Thursday - 8, May 2025

Tarif timbal balas Amerika: Malaysia peruntuk RM1 bilion bantu pengeksport kecil, sederhana

Share

Sidang khas Parlimen mengenai tarif Amerika Syarikat baru-baru ini menyaksikan pengumuman kerajaan meningkatkan skim jaminan sebanyak RM1 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.

Kerajaan mengariskan enam strategi digariskan termasuk merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sempadan Malaysia seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi mendepani impak tarif timbal balas Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga bersetuju menambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta melalui institusi pembangunan kewangan untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas.

“Sebagai langkah permulaan, kerajaan bersetuju meningkatkan jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang secara langsung terjejas,” katanya.

Malaysia dijangka dikenakan kadar tarif sebanyak 24 peratus walaupun kadar itu dilihat lebih sederhana berbanding beberapa negara lain, ia diramal memberi kesan kepada ekonomi negara terutama syarikat atau kilang yang mengeksport produk ke Amerika.

Presiden Amerika, Donald Trump pada 10 April dilaporkan mempertimbangkan penangguhan 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang, termasuk Malaysia.

Sementara itu, Majlis Penasihat Perniagaan-Asean (Asean-BAC) memuji kepimpinan Anwar dan kerajaan Madani dalam menangani isu tarif dengan cara yang tenang dan seimbang serta melindungi kepentingan negara.

Pengerusi Asean-BAC Tan Sri Nazir Razak berkata selain bijak dalam menangani isu yang rumit itu, kerajaan turut membabitkan Washington untuk memahami perkara retorik dan realiti di pihak AS.

Selain itu, beliau berkata “Malaysia kemudian kembali merancang strategi, yang kita lakukan kini, dan mungkin meneliti kembali dan berunding.”

“Itulah cara tepat untuk menangani situasi ini, berbeza dengan cara (konfrontasi) yang digunakan oleh banyak negara lain, yang bertindak terlalu cepat, atau terlalu agresif,” katanya dalam satu sidang media pada Selasa.

Mengenai halangan bukan tarif serta sama ada Malaysia dan kerajaan negara Asia Tenggara lain mempunyai keazaman politik untuk memansuhkannya, Nazir berkata, halangan itu adalah masalah yang membabitkan seluruh negara anggota Asean.

“Terdapat hubung kait yang rapat antara pengurangan tarif dan peningkatan halangan bukan tarif, dan pada kiraan terakhir, terdapat kira-kira 9,642 halangan bukan tarif di seluruh Asean,” katanya.

Beliau berkata, antara kesukaran yang dihadapi Asean adalah ketiadaan mekanisme penguatkuasaan yang jelas untuk mengurangkan halangan itu.

“Sektor swasta banyak menyuarakan kekecewaan berkaitan halangan bukan tarif.

“Memandangkan kita berunding dengan AS, mungkin ini adalah peluang untuk kita mengkaji semula halangan yang dibangkitkan oleh kalangan perniagaan,” katanya.

Nazir berkata, terdapat sistem yang dipanggil “Asean Assist”, membolehkan syarikat melayari laman web itu secara dalam talian dan menyenaraikan halangan bukan tarif yang sepatutnya tiada, tetapi dilaksanakan oleh negara.

Beliau berkata, bagaimanapun, kadar penggunaannya sangat rendah kerana wujud persepsi bahawa tiada tindakan yang boleh dilakukan mengenai perkara itu.

Oleh yang demikian, isu halangan bukan tarif adalah perkara yang perlu diberi keutamaan oleh Asean, katanya.

Untuk rekod, Malaysia bersungguh-sungguh meneroka dan membuka pasaran perdagangan baru, sekali gus mengelak kebergantungan hanya kepada satu pasaran besar saja.

Langkah itu sudah dimulakan dalam kerangka Asean dan pertemuan dengan pemimpin utama negara teluk, China serta Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).-7/5/2025 OLEH AHMAD SYAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru