Bukan sahaja di Malaysia, tetapi fenomena wanita berkerjaya dan berkemampuan terus menjadikan emas sebagai pilihan utama untuk pelaburan walaupun terdapat kenaikan ketara dalam harga logam kuning berharga itu.
Permintaan terhadap barang kemas emas terus berkembang kerana emas kekal sebagai pelaburan selamat selain menjadi lambang fesyen dan budaya yang penting dalam kalangan pelbagai budaya Asia.
Daripada kalung dan gelang hingga barang kemas pengantin, anting-anting dan cincin, populariti perhiasan emas menunjukkan tiada tanda-tanda penurunan dalam kalangan pengguna Asia Tenggara.
Peminat emas atau chrysophilist dari Indonesia, Malaysia, Thailand hingga Vietnam terus terpukau dengan rekaan barang kemas emas yang unik dan jenama baharu yang memasuki pasaran runcit.
Bernama melaporkan Persatuan Emas Malaysia optimis terhadap pertumbuhan pasaran pada 2025, dipacu oleh ketahanan ekonomi ASEAN, peningkatan kekayaan, inovasi digital, serta disokong oleh kerjasama perdagangan serantau yang kukuh.
“Milenium dan Gen Z mengubah pasaran emas dengan memilih rekaan moden dan ringan yang mencerminkan trend fesyen semasa dan praktikal.
“Mereka mengutamakan kelestarian dengan memilih emas yang diperoleh secara beretika serta kaedah pengeluaran mesra alam. Kumpulan ini juga semakin berminat untuk melabur dalam emas digital kerana nilai kemudahan dan keselamatannya,” kata Presiden Persatuan Emas Malaysia, Datuk Louis Ng Chun Hau.
Harga emas meningkat hampir 30 peratus pada 2024, mencecah paras tertinggi sepanjang masa iaitu RM12,367 (US$2,748.23) setiap auns.
Walaupun harga tinggi, dagangan emas mencapai angka yang mengagumkan. Institut Permata dan Barang Kemas Thailand mendedahkan eksportnya (tidak termasuk emas yang tidak ditempa) mencecah RM39 bilion (US$8.7 bilion) pada 2023 dan dalam tujuh bulan pertama tahun lalu, eksport mencatat RM22.5 bilion (US$5 bilion).
Berdasarkan statistik Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), eksport barang kemas emas buatan Malaysia dijangka melebihi RM7.7 bilion tahun lalu, disokong oleh kenaikan harga emas, manakala import Malaysia berjumlah RM7.4 bilion.
Kementerian Perindustrian Indonesia melaporkan nilai eksport barang kemas mencapai RM18 bilion (US$3.94 juta) dari Januari hingga Ogos tahun lalu, lapor Agensi Berita Antara.
Penduduk ASEAN yang berjumlah 670 juta – dengan perubahan keutamaan pengguna dan lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja serta memiliki pendapatan boleh guna yang lebih baik – akan memberikan momentum kukuh kepada pasaran barang kemas.
“Apabila lebih ramai wanita di ASEAN menyertai tenaga kerja dan memperoleh kebebasan kewangan, kuasa membeli mereka meningkat. Barang kemas emas semakin popular sebagai pernyataan fesyen dan simbol keselamatan serta status, dengan permintaan yang meningkat di negara seperti Vietnam dan Indonesia,” kata Ng.
Semasa Tahun Baharu Cina, menjadi tradisi rakyat Vietnam menyambut “Hari Dewa Kekayaan” dengan membeli emas untuk memohon kekayaan.
Permintaan Milenium dan Gen Z menyuntik kreativiti baharu ke dalam industri – memilih rekaan bergaya, kaedah pengeluaran mesra alam, sumber yang beretika, malah membeli berlian buatan makmal.
Pengilang didorong untuk memenuhi kehendak pembeli yang prihatin terhadap ekosistem bagi kekal berdaya saing.
“Apabila kesedaran pengguna terhadap kemampanan semakin meningkat, industri emas serantau menyesuaikan diri dengan mengamalkan amalan mesra alam dan inovasi teknologi. Ini memastikan industri memenuhi permintaan pembeli yang prihatin terhadap ekosistem dan kekal berdaya saing dalam pasaran yang berubah-ubah,” katanya.
Pengilang juga mengamalkan amalan mampan – menggunakan kaedah mesra alam seperti kitar semula emas dan mengurangkan pelepasan karbon untuk meminimumkan kesan alam sekitar serta memelihara sumber bagi kelestarian jangka panjang.
Industri ini turut menggunakan teknologi seperti realiti tambahan untuk mencuba secara maya dan teknologi blockchain untuk pengesanan produk, membantu pelanggan membuat keputusan termaklum dan memastikan ketelusan dalam sumber bahan yang beretika, menurut persatuan itu.
“Ini mewujudkan peluang untuk industri emas berinovasi, memperibadikan tawaran serta memenuhi keperluan pembeli yang pelbagai sambil memberi keutamaan kepada kemampanan dan trend moden,” tambahnya.
Transformasi digital turut memacu industri ini, menjadikannya lebih mudah diakses dan selesa. Platform e-dagang membolehkan pembelian barang kemas emas dan jongkong secara dalam talian, manakala pelaburan emas digital menawarkan pelabur muda cara selamat untuk membina kekayaan, kata Ng.