Kebimbangan terhadap kemelesetan global semakin meningkat susulan semakan semula keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China baru-baru ini, selain pengumuman tarif timbal balik baharu oleh Presiden Donald Trump.
China dijangka terjejas lebih teruk tahun ini berbanding pada 2018 apabila ekonominya berkembang pada kadar paling perlahan sejak 1990.
Pada Mac, Beijing mengumumkan sasaran pertumbuhan KDNK kira-kira 5.0 peratus bagi tahun ini, tetapi bank global seperti Citigroup Inc mengunjurkan tarif 54 peratus ke atas barangan China yang diperkenalkan sejak permulaan penggal kedua presiden Trump, boleh mengurangkan pertumbuhan KDNK China sebanyak 2.4 mata peratusan pada 2025.
Bagi AS, Goldman Sachs menjangkakan boikot barangan luar boleh mengurangkan 0.1 peratus hingga 0.3 peratus daripada KDNK AS pada 2025.
Bernama melaporkan Bank Pusat Eropah pula menyemak semula pertumbuhan KDNK Eropah sebanyak 0.2 mata peratusan bagi 2025 dan 2026, tetapi mengekalkan unjurannya bagi 2027.
Unjuran itu terutamanya disebabkan oleh semakan menurun eksport dan juga pelaburan.
Ini mencerminkan kesan ketidakpastian yang lebih tinggi daripada andaian sebelum ini, serta jangkaan cabaran daya saing berkemungkinan berterusan lebih lama daripada jangkaan.
Menurut data Biro Banci AS, China dan Kesatuan Eropah menyumbang kira-kira satu perempat daripada jumlah import AS pada 2024 dan menjadi tiga pembekal utama import AS bersama Mexico.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, faktor di luar jangka sebenar adalah kesan daripada trend inflasi, kejutan keyakinan pengguna dan penentuan semula harga.
“Tetapi jangan tersilap, ini boleh berubah menjadi kemerosotan ekonomi dan tidak ada rantau yang tidak akan terkena tempiasnya. Namun jika keadaan menjadi lebih teruk Rizab Persekutuan AS (Fed) masih mempunyai rizab tunai cair, dan mereka akan terpaksa menurunkan lagi kadar faedah.
“Itu akan memberi peluang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk turut menurunkan kadar tanpa mencetuskan turun naik pertukaran asing yang tidak wajar. BNM adalah antara (bank pusat) terbaik di rantau ini yang pantas melakukan perubahan dan fleksibiliti itu menjadi kelebihan utama,” katanya.-7/4/2025