mendakwa pindaan perlembagaan Bersatu tidak terkesan atas statusnya sebagai Ahli Parlimen.
Siapa saja yang baca kenyataan ‘tembak menembak’ antara kumpulan wakil rakyat itu dengan pimpinan Bersatu sudah tentu jadi bingung siapa yang betul dan siapa yang salah.
Tolak sebelah ia melibatkan parti mana dalam isu ini…pokok pangkalnya Bersatu sudah mengambil saluran meminda perlembagaan dan ia kemudian diluluskan oleh ROS.
Pindaan itu dengan jelas membolehkan parti itu bertindak terhadap enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN mereka itu.
Berbagai tafsiran dibuat oleh pemerhati dan pengamal undang undang samaada pindaan perlembagaan Bersatu laku untuk bertindak.
Misalnya seorang peguam yang berpengalaman,Datuk Shamsuddin Nawawi tegas berpendapat bahawa pilihanraya kecil perlu diadakan di semua kawasan yang terlibat.
Ikut tafsiran bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengikut peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan, mana-mana wakil rakyat yang keahliannya di dalam parti telah dilucutkan, maka kerusi disandang juga dikosongkan.
“Apabila dimaklumkan oleh sesebuah parti bahawa wakil rakyatnya telah dilucutkan keahlian, Speaker tidak ada pilihan lain selain daripada mengisytiharkan kerusinya sebagai kosong.
“Speaker mesti patuh kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Speaker tidak ada hak untuk membuat inquiry bagaimana keahliannya telah dilucutkan kerana itu adalah urusan parti.
Menerusi hantaran di facebooknya Shamsudin kata Speaker tidak mencampuri urusan parti kerana Speaker mesti bertindak secara apolitical iaitu tidak membuat keputusan mengikut inclination atau fahaman politiknya.
Katanya lagi, sekiranya wakil rakyat terbabit tidak berpuas hati dengan keputusan kerusinya telah dikosongkan, ia boleh membawa kes tersebut ke mahkamah.
“Mengikut precedent yang ada, keputusan Speaker adalah non-justiciable iaitu tidak boleh dipertikaikan waima di mahkamah sekali pun.
“Ahli parti yang membawa pertikaian partinya ke mahkamah pula, secara automatik juga gugur keahliannya. Kesimpulan, ikut mana pun, PRK terpaksalah dilakukan juga,” katanya lagi.
Dalam pada itu ada pemerhati yang mengingatkan isu parti Bersatu ini bukan terhad pada parti itu sahaja.
Secara keseluruhan ia melibatkan semua parti politik di negara ini.
Soalnya apa macam kalau jadi terbalik kot…dimana Ahli Parlimen parti kerajaan pula berpaling tadah umum sokong pembangkang.
Makanya perundangan yang sama perlu diguna pakai.
Difahamkan dalam bab kes enam Ahli Parlimen berkenaan orang yang pegang kuasa kata putus penentu samaada kerusi wakil rakyat kosong atau tidak ialah Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata partinya akan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai enam wakil rakyat daripada parti itu yang telah dilucutkan keahlian mereka.
Menurut beliau perkara itu akan dimaklumkan dalam sidang dewan rakyat pada bulan ini.
Katanya ini selepas enam ahli parlimen itu enggan mematuhi arahan supaya menyatakan ikrar taat setia kepada parti.
“Logiknya, kami akan menulis kepada speaker Dewan Rakyat bahawa keahlian mereka telah dilucutkan.
“Ada tertulis dalam perlembagaan (parti) bahawa mereka perlu dilucutkan keahlian mereka (jika mereka tidak mengembalikan surat Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi yang sudah ditandatangani sebagai ikrar taat setia).
“Ia sama seperti perlembagaan parti UMNO dan DAP… keahlian mereka secara automatik akan dilucutkan,” katanya.
Mahu tidak mahu…Johari akan berdepan tugas mencabar bila dapat surat rasmi dari Bersatu kelak mengenai isu enam Ahli Parlimen itu sampai ke tangannya.
Keputusan beliau akan cetuskan pelbagai implikasi.
Jika beliau putuskan kerusi wakil rakyat berkenaan kosong…implikasi segera ialah pilihanraya kecil perlu diadakan.
Pilihanraya kecil di tujuh kawasan itu tentunya akan menjadi medan parti kerajaan dan pembangkang ‘bergasak sakan’ dalam perebutan meraih pengaruh.- 6/6/2024